[Kisah Inspiratif] Laila al-Ghifariyah, Jururawat di Medan Perang
Penulis: Chusnatul Jannah
Tidak diragukan lagi keperibadian dan kelembutan Rasulullah SAW kepada anak-anak. Baginda adalah teladan sepanjang zaman. Tutur katanya menjadi perintah bagi kita. Perilakunya merupakan puncak ketamadunan bagi manusia. Semua ini tergambar melalui kelembutan, cinta dan kasih sayang luar biasa yang baginda tunjukkan kepada anak-anak.
Setiap kali bertemu anak-anak, pagi atau petang, baginda sentiasa tersenyum ramah dengan wajah yang cerah dan ceria. Baginda mengucapkan salam dan menyapa mereka dengan lembut, bahkan dalam situasi yang paling kritikal dan teruk. Tidak ada hal kecil ataupun besar yang menghalangi baginda daripada berbuat demikian.
Begitu pula saat Rasulullah SAW menghadapi kaum remaja dan pemuda. Anas bin Malik berkata, “Belum pernah ku lihat seseorang mencintai keluarganya melebihi Rasulullah SAW.”
Perjumpaan Laila dengan Nabi SAW
Dalam perjalanan menuju Perang Khaibar, ketika melintasi kabilah Ghifar, Rasulullah SAW bertemu dengan seorang gadis. Dia berlari mengejar tentera untuk menyampaikan bantuan. Melihat aksi gadis tersebut, baginda merasa kasihan melihatnya berjalan. Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW memboncengnya di belakang baginda.
Saat beliau turun, gadis itu tersipu-sipu malu. Rasulullah SAW baru mengetahui gadis itu sedang haid dan ketika itu merupakan haid pertamanya. Baginda tidak marah, tidak mengeluh ataupun merungut. Baginda bahkan mengajarkan cara membersihkan tempat duduknya dan bajunya.
Selepas peperangan, Rasulullah SAW memberi hadiah kepada gadis tersebut dengan seuntai rantai dari harta rampasan perang. Gadis itu menjaga rantai pemberian Rasulullah SAW dan tidak pernah melepasnya sehingga dia wafat. Dia adalah Laila al-Ghifariyah.
Jururawat dalam Peperangan
Laila al-Ghifariyah adalah seorang mujahidah (pejuang perempuan) yang keluar berperang bersama Rasulullah SAW dalam beberapa peperangan. Tugasnya mengubati orang-orang yang terluka dan merawat orang-orang yang sakit.
Ketika Ali bin Abi Thalib keluar menuju Bashrah untuk mencegah terjadinya perang saudara, Laila al-Ghifariyah ikut bersamanya. Laila mendatangi Aisyah RA dan berkata, “Adakah kau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda tentang Ali?
Aisyah RA berkata, “Ya, Ali pernah datang mengunjungi Rasulullah SAW. Saat itu beliau sedang duduk bersamaku. Kemudian dia duduk di antara kami berdua. Kemudian aku berkata pada Ali, apakah kau tidak menemukan tempat yang lebih luas dari ini?”
Rasulullah SAW berkata, “Wahai Aisyah, biarkanlah saudaraku ini.Sesungguhnya dia adalah orang pertama yang menerima Islam dan manusia terakhir yang menjagaku. Dia adalah orang pertama yang berjumpa denganku pada hari kiamat.”
Laila al-Ghifariyah adalah salah seorang sahabat perempuan Rasulullah SAW yang juga meriwayatkan hadis dari Nabi SAW. Beberapa orang dari kalangan sahabat juga meriwayatkan hadis darinya. Tidak banyak catatan sejarah mengenai kehidupan Laila. Namun, peranan besarnya sebagai jururawat Rasulullah SAW di medan perang telah menjadikan dirinya sebagai salah seorang di antara para sahabiyah yang patut menjadi teladan yang menginspirasikan. Sungguh, wanita-wanita dalam Islam tidak hanya merupakan pakar dalam menjalankan peranan dan tugas mereka sebagai anak, isteri, dan ibu, tetapi mereka turut menjadi pejuang hebat yang ikut menyebarluaskan dakwah Islam bersama Rasulullah SAW dan para sahabat.
*Disarikan dari pelbagai sumber