[Tafsir Al-Quran] “Kalimat Sawa” Bukan Justifikasi Dialog Antara Agama (Tafsir Surah Ali Imran (3) Ayat 64)
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman, M.A.
قُلْ يَاأَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّّ اللهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Katakanlah (wahai Muhammad), “Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah kepada kalimat yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain Allah”. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya), maka katakanlah [Muhammad dan orang-orang yang beriman] kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri [Islam]”. [TMQ Ali Imran (3): 64].
Tafsiran Ayat
Surah ‘Ali Imran adalah surah Madaniah yang diturunkan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Menurut pendapat Al-Hasan, As-Suddi, dan Ibn Zayd, ayat ini ditujukan kepada orang-orang Nasrani Najran. Manakala menurut Ibn Jurayj dan Qatadah, ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi Madinah.[i] Jika dilihat dari konteks frasa “Qul yâ Ahl al-Kitâb (Katakanlah [wahai Muhammad], ‘Wahai Ahli Kitab),” bermaksud ayat ini merangkumi semua Ahli Kitab, sama ada Yahudi atau Kristian. Jika Ibn Jurayj dan Qatadah menyandarkan ayat ini kepada Yahudi Madinah, sebabnya adalah kerana merekalah yang menjadikan ulama mereka sebagai Tuhan, seperti yang disebutkan dalam ayat, “yattakhiza ba’dhuna ba’dha arbâb[an] (sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain [ulama] untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan [sebagai Tuhan]).” Namun, ayat di atas sama sekali tidak menyebut sama ada yang dijadikan sebagai Tuhan itu adalah ulama (al-ahbâr) atau rahib (ar-ruhbân), selain daripada frasa ba’dhuna ba’dha. Justeru, dengan menganalisis pelbagai petunjuk yang ada, adalah lebih tepat untuk mengatakan bahawa ayat ini ditujukan untuk Ahli Kitab secara umum.
Ayat ini menyeru kepada Ahli Kitab, “Ta‘âlaw ilâ kalimat[in] sawâ’[in] baynanâ wa baynakum (marilah kepada kalimat yang bersamaan antara kami dan kamu).”
Menurut Ibn Kathir, perkataan kalimat[in] dalam konteks ayat ini digunakan untuk menyatakan kalimat yang sempurna yang boleh difahami. Apakah bentuk kalimat yang sempurna tersebut? Jawapannya ialah, “sawâ’[in] baynanâ wa baynakum (yang bersamaan antara kami dan kamu).” Frasa ini merupakan sifat yang menjelaskan perkataan kalimat[in] yang sebenarnya mempunyai konotasi tertentu. Jadi apakah konotasi “kalimat[in] sawâ’[in] baynanâ wa baynakum?” Ia tidak lain dan tidak bukan adalah kalimah tauhid iaitu, “Allâ na‘buda illâ Allâh (iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah).” Inilah kalimat sawâ’ yang benar, iaitu kalimat tauhid yang menyatakan bahawa tidak ada zat yang berhak disembah kecuali Allah, dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain, “wa lâ nusyriku bihi syay[an] (dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun)”, sama ada berhala, salib, patung, thagut, api, atau sesuatu yang lain; sebaliknya hanya menyembahNya. Ini adalah ajaran semua nabi dan rasul terdahulu.
Allah SWT berfirman,
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُولٍ إِلاَّ نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنَا فَاعْبُدُونِ
“Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasulpun melainkan Kami wahyukan kepadanya; “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, sembah/beribadatlah kamu kepadaKu.” [TMQ Al-Anbiya’ (21): 25].
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولاً أَنِ اُعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah (sahaja) dan jauhilah taaghut.’” [TMQ An-Nahl (16): 36].[ii]
Kemudian diteruskan dengan penjelasan berikutnya, “wa lâ yattakhiza ba‘dhunâ ba‘dha arbâb[an] min dûni Allâh (dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain Allah).” Ini kerana orang Yahudi dahulu menjadikan ulama (ahbâr) mereka sebagai Tuhan. Orang Kristian juga melakukan perkara yang sama dengan rahib-rahib (ruhbân) mereka. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman,
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah.” [TMQ At-Taubah (9): 31].
