[Tafsir Al-Qur’an] Terikat Syariat, Menuai Manfaat [Tafsir Surah Al-Anfal (8): 24]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَجِیبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمۡ لِمَا یُحۡیِیكُمۡۖ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ یَحُولُ بَیۡنَ ٱلۡمَرۡءِ وَقَلۡبِهِۦ وَأَنَّهُۥۤ إِلَیۡهِ تُحۡشَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang memberikan kehidupan kepada kamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.” [TMQ Al-Anfal (8): 24].
Seruan dalam ayat ini menguatkan perintah ayat sebelumnya.[1] Jika ayat sebelumnya memerintahkan orang beriman supaya taat kepada Allah SWT dan RasulNya, tidak berpaling daripadaNya (ayat 20), dan tidak bertingkah laku seperti orang-orang yang ingkar dan enggan melaksanakan perintahNya walaupun mereka telah mendengar perintahNya (ayat 21), maka ayat ini sekali lagi menegaskan seruanNya. kepada mereka untuk memenuhi seruan RasulNya.
Rasulullah SAW menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa wajib menunaikan seruannya walaupun orang yang diseru sedang solat. Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Abu Sa’id al-Mu’alla pernah berkata, `Aku sedang solat di masjid, kemudian Rasulullah SAW memanggilku, tetapi aku tidak menjawab. Selepas selesai, aku pergi kepadanya. Aku berkata, “Wahai Rasulullah, aku sedang solat.”
Baginda bersabda, “Bukankah Allah telah berfirman, ‘Yâ ayyuha al-lazîna âmanû [i]stajîbû lillâh wa li ar-rasûl izâ da’âkum limâ yuhyîkum.'”[2]
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman, “Yâ ayyuha al-lazîna âmanû (Wahai orang-orang yang beriman).” Seruan yang ditujukan kepada orang-orang yang beriman dalam ayat ini—dan juga ayat-ayat sebelumnya—mengandungi isyarat bahawa pensifatan iman mewajibkan pelakunya untuk mematuhi, mengikuti, dan mendengar perintah dan larangan yang hendak disampaikan dalam ayat seterusnya.[3] Diharapkan seruan ini juga dapat merangsang semangat mereka dalam menerima perintah, sekaligus memberi peringatan bahawa dalam diri mereka ada sesuatu yang diwajibkan.[4]
Seterusnya, Allah SWT berfirman, “[i]stajîbû lillâh wa li ar-rasûl izâ da‘âkum (sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu).” Hampir semua ahli tafsir menyatakan bahawa perkataan [i]stajîbû bermaksud ajîbû (penuhilah).[5] Maksud menunaikan seruan Allah SWT dan RasulNya adalah mentaati dan mematuhi perkara-perkara yang diseru oleh kedua-duanya.[6]
Seterusnya, Allah SWT menegaskan bahawa seruan yang wajib dipatuhi sebenarnya adalah untuk kepentingan dan kemaslahatan mereka sendiri. Allah SWT berfirman, “limâ yuhyîkum (kepada perkara-perkara yang memberi kehidupan kepada kamu).” Ungkapan ‘sesuatu yang memberi kehidupan kepada kamu’ mengandungi pelbagai makna yang sangat luas. Pelbagai tafsiran relevan yang dihasilkan oleh ahli-ahli tafsir menunjukkan hal ini.
Menurut As-Sudiy, perkara yang menghidupkan ialah iman dan Islam.Ini kerana iman bermaksud hidupnya hati, sedangkan kufur bermaksud matinya hati.[7] Qatadah berpendapat bahawa yang dimaksudkannya ialah al-Quran dan segala isinya. Sebabnya, dalam al-Quran ada kehidupan, kejayaan, dan terpeliharanya dari kesilapan. Al-Quran juga dinamakan kehidupan kerana ia merupakan sumber dan pangkal ilmu, manakala ilmu adalah kehidupan.[8]
Ahli tafsir lain menafsirkannya sebagai jihad dan perang. Sebabnya, dengan peperangan, Allah SWT memuliakan orang-orang mukmin setelah sebelumnya bergelumang dengan kehinaan, menjadikan mereka kuat setelah dalam keadaan lemah, dan melindungi mereka setelah dicengkam oleh musuh-musuh mereka.[9] Sebaliknya, dengan meninggalkan jihad, orang-orang kafir boleh berkuasa dan bebas membunuh serta menghina orang-orang yang beriman.[10] Sebab yang lain ialah jihad adalah jalan untuk mencapai syahadah (syahid), [11] manakala orang yang syahid di medan jihad akan hidup selama-lamanya di sisi Allah SWT dan mendapat rezeki dariNya. Allah SWT berfirman,
وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ
“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” [TMQ Ali Imran (3): 169].
Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan hal ini adalah ketaatan dan segala sesuatu yang terkandung dalam al-Qur’an, sama ada perintah ataupun laranganNya. Ini kerana di dalamnya terdapat kehidupan yang abadi dan kenikmatan yang kekal.[12]
Ada juga yang menafsirkannya secara lebih umum. Segala yang hak (benar) dan shawâb (betul), termasuk di dalamnya. Oleh itu, al-Quran, iman, jihad, serta setiap amal kebaikan dan ketaatan boleh dimasukkan dalam perkara yang memberi kehidupan. Sebabnya, yang dimaksudkan dengan kalimah ‘limâ yuhyîkum’ ialah al-hayâh at-thayyibah (kehidupan yang baik);[13] sebagaimana firman Allah SWT,
مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik.”[TMQ An-Nahl (16): 97].
Kemudian Allah SWT berfirman, “wa [i]’lamû anna Allâh yahûlu bayn al-mar’i wa qalbih (dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya).” Terdapat beberapa tafsiran mengenai maksud ‘Allah mengubah atau menyekat di antara seseorang dengan (pekerjaan) hatinya’.
Pertama, Allah SWT menguasai hati hamba-hambaNya. Dialah Yang mengarahkan hati manusia mengikut kehendakNya. Dia jugalah yang mengubah azam seseorang, mengubah keinginannya, memberi ilham, dan memesongkannya dari jalan yang lurus.[14] Pendek kata, manusia tidak mengawal hatinya sehingga tidak ada yang beriman atau kufur melainkan dengan izin-Nya.[15]
Jika dikaitkan dengan ayat sebelumnya, tafsiran ini kurang tepat. Ini kerana jika manusia tidak berkuasa atas hatinya, mengapa dia diseru untuk menunaikan seruan Allah SWT dan RasulNya? Begitu juga jika dikaitkan dengan ayat-ayat lain. Banyak ayat menunjukkan bahawa beriman atau kufur, mengikut petunjuk atau berpaling daripadanya, dan taat atau maksiat adalah dalam bidang ikhtiar manusia. (Surah Yunus [10]: 108; Surah Ali Imran [3]: 69; Surah Saba [34]: 29). Oleh itu, wajarlah bahawa Allah akan menghisab perbuatan tersebut dan memberikan ganjaran berupa syurga dan neraka atas pilihan tersebut. (Surah Fusshilat [41]: 46; Surah al-Zalzalah [99]: 7-8, Surah an-Nisa’ [4]: 123).[16]
Kedua, ia adalah kiasan yang menunjukkan kedekatan Allah SWT terhadap hambaNya. Ini kerana, antara maksud al-hawl ialah pemisahan sesuatu dengan yang lain. Jika dinyatakan bahawa Allah SWT menyekat di antara seseorang dengan hatinya, bermakna Allah lebih dekat daripada jarak antara dua perkara yang disekat itu antara satu sama lain.[17] Pemberitahuan ini adalah peringatan bahawa Allah SWT melihat dan mengawasi segala perkara yang disembunyikan oleh hati.[18] Makna ini selari dengan firman Allah SWT,
وَلَقَدْ خَلَقْنَا اْلإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” [TMQ Qaf (50): 16].
Ketiga, sekatan Allah terhadap seseorang dari hatinya diwujudkan dengan mematikannya. Kematian dianggap sebagai penyekat antara seseorang dengan hatinya. Selepas kematian, seseorang tidak lagi berkuasa atas hatinya. Ungkapan dalam ayat ini dimaksudkan sebagai dorongan yang kuat untuk segera mentaatiNya, seolah-olah selepas Allah SWT memerintahkan orang-orang mukmin untuk menunaikan seruan RasulNya, Dia kemudian mencetuskan semangat mereka untuk menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya dengan mengikhlaskan hati mereka dalam mentaati-Nya, [19] sebelum ajal menjemput mereka dan memisahkan mereka dari hati mereka.
