[TPOM] Ibu Pencetak Generasi Emas
Oleh: Arini R.
Sejarah panjang masa keemasan Islam, yang berlangsung dari awal tahun Hijrah sampai sekitar 14 abad sesudahnya, diwarnai oleh banyak orang besar dan hebat. Para khalifah menorehkan namanya sebagai pemimpin terbaik saat itu. Para pejuang membawa Islam dalam kemenangan gemilang. Mereka tidak takut mati. Bahkan mati di jalan Allah menjadi tujuan tertinggi hidup mereka. Para ulama berjuang dengan tinta dan pena mereka. Disebabkan merekalah kita mengenal dan dapat mempelajari Islam saat ini.
Di sebalik sosok-sosok hebat di kalangan mereka, ada sosok-sosok yang tak kurang hebatnya. Nama mereka memang tak diukir dalam sejarah, namun harum semerbak oleh prestasi yang ditorehkan anak-anak yang mereka lahirkan dan mereka tempa. Merekalah para ibu teladan zaman.
Ibu-ibu tersebut menggembleng anak-anak mereka dengan iman, mengukuhkan ketundukan mereka pada aturan Allah serta menyemaikan bibit keberanian, pantang menyerah dan semangat untuk mengejar redha Allah dalam perjuangannya. Merekalah para ibu yang ‘radikal’. Mereka mengajarkan Islam secara fundamental.
Marilah kita lihat contoh-contoh radikalnya para ibu hebat ini:
- Al-Khansa dikenal sebagai ibu para mujahid. Empat anak lelakinya syahid serentak. Mereka bertempur gagah berani berkat motivasi luar biasa yang ditanamkan ibu mereka sebelum perang. Ibu mereka berwasiat, “…Kalian semua tahu balasan besar yang telah Allah siapkan bagi seorang Muslim dalam memerangi orang-orang kafir. Ketahuilah (anak-anakku), negeri yang kekal itu lebih baik dari tempat yang fana ini. Seandainya esok kalian masih diberi kesihatan oleh Allah, perangilah musuh kalian dengan gagah berani. Mintalah kemenangan kepada Allah atas musuh-musuh-Nya”.
Usai peperangan, al-Khansa mencari khabar tentang putera-puteranya. Khabar syahid anak-anaknya sampai kepada dirinya. Lalu dia berkata, “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan kematian mereka. Aku berharap Rabb-ku mengumpulkanku bersama mereka dalam kasih sayang-Nya.”
- Khaizuran, ibu Khalifah Harun al-Rasyid, adalah bekas seorang hamba yang dinikahi Khalifah al-Mahdi kerana kecerdasan dan keluasan ilmunya. Dia rela mendampingi anaknya mencari ilmu ke Madinah. Jauh dari keluarga dan kehidupannya sebagai isteri khalifah. Beliau mendidik anak-anaknya sehingga layak menjadi seorang khalifah.
- Ibu Sultan Muhammad al-Fatih mendidik dan memberikan motivasi kepada anaknya setiap pagi. Setelah solat subuh, sang ibunda mengajari dia geografi, garis sempadan wilayah Konstantinopel. Dia menanamkan keyakinan dalam diri Muhammad kecil, bahawa kelak dia-lah yang akan menaklukkan Konstantinopel. Ternyata ianya menjadi kenyataan, pada usianya yang baru 21, dia berjaya memimpin pasukan dalam penaklukan Konstantinopel.
- Para imam mazhab—Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal—dibesarkan sebagai anak yatim. Begitu juga perawi hadis terbesar Imam al-Bukhari. Ibu mereka berjuang keras untuk mendidik mereka dan menghantar mereka kepada para ulama besar untuk belajar. Mereka rela mewakafkan anak-anak mereka untuk agama.
Ibunda Imam Taimiyah bahkan mengatakan dalam suratnya kepada sang putera:
“Demi Allah, seperti inilah caraku mendidikmu. Aku nazarkan dirimu untuk berkhidmat pada Islam dan kaum Muslim. Aku didik engkau di atas syariah agama. Anakku, jangan kau sangka, engkau berada di sisiku itu lebih aku cintai berbanding kedekatanmu pada agama, berkhidmat untuk Islam dan kaum muslimin. Anakku, redhaku kepadamu berbanding lurus dengan apa yang kau persembahkan untuk agamamu dan kaum Muslim. Sungguh, anakku, di hadapan Allah kelak aku tidak akan menanyakan keadaanmu, kerana aku tahu di mana dirimu dan dalam keadaan seperti apa engkau. Yang akan kutanyakan di hadapan Allah kelak tentangmu, wahai Ahmad- sejauh mana khidmatmu kepada agama Allah dan saudara-saudaramu kaum Muslim.”
Inilah para ibu teladan zaman. Mereka menanamkan asas agama yang kuat pada anak-anaknya sehingga mampu menjadi pemimpin, pejuang dan ulama terbaik pada zamannya. Mereka menjadi generasi yang kuat, generasi emas yang gilang gemilang.
Kegemilangan generasi pada masa kejayaan Islam kelihatan kontra dengan gambaran generasi saat ini. Potret kabur mendominasi wajah mereka. Gaya hidup mereka jauh dari tuntutan agama. Iman dan keperibadian mereka rapuh. Ini adalah fakta yang kelihatan menonjol. Arus sekularisme, kapitalisme, liberalisme dan pluralisme telah menghancurkan mereka. Membuat mereka hanyut terlalu jauh.
Lihat bagaimana mereka telah meninggalkan Rasul mereka sebagai idola. Berpaling kepada para artis Barat, Korea, Jepun dan artis-artis lokal yang tak kalah merosak jiwa mereka. Hidup mereka habis di gemerlap dunia hiburan, filem, komik, games dan kesenangan-kesenangan lain. Hedonisme menancap kuat dalam jiwa mereka. Menjadikan orientasi hidup mereka bukan lagi redha Allah dan syurga-Nya.