Walaupun Surah At-Taubah (9) ayat 31 tidak menyebut bahawa ahbâr khusus untuk orang Yahudi, manakala ruhbân untuk orang Kristian, menurut konvensyen orang Arab, penggunaan kedua-dua istilah ini khusus untuk mereka.[iii] Menjadikan ulama dan rahib sebagai Tuhan tidak bermaksud menyembahnya, tetapi sekadar meminta mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, kemudian mereka mentaatinya. Ini sepertimana dalam riwayat At-Tirmîzi,
أَنَّ عَدِيْ بنِ حَاتِمٍ قَالَ يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا عَبِدُوْهُمْ قَالَ بَلَى إِنَّهُمْ أَحَلُّوْا لَهُمْ الحْرَامَ وَحَرَّمُوْا عَلَيْهِمْ الحْلاَلَ فَاتَّبَعُوْهُمْ فَذَلِكَ عِبَادَتُهُمْ إِيَّاهُمْ
Sesungguhnya Adi bin Hatim berkata kepada Rasulullah, bahawa mereka tidak menyembahnya. Nabi menjawab, “Benar. Namun, mereka (ulama dan rahib) itu telah menghalalkan bagi mereka (umatnya) perkara-perkara yang haram dan mengharamkan bagi mereka perkara-perkara yang halal, kemudian mereka mengikutinya. Itulah ibadah (penyembahan) mereka kepadanya.”[iv]
Allah SWT kemudian meneruskan bahawa jika mereka berpaling (fain tawallaw) dari kalimat tauhid tersebut, atau tidak mahu mengakui bahawa tiada zat yang berhak disembah kecuali Allah, maka “faqûlû isyhadû biannâ muslimûn (maka katakanlah [Muhammad dan orang-orang yang beriman]) kepada mereka, “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri [Islam]).”
At-Thabari menjelaskan bahawa kalimat “fain tawallaw faqûlû isyhadû biannâ muslimûn” maknanya jika orang-orang yang kamu seru pada kalimat sawâ’ itu berpaling dan mengingkarinya, maka kamu, wahai orang-orang yang beriman, katakanlah kepada mereka, “Saksikanlah kami, bahawa kami—terhadap apa yang kamu ingkari, iaitu mengesakan Allah, menjernihkan ibadah hanya kepadaNya, dan bahawa Dialah Tuhan yang tiada sekutu bagiNya—adalah orang-orang yang berserah diri (muslimûn), atau tunduk dan patuh kepadaNya dalam perkara tersebut dengan mengakui semua itu dengan hati dan lisan kami.”[v]
Ini adalah tafsiran umum Surah ‘Ali Imran (3) ayat 64 di atas.
Wacana Tafsir: Dialog Antara Agama
Ayat di atas sering dijadikan hujah oleh kalangan tertentu yang cuba menjustifikasi dialog antara agama dengan andaian bahawa ketiga-tiga agama tersebut—Islam, Kristian, dan Yahudi—mempunyai persamaan: kedua-duanya adalah agama samawi. Padahal tidak ada satu perkataan atau frasa pun dalam nas di atas yang boleh digunakan sebagai hujah untuk gagasan tersebut, termasuk frasa kalimat[in] sawâ’[in] baynanâ wa baynakum ataupun frasa faqûlu isyhadû biannâ muslimûn, seperti yang dijelaskan dalam tafsiran ayat di atas.
Di samping itu, al-Quran dengan jelas menyatakan kekufuran orang Yahudi dan Nasrani,
لَّقَدۡ كَفَرَ ٱلَّذِینَ قَالُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ ثَالِثُ ثَلَـٰثَةࣲۘ وَمَا مِنۡ إِلَـٰهٍ إِلَّاۤ إِلَـٰهࣱ وَ ٰحِدࣱۚ
“Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa.”[TMQ Al-Maidah (5): 73].
وَقَالَتِ ٱلۡیَهُودُ عُزَیۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلۡمَسِیحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَ ٰلِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَ ٰهِهِمۡۖ یُضَـٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن قَبۡلُۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ
“Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah”, dan orang-orang Nasrani berkata, “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” [TMQ At-Taubah (9): 30].
Sebabnya, orang Kristian percaya bahawa Allah adalah tiga orang Tuhan (Bapa, Anak dan Roh Kudus) dalam satu zat (Allah), manakala orang Yahudi juga menyatakan bahawa Uzair adalah anak Allah. Justeru, dalam konteks keyakinan ini, al-Quran menyeru kepada mereka agar kembali kepada kalimat sawâ’, iaitu kalimat tauhid yang hanya meyakini bahawa tiada yang berhak disembah melainkan Allah, dan Dialah Tuhan yang tiada sekutu bagiNya; termasuk tidak menjadikan ulama atau rahib mereka sebagai Tuhan, dengan mentaati mereka dalam perkara yang menyimpang dari perintah dan larangan Allah SWT.