Ayat ini ditutup dengan firmanNya, “Wa annahu ilayh tukhsyarûn (dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan).” Ini bermakna perjalanan hidup semua manusia akan berakhir kepada Allah SWT. Mereka akan dibangkitkan, dikumpulkan, dan diberi balasan atas segala perbuatan yang telah mereka lakukan.[20] Maka bersegeralah untuk taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Syariat dan Maslahat
Terdapat sekurang-kurangnya dua prinsip penting yang perlu diperhatikan dalam ayat ini. Pertama, terdapat kewajipan bagi setiap mukmin untuk tunduk kepada segala ketentuan hukum yang bersumberkan Allah SWT dan RasulNya. Mereka tidak boleh menyimpang daripada ketetapan hukum, apatah lagi mengubah atau membatalkannya. Thalab (tuntutan) menunaikan seruan Nabi dalam ayat ini dikategorikan sebagai wajib. Qarînah (petunjuk)nya, terdapat kecaman keras bagi setiap orang yang tidak mahu memenuhi seruan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman,
فَإِنْ لَمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَاعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنَ اتَّبَعَ هَوَاهُ بِغَيْرِ هُدًى مِنَ اللهِ
“Kemudian, jika mereka tidak menjawabmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah.” [TMQ Al-Qasas (28): 50].
Kedua, segala ketentuan hukum bersumber dari Allah SWT dan RasulNya pada dasarnya adalah untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Segala perkara yang dituntut oleh syariat untuk dilakukan adalah maslahat bagi manusia. Sebaliknya semua perkara yang dituntut untuk ditinggalkan adalah mafsadat. Seruan Rasulullah SAW yang boleh memberi kehidupan (limâ yuhyîkum) adalah bukti kesimpulan ini. Dengan demikian, penentuan kemaslahatan, sama ada dalam af’âl (perbuatan) mahupun asyâ’ (benda), secara qath’i hanyalah milik Allah SWT.
حَيْثُمَا يَكُنُ الشَّرْعُ تَكُنُ اْلمَصْلَحَةُ
“Di mana ada syariat, di situ pasti ada maslahat.”
Kaedah ini mesti diyakini oleh setiap mukmin, walaupun akal mereka tidak selalu dapat mencapai hakikat maslahat yang terkandung dalam syariat. Dengan keyakinan ini seseorang mukmin akan lebih lapang menerima ketentuan syariat. Dia tidak akan berani melanggar, apatah lagi mengubah atau membatalkan ketentuan hukum-Nya atas sebab kemaslahatan.
Dalam hal ini, sikap Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS seperti yang diceritakan dalam al-Quran harus dijadikan contoh. Ketika Allah SWT memerintahkan Ibrahim AS menyembelih anaknya, mereka sama sekali tidak ada keberatan untuk berbuat demikian. Walaupun perintah ini amat sukar difahami oleh akal manusia dari segi maslahatnya, mereka yakin perintah Allah SWT mustahil salah, menzalimi hamba-Nya, dan membawa akibat buruk.
Dua prinsip di atas perlu menjadi catatan penting kerana kini muncul golongan liberal yang berpakaian Islam yang menolak pelbagai ketetapan syariat. Aspek maslahat sering digunakan sebagai alasan. Atas sebab kemaslahatan, ketetapan syariat mengenai pewarisan antara anak lelaki dan perempuan ditolak, syarat mempunyai wali bagi wanita dalam perkahwinan dibatalkan, poligami yang dibenarkan oleh syarak malah dilarang, manakala kahwin kontrak dibenarkan. Malah, kerana dianggap dapat menimbulkan konflik – yang bermaksud ia tidak membawa maslahat – penerapan syariah secara keseluruhan dalam kehidupan bernegara ditentang. Kaedah haytsumâ yakûn as-syar’u takûn al-mashlahah (di mana ada syariat, di situ pasti ada maslahat) yang disarikan daripada nas-nas syariat ditukar kepada haytsumâ takûn al-mashlahah fa thamma yakûn as- syar’u (di mana ada maslahat, di situ ada syariat).
Berdasarkan dua prinsip di atas, semua usaha tersebut—iaitu bertentangan dengan ketentuan syariat dengan dalih kemaslahatan—mesti ditolak. Selain bertentangan dengan dua prinsip di atas, usaha ini merupakan sikap bongkak terhadap Allah SWT. Dengan menyatakan ada hukum-hukum syarak yang tidak membawa maslahat, sedangkan dia melihat ada ketentuan lain yang lebih membawa maslahat sehingga hukum syariat itu perlu diubah, bermakna dia menuduh Allah SWT tidak tahu apa yang dia tahu. Allah mencela sikap merasa lebih tahu daripada-Nya. Allah SWT berfirman,
قُلْ ءَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللهُ
“Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?’” [TMQ Al-Baqarah (2): 140].
Sikap bongkak inilah yang menyebabkan iblis diusir dari syurga. Apabila Allah SWT menyuruhnya sujud kepada Adam AS, dia membangkang. Sebabnya, tidak layak baginya yang diciptakan daripada api itu sujud kepada Adam AS yang dicipta dari tanah. [TMQ Al-A’raf (7): 12].
