[TPOM] Khadijah binti Khuwailid, Ibu Teladan Sepanjang Zaman
Oleh: Ani Ummu Zaza
Khadijah ra. seorang wanita suci yang solehah. Beliau pendamping setia Nabi akhir zaman. Dalam dakapan cintanya, lahirlah generasi yang taat kepada Rabb-nya. Tugas mulia seorang isteri dan ibu dilaksanakan dengan gembira. Sehingga beliau mendapat jaminan syurga.
Malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad SAW. lalu berkata, “… sampaikanlah salam kepada Khadijah dari Rabb-nya dan juga dariku, dan sampaikan khabar gembira kepadanya tentang sebuah rumah di syurga, yang dibuat daripada emas, yang tidak ada kebisingan dan kepenatan di dalamnya…” (HR. Bukhari)
Muslimah yang cerdas akan mengikut jejak langkah Khadijah menjadi al umm warabbatul bayt (ibu dan pengurus rumah tangga). Berikut adalah kisah agung perjalanan hidup Khadijah. Khadijah binti Khuwailid bin Asad Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah merupakan isteri pertama Rasulullah SAW.. Beliau dilahirkan di Ummul Qura pada tahun 68 sebelum hijrah Nabi ke Madinah, kira-kira 15 tahun sebelum tahun Gajah. Ibunya bernama Fatimah binti Zaidah bin Al-Asham Qurasyiyah. Ayahnya adalah salah seorang tokoh kaum Quraisy iaitu Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza.
Sebelum berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah telah berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah At-Tamimy. Setelah Abu Halah meninggal, Khadijah menjadi janda. Kemudian Khadijah berkahwin dengan Atiq bin Abid Al-Makhzumy. Tidak lama kemudian Atiq meninggal, kemudian Khadijah berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW..
Dalam perkahwinan yang mulia ini, Khadijah menjadi isteri yang setia dan ibu yang penuh kasih sayang. Khadijah merasai kebahagiaan dan ketenangan hidup bersama pasangan. Nabi Muhammad SAW. ialah seorang suami yang paling baik akhlaknya, begitu juga Khadijah ialah seorang isteri yang taat kepada suaminya. Setelah berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW., Khadijah fokus menjalankan tugas sebagai isteri dan ibu. Perniagaan yang sudah dimulakan sebelum ini diserahkan kepada suaminya. Khadijah tidak mahu masanya disia-siakan untuk melayani keperluan suami dan mendidik anak-anaknya.
Khadijah ialah wanita yang penuh dengan kasih sayang dan subur. Allah kurniakan zuriat hasil perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.. Anak pertamanya bernama Al-Qasim. Kemudian setahun berikutnya lahir anak kedua bernama Ruqayyah. Kemudian lahir juga dari rahim Khadijah iaitu Fatimah, Ummu Kultsum, dan Abdullah.
Sibuk apabila mempunyai anak ramai, itu pasti. Namun, Khadijah telah mempersiapkan segalanya dengan ilmu dan ketakwaan untuk mendidik dan menjaga anak-anaknya. Maka tidak hairanlah, anak-anak perempuannya membesar menjadi isteri teladan sepanjang zaman. Malah, Fatimah Az-Zahra berjaya menjadi isteri dan ibu yang dirindukan oleh syurga, mengikut jejak langkah ibunya Khadijah. Ini benar-benar satu pencapaian yang luar biasa. Anak yang bertakwa dihiasi dengan amal yang mulia mengikut aturan Rabb-nya.
Khadijah ialah suri teladan muslimah dalam ketaatan. Apabila Rasulullah dilantik menjadi rasul, Khadijah menjadi orang pertama beriman kepada risalah yang dibawa oleh suaminya. Apabila iman yang kuat menancap di dalam hatinya, dia pun membimbing anak-anaknya supaya beriman kepada Allah Pencipta Alam Semesta. Semua anak perempuannya dan Ali bin Abi Thalib serta Zaid bin Haritsah, akhirnya menjadi muslim yang taat.
Setiap hari Khadijah mempelajari risalah Islam daripada pasangan hidupnya. Khadijah sentiasa bersedia untuk dibimbing oleh Rasulullah. Sehingga begitu ringan anggota badan Khadijah untuk beribadah menyembah Rabb-nya. Kekuatan akidah Islam mendorongnya mudah untuk menginfakkan seluruh hartanya untuk dakwah.
Khadijah adalah wanita mulia yang dihiasi dengan kecantikan kesabaran. Khadijah menjadi isteri penguat dakwah suaminya. Tatkala Rasulullah mendapat penolakan dari kaumnya, maka Khadijah bersedia menjadi penenang jiwa. Khadijah menguatkan hati Nabi agar tidak menghiraukan orang yang menolak kebaikan dan fokus kepada perjuangan. Sesungguhnya kekuatan iman ditaburi keindahan kesabaran dalam menghadapi ujian. Khadijah bersama kaum muslimin bersedia menanggung pemboikotan daripada kafir Quraisy selama tiga tahun.
Kaum muslimin hidup dalam keadaan serba kekurangan, tetapi dapat merasai kemanisan iman dan istiqamah dalam perjuangan.
Khadijah membina rumah tangga selama 25 tahun bersama Rasulullah. Masa yang singkat dijalani dengan penuh ketaatan yang berbuah syurga. Khadijah meninggal dunia di Mekah tiga tahun sebelum hijrah ketika berusia 65 tahun. Salam untukmu, wahai ibu teladan sepanjang zaman. Semoga kami dapat mengikut jejak langkahmu. Sehingga kita dikumpulkan oleh Allah di syurga-Nya.
Wallahu a’lam bishshawab
#ThePowerOfMother #InspirasiMuslimah #SitiKhadijahr.a #IbuTeladanSepanjangZaman #IsteriTaat #IbuHebat