[Keluarga] Membahagiakan Pasangan Tidak Selalunya Mesti “Wah”
Penulis: Najmah Saiidah
Islam sebagai risalah yang mulia, sempurna dan menyeluruh telah memberikan panduan tentang tujuan perkahwinan yang mesti difahami oleh setiap muslim. Hal ini agar kehidupan berumah tangga menjadi berkat dan bernilai ibadat, memberikan ketenangan kepada suami isteri serta ahli keluarga yang lain hingga dapat kekal dan bahagia. Mencapai keredhaan Allah SWT sebagai matlamat tertinggi adalah sesuatu yang mesti dimiliki oleh setiap muslim termasuk ketika hendak berkahwin. Keredhaan Allah SWT akan terwujud sekiranya perkahwinan itu diniatkan ikhlas dan mengikut tuntunan syariat.
Perkahwinan yang berlandaskan syariat Islam sebenarnya akan dapat mewujudkan ketenangan, ketenteraman, keadilan dan rasa selamat. Suami isteri hidup berdampingan, saling menjaga dan menyayangi, serta melangsungkan bahtera keluarga seperti dua sahabat sejati yang sentiasa berkongsi suka dan duka, sentiasa ingin membahagiakan pasangannya.
Seorang Sahabat Sentiasa Ingin Membahagiakan Sahabatnya
Pada dasarnya kehidupan berumah tangga adalah kehidupan yang memberi ketenangan sehingga terjalinnya persahabatan yang penuh kebahagiaan dan kedamaian antara suami isteri. Inilah yang berlaku dalam rumah tangga Rasulullah SAW. Hal ini digambarkan dalam hadis baginda, daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana dia berhias untukku. Aku juga suka meminta agar dia memenuhi hakku yang wajib dia tunaikan untukku, sehingga aku pun memenuhi haknya yang wajib aku tunaikan untuknya.” Oleh itu, Allah SWT berfirman, “Dan wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”
Dari Ibnu Abbas, “Para isteri berhak merasakan suasana persahabatan dan pergaulan yang baik dari suami mereka, sebagaimana mereka pun berkewajipan untuk melakukan ketaatan dalam hal yang memang diwajibkan atas mereka terhadap suami mereka.” Seorang sahabat sudah tentu sentiasa ingin membahagiakan sahabatnya. Begitu juga seorang suami sebagai sahabat kepada isterinya, pastinya ingin membahagiakan isterinya. Sebaliknya, seorang isteri tentunya sentiasa ingin membahagiakan suaminya agar ada ketenteraman dan ketenangan jiwa di antara mereka berdua.
Bagaimana untuk Membahagiakan Pasangan Kita?
Cinta yang tumbuh kerana iman, amal soleh, dan akhlak yang mulia, akan sentiasa mekar dan subur. Ia tidak akan lekang dek sinar matahari, tidak akan pudar dek hujan, dan tidak akan putus walaupun ajal telah menjemput. Doa-doa yang terbaik akan terus mengalir dari lisannya untuk pasangannya ketika jauh dan dekat. Allah SWT telah menjanjikannya sebagaimana firmanNya,
اَلْاَخِلَّاۤءُ يَوْمَىِٕذٍۢ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ اِلَّا الْمُتَّقِيْنَ ۗ
“Orang-orang yang (semasa di dunia) saling mencintai pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Az-Zukhruf: 67].
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mengasihi kerana Allah, benci kerana Allah, dan berkahwin kerana Allah, bererti telah sempurna imannya.” [HR Al-Hakim].
Cuma perasaan cinta yang berlandaskan cinta kepada Allah SWT tidak datang secara automatik. Oleh itu, suami isteri hendaklah merawat dan menjaganya agar biduk rumah tangga mereka kekal dan harmoni di dunia dan akhirat.
Perjalanan berkeluarga dan membina rumah tangga tidak selalunya seindah merentasi laut yang tenang dan indah. Kadang-kadang riak ombak, gelombang, malah badai kehidupan datang menghentam biduk atau bahtera rumah tangga. Oleh itu membahagiakan pasangan mengikut petunjuk Rasulullah SAW menjadi salah satu usaha yang boleh kita lakukan agar cinta kerana Allah tetap terpelihara. Maka apa yang boleh kita usahakan?
- Berlemah lembut terhadap pasangan.