Rasulullah SAW juga pernah mengirim surat kepada Heraclius, Raja Rom, yang isinya,
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ وَرَسُوْلِهِ إِلَى هِرَقَّلْ عَظِيْمِ الرُّوْمِ، سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَى. أمَّا بَعْدُ: فَإِنيِّ أدْعُوْكَ بِدِعَايَةِ الإسْلاَمِ أسْلِمْ تَسْلَمْ، وَأسْلِمْ يُؤْتِكَ اللهُ أجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فإنْ تَوَلَّيْتَ فَعَلَيْكَ إثمَ الأرِيْسِيِّيْنَ. و}يَاأَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّّ اللهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Dari Muhammad, hamba dan Rasul Allah, kepada Heraclius, pembesar Rom. Selamat kepada sesiapa yang mengikuti hidayah (Allah), amma ba‘du: Sesungguhnya saya mengajakmu dengan ajakan Islam. Masuk Islamlah engkau, pasti engkau akan selamat. Masuk Islamlah engkau, pasti engkau akan diberi oleh Allah pahala dua kali. Jika engkau berpaling, engkau harus menanggung dosa para petani (rakyatmu). Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) pada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa kami tidak menyembah kecuali Allah, kami tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun, dan tidak (pula) sebahagian kami menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’”[vi]
Justeru, al-Quran dan al-Sunnah dengan tegas menyatakan bahawa ajakan Islam kepada Ahli Kitab di atas jelas bukan untuk dialog dalam pelbagai aspek yang boleh mendamaikan ketegangan antara ketiga-tiga agama tersebut. Sebaliknya, al-Quran dengan tegas menyeru mereka untuk kembali kepada kalimat tauhid, bukan untuk mensyirikkan Allah dengan yang lain, termasuk ulama dan rahib mereka; yang bermaksud mereka mesti memeluk Islam atau tunduk di bawah naungan sistem Islam sambil kekal sebagai bukan Islam (ahl az-zimmah). Jika pilihan pertama dan kedua tidak dipenuhi, tiada pilihan lain bagi mereka selain diperangi, jihad fî sabîlillâh.
Wacana Tafsir: Di Sebalik Idea Dialog Antara Agama
Gagasan dialog antara agama muncul di seluruh dunia sejak Perancis menghantar delegasi ke Al-Azhar, Kaherah, pada tahun 1932 mengenai penyatuan tiga agama: Islam, Kristian dan Yahudi. Kemudian disusuli dengan Persidangan Paris (1933) yang dihadiri oleh orientalis dan mubaligh dari pelbagai universiti di England, Switzerland, Amerika, Itali, Poland, Sepanyol, Turki, dan lain-lain.
Pada tahun 1936, Persidangan Agama-Agama terakhir telah diadakan, sebelum Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1964, Paus Paul VI menulis sebuah risalah yang menyerukan dialog antara agama. Sepanjang tahun 1970-an hingga 1980-an, lebih daripada 13 mesyuarat dan persidangan yang serupa telah diadakan. Pada tahun 1974, Persidangan Dunia II bagi Agama Islam telah diadakan di Belgium dan Persidangan Cordoba di Sepanyol yang dihadiri oleh perwakilan Islam dan Kristian dari 23 negara. Dua persidangan terakhir ini adalah yang paling menonjol.[vii]
Gagasan dialog antara agama ini sepintas lalu membayangkan bahawa agama adalah sumber ancaman dan konflik. Ini bertolak dari pengalaman sejarah yang menimpa Dunia Barat. Seperti yang ditegaskan oleh Huntington, selama 150 tahun, politik antara tamadun Barat sememangnya telah dikuasai oleh peperangan antara agama (Kristian-Kristian).[viii]
Perang yang sebenarnya berlaku selepas Perang Salib (1097-1219 M), yang berlangsung hampir dua abad apabila Islam dan umatnya benar-benar menjadi musuh bersama bagi mereka. Ini bermakna Dunia Barat, yang sebenarnya beragama Kristian—merujuk kepada istilah Huntington—terus diwarnai oleh konflik antara agama, dan lebih khusus lagi di kalangan sesama Kristian, yang hanya berakhir selepas Persidangan Westphalia pada 1648. Huntington juga menyatakan bahawa dalam tempoh tersebut; 1820 hingga 1929, 50 peratus daripada peperangan yang berlaku adalah perang antara agama, Islam-Kristian Barat.[ix]
Namun, pada hakikatnya, apa yang dianggap sebagai perang antara agama, Islam-Barat Kristian, dalam tempoh 1820 hingga 1929, sebenarnya dicetuskan oleh nafsu penjajahan Barat-Kristian untuk menguasai wilayah-wilayah Islam. Ini kerana menjelang pertengahan abad ke-19, dunia Islam mengalami kemerosotan yang luar biasa. Sementara itu, pelbagai manuver politik Barat-Kristian dalam dunia Islam telah mula mengakar.