Dari sudut tsaqâfah, generasi ini jauh sekali dari penguasaan tsaqâfah Islam. Jangankan menguasai bahasa Arab, membaca al-Quran saja banyak yang belum lancar. Dengan bergantung kepada pendidikan di sekolah yang hanya memberikan peruntukan bagi pendidikan agama Islam dua jam seminggu, jadilah generasi muda kita generasi yang bingung dalam beragama.
Menyandingkan dua potret generasi, masa kejayaan Islam dan masa sekarang, membuatkan kita tertanya-tanya, mengapa boleh terjadi perbezaan yang begitu kontra? Sistem Islam—yang menjamin lahirnya generasi berkualiti—yang tidak diterapkan adalah salah satu jawapannya. Padahal, sistem inilah benteng pertahanan terbesar dari gempuran pemikiran dan fahaman asing yang begitu massif. Jika benteng ini runtuh, pertahanan kaum Muslim pun melemah. Jadilah serangan pemikiran dan budaya asing yang terus menerus menyerang benteng terakhir dari kaum Muslim, yakni keluarga.
Fungsi Ibu yang Hilang
Kehidupan seorang anak bermula dalam sebuah keluarga. Di sinilah seorang anak mendapatkan pendidikan yang pertama dan utama. Di sini dia mendapatkan penanaman akidah sejak kecil, pembiasaan pelaksanaan hukum Islam, keteladanan dan penguasaan tsaqâfah Islam. Gurunya adalah ibu bapanya. Oleh kerana si ayah terbebani kewajipan untuk mencari nafkah, maka tugas mendidik ini lebih banyak jatuh di tangan ibu.
Rasulullah SAW telah menggambarkan pentingnya fungsi ibu dalam banyak hadis. Di antaranya baginda bersabda:
تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ إِنِّي مُكَاثِرٌ الْأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Nikahilah oleh kalian wanita penyayang lagi subur, kerana sungguh aku akan membanggakan banyaknya kalian di hadapan para nabi pada Hari Kiamat.” (HR Ahmad).
وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا
“Seorang perempuan adalah pemelihara di rumah suaminya, dia akan dimintai pertanggungjawaban mengenai apa yang menjadi tanggungjawab pemeliharaannya.” (HR al-Bukhari).
Sayangnya, saat ini fungsi ibu sebagai pendidik anak telah terganggu. Para ibu disibukkan dengan upaya mencari nafkah. Sebahagiannya disebabkan dorongan keperluan ekonomi. Sebahagian lagi terpengaruh propaganda kesetaraan gender.
Akibatnya, pendidikan anak dalam keluarga tidak berjalan sempurna. Ibu bapa memberikan pendidikan agama anak hanya dari sekolah yang jauh dari memadai. Tidak hairan bila kemudian kerosakan anak justeru berlaku dalam keluarga. Penanaman nilai-nilai liberalisme dan sekularisme lebih banyak diperoleh dari televisyen dan internet di rumah. Aktiviti merokok, dadah dan seks bebas, sebahagian besarnya ternyata juga dilakukan di rumah.
Fungsi ibu yang tidak berjalan juga terjadi di kalangan ibu-ibu tidak bekerja. Hal ini kerana tidak adanya gambaran yang mereka miliki tentang fungsi keibuan yang mereka sandang. Mereka menikah dan mempunyai anak seolah sebagai sebuah senario yang mesti mereka jalani seperti air mengalir. Tidak ada tujuan dalam mendidik anak. Para ibu juga tidak pula merasa kelak akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah.
Malah, kita dapat menemui ibu-ibu yang justeru menjerumuskan anaknya dalam kerosakan. Ibu yang mengajak anak kecilnya untuk menonton drama, tontotan hiburan, tayangan mistik dan sebagainya. Ibu yang menuruti semua keinginan anak, tidak mengajarkan batasan benar salah, baik buruk seterusnya mengabaikan agama dan akhlak si anak.
Masih banyak di antara kita, para ibu, yang bingung dengan persoalan mendidik anak. Kita menginginkan anak menjadi pemimpin, pejuang, dan pengemban dakwah, tetapi tidak sungguh-sungguh meraih keinginan tersebut, atau tidak tahu apa yang perlu dilakukan dalam merealisasikannya. Kita tidak menyusun tujuan-tujuan yang jelas dan terukur. Kita tidak merumuskan langkah-langkah yang jelas. Kita tidak mengevaluasi perkembangan kemampuan anak dalam berfikir, berakidah, tsaqâfah dan sebagainya. Kita tidak melibatkan mereka dalam perjuangan dakwah, bahkan tidak mengentalkan ruh perjuangan dalam jiwa mereka. Kita membiarkan anak apa adanya. Tumbuh dalam pengaruh budaya kapitalis-liberalis yang akhirnya menyebabkan jiwa mereka lemah, terjangkiti oleh penyakit wahn, cinta dunia dan takut mati.
Dalam keadaan seperti saat ini, kita para ibu, selayaknya menoleh kembali sejarah para ibu hebat pada masa lalu. Meneladani upaya mereka. Mengambil semangat perjuangan mereka. Mengikuti langkah mereka dalam mencetak generasi emas, khairu ummah ukhrijat linnâs, umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia.
Sudah tiba saatnya kita bangkit sekarang. Kita berusaha mengevaluasi dan memperbaiki diri agar sanggup menjadi seorang ibu pejuang. Ibu tangguh yang melahirkan anak-anak yang tangguh.