Bersikap lemah lembut antara suami dan isteri bukanlah perkara yang mudah, tetapi kita semua perlu berproses untuk menjadi lebih baik dan yang paling penting adalah memeliharanya secara berterusan. Ini kerana berlemah lembut dengan pasangan akan membahagiakannya termasuk apabila menyapa pasangan dengan sapaan yang disukainya atau memberikan sentuhan halus kepada pasangan. Sentuhan ringan suami pada hidung isteri, usapan lembut di kepala, atau usapan di belakang akan membuat isteri berasa selesa. Ini membuatkan isteri merasakan dia mempunyai seseorang yang menjaganya supaya dia akan berasa selamat, dicintai sepenuhnya, dan akan membahagiakannya.
Rasul menyapa isterinya dengan sapaan yang mesra dan baik. Rasul menyapa Khadijah dengan sebutan Habibii, kekasihku. Begitu juga dengan Aisyah yang disapa dengan Humaira, wanita yang pipinya kemerahan. Rasulullah berpesan kepada para suami agar tetap bersabar dalam menghadapi sikap wanita yang kurang disukai. “Janganlah marah (lelaki muslim/suami) kepada seorang wanita muslimah (isteri). Jika tidak menyukai perangai darinya, maka sukailah perangai lainnya.”
Terdapat juga banyak riwayat yang menggambarkan bahawa Rasulullah SAW bergaul dengan keluarganya dengan sangat baik, bergurau senda, dan berlemah lembut dengan mereka. Rasulullah sering berbual sebentar dengan isteri dan keluarganya selepas solat Isyak, sebelum baginda tidur, dengan percakapan yang menyenangkan.
- Menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita.
Membahagiakan pasangan tidak semestinya dengan sesuatu yang gah, menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita sebenarnya adalah sesuatu yang membahagiakan. Seorang suami akan merasa dihargai oleh isterinya apabila dia meluahkan perasaan atau menceritakan sesuatu kemudian isterinya meresponnya dengan baik, begitu juga sebaliknya.
Tidak kira betapa penatnya suami ketika pulang dari kerja, luangkan masa untuk mendengar luahan hati isteri kerana dia berada di rumah sepanjang hari dan mungkin memerlukan teman untuk berbual. Begitu juga dengan isteri, hendaklah menyambut kedatangan suami selepas pulang dari kerja dengan senyuman. Mungkin dia keletihan setelah seharian bekerja jadi dia memerlukan seseorang untuk berbincang atau berbual sahaja. Menjadi pendengar yang baik akan melancarkan komunikasi kita dengan pasangan kita. Seterusnya, dengan komunikasi yang baik ini, ketenteraman dan kebahagiaan dalam rumah tangga akan dapat direalisasikan.
- Sentiasa menghargai dan memberi semangat terhadap perkara baik yang dilakukan oleh pasangan.
Suami dan isteri adalah sahabat sekaligus pasukan kerja yang baik. Mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain, serta saling menasihati agar persahabatan yang sempurna benar-benar terwujud. Terdapat banyak bentuk sokongan untuk pasangan. Apabila suami ingin memulakan perniagaan baru atau ingin mempelajari tsaqafah Islam dengan lebih mendalam, isteri perlu menghargai dan menyokongnya. Malah, suami isteri boleh sama-sama belajar tentang perniagaan baru yang bakal diceburi, berbincang bersama agar segala yang dilakukan sentiasa dalam koridor syariah.
Semasa hayatnya, Rasulullah SAW biasa bercakap dan bincang dengan isteri-isterinya, bahkan meminta saranan mereka. Peristiwa besar yang selalu kita ingat, iaitu Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW meminta saranan dari Ummul mukminîn Ummu Salamah RA, malah adakalanya beliau membahas pelbagai masalah penting dengan mereka. Sebenarnya, Rasulullah SAW ingin memberi pengajaran kepada umat Islam tentang kedudukan penting yang ada pada seorang isteri. Berbincang dan melibatkan pasangan dalam perkara tertentu akan membina kepercayaan pada pasangan dan berasa dihargai. Ini semua sudah tentu akan membahagiakan pasangan.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada puterinya, Fatimah RA untuk senantiasa senyum dan menjaga air muka berseri-seri di hadapan suami. Ini kerana senyuman seorang isteri terhadap suami memiliki ganjaran besar dari Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Fatimah, tiada seorang isteri yang tersenyum di hadapan suaminya, kecuali Allah akan memandangnya dengan pandangan kasih (rahmat).” [Lihat Syekh M. Nawawi Banten, Uqudul Lujain fi Bayani Huquqiz Zaujain].
- Sentiasa berseri-seri dan gembira apabila bersama pasangan.
