[Keluarga] Jadikan Anak Lelaki Kita Sebagai Lelaki Sejati
Ayah dan Ibu, mari kita berehat sejenak dan perhatikan anak lelaki kita. Adakah mereka membesar pada jalan lelaki yang sejati? Adakah kita tidak peduli atau kurang memperhatikan perkembangan watak mereka sebagai lelaki? Selamatkah mereka? Adakah kita merasa tenang? Atau kita langsung tidak kisah?
Saya ingin mengingatkan bahawa terdapat ramai remaja dan belia (lelaki) di negara ini yang belum dewasa dan menjadi lelaki sejati. Ada di antara mereka yang berjiwa separuh lelaki. Ya, separuh sahaja. Hal ini dapat dilihat dari jiwa mereka yang miskin dengan tanggungjawab dan tidak boleh berdiri dengan kaki sendiri. Ketika duit poket yang mereka minta telah habis, maka mereka tinggal minta lagi tanpa rasa segan silu. Usah ditanya perihal mengurus tanggungjawab orang lain, urusan diri sendiri pun diurus dan dipertanggungjawabkan oleh orang lain. Bilik, baju, kasut, beg, duit poket tinggal diserahkan kepada orang lain. Ada ibu ayah, pembantu, pemandu, dan lain-lain.
Saya mengenali beberapa pemuda yang berada di universiti selama bertahun-tahun dan belum menyelesaikan pembelajaran kerana mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk pergi belajar. Bagi mereka, menjadi pelajar sekolah rendah atau pelajar kolej sama sahaja iaitu bermain. Ibu bapa pun hanya membiarkan perkara itu berlalu dengan begitu sahaja.
Pemuda yang berjiwa separuh lelaki ini tidak mempunyai visi tentang masa depan, kehidupan melainkan tentang dirinya sendiri. Sekolah dan kolej hanya untuk wadah mereka mempunyai pekerjaan yang baik, wang yang banyak dan isteri yang cantik. Titik.
Jangan bandingkan mereka dengan Pangeran Diponegoro yang menyia-nyiakan peluang bertakhta di Kerajaan Mataram kerana tidak mahu menjadi ‘pengesat kaki penjajah’ dan melihat orang Jawa dan umat Islam ditindas oleh kaum imperialis. Dia kemudian memilih untuk hidup dari hutan ke hutan, tinggal di Gua Selarong dan memilih cara hidup sebagai seorang yang bertanggungjawab. Bagi remaja dan belia yang hanya mempunyai separuh jiwa lelaki ini, mengorbankan nyawa mereka untuk orang lain terutama untuk agama dan Tuhan (Allah SWT) adalah impian yang terlalu tinggi. Bukan setakat mencapainya, bahkan untuk bermimpi pun mereka tidak ingin melakukannya.
Terdapat juga beberapa lelaki yang perlu dikasihani kerana mereka telah kehilangan sifat kejantanannya. Mereka membelokkan dirinya menjadi transgender, pondan, atau gay. Mereka berada di pentas dunia hiburan, politik, perniagaan tetapi hidup dengan melawan fitrah sebagai seorang lelaki. Ini adalah kaum lelaki yang paling sakit di dunia.
Namun, mari kita perhatikan kembali pada diri kita, Ayah dan Ibu. Kebanyakan dari anak lelaki kita yang membelokkan diri menjadi seperti ini sebenarnya berpunca dari cara kita mengasuh dan mendidik mereka di rumahnya. Ayah dan ibu yang membuatkan mereka hilang kejantanannya baik separuh atau sepenuhnya. Seperti anak perempuan lainnya, tidak ada anak lelaki yang dilahirkan menjadi peribadi yang cacat. Ayah dan ibunya yang membuat kecacatan pada dirinya.
Bermula dari sosok seorang ayah yang jarang untuk berada dalam kehidupan anak lelakinya selain memarahi atau memukulnya. Mereka merasakan keberadaan mereka sebagai bapa hanya menyediakan kemudahan untuk anak lelaki bukan untuk membina kehidupan mereka.
Sepatutnya dari ayahlah seorang anak lelaki belajar tentang kepimpinan yang melindungi (ri’ayah) keluarga, cara untuk memiliki watak serta memperlakukannya sebagai seorang lelaki dan cara untuk bertahan dari kehidupan yang mencabar. Sebaliknya yang ada sekarang ialah ramai ayah yang terlalu memberi ruang yang sia-sia , selain daripada duit dan barangan yang menyeronokkan sementara.
Akhirnya, didikan anak lelaki jatuh ke tangan perempuan. Bermula dari pengasuhan ibunya di rumah, guru-guru di tadika sehingga sekolah menengah yang kebanyakannya perempuan. Sebenarnya, wanita bukanlah lelaki dan lelaki bukan wanita secara fizikal atau mental.
وَ لَيۡسَ الذَّكَرُ كَالۡاُنۡثٰى
“dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan”. [TMQ Ali-Imran (3):36]
Mungkin mereka mengetahui bahawa wanita tidak memahami secara sepenuhnya bagaimana cara kaum lelaki untuk bertahan daripada serangan musuh atau cara untuk terus hidup di alam liar. Ini kerana di dalam jiwa seorang perempuan terdapat jiwa ibu dan isteri yang berbeza dengan lelaki. Hormon testosteron lelaki adalah 10-20 kali lebih banyak daripada wanita. Namun, dari pola pengasuhan itu ramai anak lelaki yang tidak membesar seperti lelaki. Sebahagian daripada mereka telah kehilangan separuh jiwa lelakinya.
Lelaki terkadang perlu ditegur sepertimana mereka dipuji, dipukul sepertimana ia dirangkul bahunya. Lelaki juga perlu selalu dicabar dan ditantang baru kemudian ditenangkan. Mereka perlu jatuh berdarah bukan duduk menganyam kain atau menonton drama percintaan. Mereka perlu diyakinkan bahawa kegagalan perlu diterima sepertimana kejayaan. Menangisi kehidupan bagi lelaki juga perlu, tetapi tidak melebihi seperti seorang perempuan.
Bagaimana anak lelaki kita ingin mempunyai peribadi lelaki sejati jika ayah dan ibunya tidak pernah menjelaskan bagaimana seorang lelaki sepatutnya? Ayah yang tidak pernah muncul dan kalau pun ada hanya memarahi dan memukul dibandingkan dengan menceritakan visi dan misi hidup seorang lelaki. Sebaliknya, ibunya pula mengasuh dengan dunia kewanitaan.
Oleh sebab itu ayah dan ibu, kita tidak boleh hanya duduk dan berdoa, tetapi mulalah belajar untuk mempersiapkan anak-anak kita menjadi lelaki sejati. Belajarlah dari Rasulullah SAW yang berjaya membina sosok Mus’ab bin Umair, Usamah bin Zaid, Ibnu Abbas, Ali bin Abi Talib dan lain-lain. Melahirkan lelaki sejati dan menjadi pengukir sejarah, yang boleh mengharumkan pentas kehidupan di dunia dan akhirat.
Sumber: iwanjanuar.com