Padahal manusia mesti sedar akan kelemahan mereka. Secerdik mana pun mereka, manusia tidak dapat memastikan hakikat maslahat atau mafsadat. Buktinya, sesuatu yang maslahat itu jarang disangka mafsadat, begitu juga sebaliknya. Allah SWT berfirman,
وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 216].
Umat Islam mesti berwaspada. Dahulu iblis juga menggunakan hujah maslahat dalam memprovokasi Adam AS. Mengikut pujuk rayu iblis, pohon yang dilarang untuk didekati oleh Adam AS boleh menyebabkan si pemakan menjadi malaikat dan dapat hidup kekal di syurga (lihat Surah al-A’raf [7]: 20; Surah Thaha [20]: 120). Dengan ucapan ini, iblis ingin memperdaya Adam AS bahawa tidak ada masalah melanggar peraturan-Nya kerana ada maslahat di sana.
Jika demikian, adakah kita masih percaya dan terpesona dengan segala hujah maslahat yang dipropagandakan oleh pengikut-pengikutnya? Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
[1] Abu Thayyib al-Qinuji, Fath al-Bayân fî Maqâshid al-Qurân, vol. 5 (Qathar: Idârat Ihya’ al-Turath al-Islami, 1989), 154.
[2] Al-Qurthubi, al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qurân, vol. 4 (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1995), 247; al-Qasimi, Mahâsin al-Ta’wîl, vol. 5, 277.
[3] Wahbah al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr ,vol. 9. (Beirut: Dar al-Fikr, 1991), 289.
[4] Syihabuddin al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî , vol. 5. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah: 1994), 177.
[5] Ibn Kathir, Tafsîr al-Qurân al-‘Azhîm, vol. 2 (Beirut: Dar al-Fikr, 2000), 803; Abd al-Haq al-Andalusi, al-Muharrar al-Wajîz fî Tafsîr al-Kitâb al-‘Azîz, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 515; Ibnu al-‘Arabi, Ahkâm al-Qur’an, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, ), 389.
[6] Abu Ali al-Fadhl, Majmû’ al-Bayân fî Tafsîr al-Qurân, vol. (Beirut: Dar al-Ma’rifah, ), 820.
[7] Fakhruddin al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr Aw Mafâtîh al-Ghayb, vol. 8 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1990), 118.
[8] Ibid, Al-Khazin, Lubâb al-Ta’wîl fî Ma’ânî al-Tanzîl, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1995), 304.
[9] Demikian pendapat Urwah bin Al-Zubayr seperti yang dipetik oleh al-Suyuthi, al-Durr al-Manthûr fî Tafsîr al-Ma’thûr, vol. 3 (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1990), 220. Demikian juga menurut Ibnu Ishaq, lihat al-Baghawi, Ma’âlim al-Tanzîl, vol. 2 (Beirut: Dâr al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993).
[10] Sa’id Hawa, al-Asâs fî Tafsîr , vol. 4 (tt: Dar al-Salam, 1999), 2147.
[11] Ibid, 2147.
[12] Abu Thayyib al-Qinuji, Fath al-Bayan, vol. 5 (Qathar: Idârat Ihya’ al-Turath al-Islami, 1989), 154; al-Syawkani, Fath al-Qadîr , vol. 2 (Beirut: Dar al-Fikr, tt), 299.
[13] Fakhruddin al-Razi, al-Tafsîr al-Kabîr, vol. 8, 118; al-Zuhayli, Tafsîr al-Munîr ,vol. 9, 289.
[14] Al-Alûsi, Rûh al-Ma’ânî , vol. 5, 178; al-Qasimi, Mahâsin al-Ta’wîl, vol. 5 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), 277.
[15] Abû al-Hasan al-Naysâbûrî, al-Wasîth Fî Tafsîr al-Qurân al-Majîd, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 452.
[16] Pembahasan lebih jelas tentang hal ini dapat dibaca di al-Nabhani, al-Syakhsiyyah al-Islâmiyyah, vol. 1 (Beirut: Dar al-Ummah, 2003), 98 yang mengupas secara lengkap tentang al-Hudâ wa al-Dhalâl.
[17] Demikian pendapat Hasan dan Qatadah, lihat Al-Alûsi, Rûh al-Ma’ânî , vol. 5, 178.
[18] Ibid, 178.
[19] Ibid, 178.
[20] Al-Shabuni, Shafwat al-Tafâsîr, vo. 1 (Beirut: Dar al-Fikr, 1996), 464.