Sentiasa tersenyum dan menunjukkan wajah yang berseri-seri di hadapan orang lain akan memberi ketenangan kepada mereka yang melihatnya. Begitu juga, sentiasa tersenyum dan berseri-seri kepada orang yang paling dekat, seperti keluarga dan saudara mara. Lebih-lebih lagi apabila di hadapan pasangan hidup kita, sudah tentu ia akan membahagiakan pasangan kita.
Rasulullah SAW pernah menasihati anak perempuannya, Fatimah RA untuk sentiasa tersenyum dan berseri-seri di hadapan suaminya. Sebab, senyuman seorang isteri terhadap suaminya mendapat pahala yang besar daripada Allah SWT. [Lihat Syeikh M. Nawawi Banten, ‘Uqudul Lujain fi Bayani Huquqiz Zaujain].
Dengan saling tersenyum, Allah SWT akan menurunkan rahmat, berkat, kasih sayang, ketenteraman dan keharmonian dalam rumah tangga. Oleh itu, sebaiknya melepaskan suami bekerja dengan senyuman agar dia bersemangat mencari rezeki. Sebaliknya, suami yang pergi bekerja dengan wajah yang berseri-seri akan membuatkan isterinya tenteram di rumah. Begitu juga dengan sambutan isteri apabila suaminya pulang dari kerja dengan senyuman merekah menandakan rumah itu sudah bersedia untuk menjadi syurga bagi keluarga.
- Memberi ganjaran kepada pasangan dan sentiasa berterima kasih.
Membahagiakan pasangan boleh dimanifestasikan dalam bentuk pemberian pujian, hadiah kecil, walaupun hanya dengan mengucapkan terima kasih. Sudah tentu hadiah yang diberikan tidak selalunya berupa barang. Ucapan terima kasih atau pujian yang ikhlas kepada pasangan akan membahagiakan pasangan kita.
Memasak makanan kegemaran pasangan yang agak rumit untuk diproses akan membuatkan pasangan merasa dipedulikan dan dihargai. Ini akan membahagiakan pasangan. Kita juga boleh mengajak pasangan kita keluar ke tempat yang disukai, berkunjung ke rumah ibu bapa pasangan di kampung atau saudara terdekat pasangan kita. Ini selalunya merupakan kejutan yang menggembirakan untuk pasangan kita.
- Berusaha untuk berpenampilan baik di hadapan pasangan.
Islam menyuruh kedua-dua isteri dan suami supaya menjaga diri dan berpenampilan baik di hadapan pasangan. Ini adalah sebahagian daripada hak suami yang mesti dipenuhi oleh isterinya, dan sebaliknya, hak isteri ke atas suaminya. Oleh itu, menghias dan menjaga diri untuk pasangan adalah termasuk ibadah dan merupakan salah satu cara untuk mewujudkan kasih sayang.
Dari Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW mengingatkan, “Apabila kamu pulang dari perjalanan (musafir) pada waktu malam, maka janganlah kamu berjumpa dengan isteri kamu sehingga dia sempat mencukur bulu kemaluannya dan menyikat rambutnya yang kusut.” [HR Bukhari].
An-Nawawi berkata, dalam hadis ini ada dalil bahawa seorang isteri tidak boleh membuatkan suaminya lari daripadanya, atau melihat sesuatu yang tidak selesa pada isterinya sehingga menimbulkan permusuhan antara keduanya. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa selagi suami berada di rumah, wanita hendaklah sentiasa berpenampilan baik dan tidak meninggalkan berhias, kecuali ketika suaminya tiada. (Syarh Sahih Muslim).
Rasulullah SAW telah mencontohkan bahawa baginda juga suka berhias untuk isteri-isterinya termasuklah memakai wangi-wangian pada pakaiannya. Baginda bersabda, “Ditanamkan dua kecintaan padaku dari perkara dunia, (iaitu) wanita dan wangi-wangian.”
Rasulullah SAW mengetahui dengan baik keperluan seorang wanita untuk berdandan di hadapan suaminya, begitu juga seorang lelaki berdandan untuk isterinya. Rasulullah SAW adalah yang paling tampan, paling kemas antara manusia yang lain. Baginda memerintahkan para sahabatnya untuk berhias untuk isteri mereka dan menjaga kebersihan dan kekemasan.
Demikianlah, Islam telah mengajar cara membahagiakan pasangan kita dengan pelbagai perkara mudah dan ia tidak semestinya sesuatu yang “wah” atau hebat-hebat. Kesemuanya mesti sentiasa berada di koridor syariah. Semoga kita semua dapat menjalaninya dengan baik agar kehidupan berumahtangga kita sentiasa tenang, tenteram, dan sentiasa dalam keberkatan dan keredhaan Allah SWT. Amin. Wallahua’lam bissawab.