Sebaliknya, Islam yang diwakili oleh Khilafah Uthmaniyyah, sebelum Persidangan Westphalian pada abad ke-17, telah menjelma menjadi pasukan tentera yang menakutkan dan mengancam kewujudan Barat-Kristian. Imej yang menakutkan ini mendorong mereka bersatu sehingga persidangan itu diadakan. Ini sememangnya era kemerosotan intelektual Muslim; kepimpinan intelektual Islam yang dibawa oleh negara telah digantikan dengan kekuatan tentera.
Imej buruk Islam ini di mata Barat benar-benar menjadi arus perdana pemikiran Barat-Kristian. Menurut Edward Said, sepanjang kebanyakan Zaman Pertengahan dan semasa Renaissance awal di Eropah, Islam dipercayai sebagai agama yang kejam, ingkar, busuk dan kabur. Bagi orang Kristian, Muhammad adalah nabi palsu; orang yang menanam benih perpecahan, pengumbar nafsu, munafik, dan kaki tangan syaitan.
Barat kemudian menamakan dirinya sebagai kaum occident (Barat) yang sinonim dengan negara maju, bertamadun, manakala yang lain dipanggil orient (Timur), yang sinonim dengan negara mundur dan terkebelakang yang tidak bertamadun.[x] Sebaliknya, “Untuk Barat, ‘halangan’ utama bukanlah fundamentalisme Islam, tetapi Islam itu sendiri, sebuah tamadun yang masyarakatnya berbeza dengan budaya mereka yang diyakini mempunyai keunggulan dan taksub dengan kerendahan kekuatan mereka.”
Demikian kata Huntington. Sebabnya, menurut Huntington, Islam melebihi agama Kristian iaitu agama yang mutlak: ia tidak memisahkan agama dan politik (ideologi) dan membahagikan masyarakat kepada wilayah Dar Al-Harb dan Dar Al-Islâm. Akibatnya, masyarakat Confucian, Buddha, Hindu, Kristian Barat dan Kristian Ortodoks mendapati sukar untuk hidup bersama antara satu sama lain, dan sebaliknya lebih mudah menyesuaikan diri dan hidup berdampingan dengan orang Islam.[xi]
Sejarah Islam benar-benar membuktikan bahawa semasa pemerintahan Islam, pelbagai agama boleh bersatu dalam satu negara. Oleh itu, tidak pelik jika sejarawan Barat bukan Islam seperti Max I. Dimon telah menggambarkan keharmonian hidup antara agama di Sepanyol selama 500 tahun di bawah naungan Negara Islam.
Oleh itu, gagasan dialog antara agama dengan tujuan untuk mendamaikan konflik antara masyarakat agama, dalam pandangan Islam, sebenarnya adalah ahistorical. Idea ini timbul apabila Islam tidak lagi menjadi ideologi yang memerintah setelah digantikan oleh kapitalisme Barat. Oleh itu, gagasan ini pada masa yang sama memastikan kegagalan kapitalisme dalam mengharmonikan hubungan antara agama, kerana ketiadaan format yang dimiliki oleh ideologi ini.
Tentunya ini sangat berbeza dengan Islam yang mengajar konsep zimmah (menjamin perlindungan bagi orang bukan Islam yang hidup di bawah naungan Khilafah Islamiyah). Malah, konflik antara penganut agama di pelbagai wilayah dunia hari ini adalah hasil rekayasa penjajah Barat untuk merebut atau mengekalkan cengkaman mereka di kawasan ini.
Ini seperti yang berlaku di Filipina yang melibatkan Amerika (pemerintah-Kristian) dan British (MNLF-Muslim); di Lubnan, melibatkan Amerika (Patriac Elias-Kristian) dan British (Muslim); di Ambon, Maluku, yang melibatkan kepentingan Amerika (pemerintah-Islam) dan Eropah (RMS-Kristian).
Oleh itu, gagasan dialog antara agama tidak lain adalah covering action oleh negara-negara Barat kapitalis dan kaki tangannya untuk mengekalkan cengkaman mereka di Dunia Ketiga, khususnya Islam. Melalui idea ini, mereka dapat menutup kebejatan ideologi yang memayungi hubungan antara masyarakat beragama. Selain itu, gagasan ini juga cuba membendung kemunculan Islam sebagai ideologi alternatif.
Sebaliknya, usaha untuk menyatukan atau mengkompromikan ajaran agama (sinkretisme) melalui dialog antara agama adalah sia-sia kerana terdapat beberapa perbezaan besar yang mustahil untuk disatukan. Oleh itu, kembali kepada kalimat sawâ’ baynanâ wa baynakum, atau kalimat tauhid, atau memeluk Islam adalah penyelesaian Islam. Jika tidak (fain tawalaw), kita berserah diri kepada Allah SWT atas apa yang telah mereka lakukan (faqulû isyhadû biannâ muslimûn), dalam erti kata, membiarkan mereka terus memeluk agama mereka dan memberi perlindungan kepada mereka sebagai ahl az-zimmah, dengan syarat, mereka sanggup tunduk kepada naungan sistem Islam. Inilah juga penyelesaian yang ditawarkan oleh Islam.
Dengan kedua-dua alternatif ini, dalam wilayah Islam tidak akan berlaku konflik antara pemeluk agama. Sebaliknya, konflik antara orang Islam dan bukan Islam hanya akan berlaku di luar wilayah Islam yang secara kebetulan ialah Dar al-Kufur atau Dar al-Harb; bukan dalam wilayah Islam. Oleh itu, gagasan dialog antara agama tidak layak diambil, digunakan, dan diperjuangkan oleh umat Islam. Sebabnya selain bersifat ahistorical juga akan memberi peluang kepada kapitalis kafir menjajah negara mereka. Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
[i] Lihat: Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur’ân, Muassasah ‘Ulûm al-Qur’ân, Damasyiq, cet. II, 1404, juz IV, hal. 105.
[ii] Lihat: Ibn Kathir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, Dâr al-Fikr, Beirut, 1401, juz I, hal. 372.
[iii] Lihat penjelasan Ibn Manzhur mengenai kedua-dua perkataan tersebut. Perkataan ahbâr adalah bentuk jamak kepada habr atau hibr, yang bermaksud orang alim, atau bentuk tunggal kepada ahbâr (ulama) Yahudi. Sedangkan ruhbân adalah bentuk jamak kepada râhib (pendita) Nasrani. Ibn Manzhur, Lisân al-Arab, Dâr al-Fikr, Beirut, t.t. juz I, hal. 437 dan juz IV, hal. 157.
[iv] At-Tirmîzi, Sunan at-Tirmîzi, hadis no. 3020. Perkataan di atas, seperti yang dinukil oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya. Lihat, Ibn Kathir, Tafsîr, juz I, hal. 378.
[v] At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân ‘an Ta’wîl Ayy al-Qur’ân, Dâr al-Fikr, Beirut, 1405, juz III, hal. 303.
[vi] Surah ‘Ali Imran ayat 63. Lihat: Muhammad Hamidullah, al-Watsâ’iq as-Siyâsiyyah, Dâr an-Nafâ’is, Beirut, cet. VI, 1987, hal. 108-109.
[vii] Lihat: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-persepsi Berbahaya untuk Menghantam Islam dan Mengokohkan Peradaban Barat, Pustaka Thariqul Izzah, Bogor, cet. I, 1998, hal. 16-17.
[viii] Samuel P. Huntington, Benturan Antar peradaban dan Masa Depan Politik Dunia, Penerbit Qalam, Pustaka Pemikiran, Yogyakarta, cet. II, 2001, hal. 60.
[ix] Ibid, hal. 392.
[x] Edward Said, Covering Islam, Bias Liputan Barat atas Dunia Islam, Ikon Teralitera, Yogyakarta, cet. I, 2002, hal. 4 dan 5.
[xi] Samuel P. Huntington, op. cit., hal. 408 dan 510.