[Nafsiyah] Menghindari Sifat Dendam
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Dendam adalah membekasnya keburukan orang lain di dalam hati.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Ka’ab bin Malik, beliau berkata, “Aku telah mendengar Ka’ab bin Malik bercerita tentang hadis mengenai dirinya ketika beliau tidak ikut (berperang) bersama Rasulullah SAW. Lalu beliau menuturkan sebuah kisah dan turunnya wahyu tentang diterima taubat dirinya. Beliau berkata, ‘Aku masuk ke dalam masjid. Ketika aku masuk, Rasulullah sedang duduk dikelilingi para sahabat. Kemudian Talhah bin Ubaidillah berdiri menghampiriku sambil berjalan mundur sehingga dia berjabat tangan denganku seraya mengucapkan selamat. Demi Allah, tidak berdiri menghampiriku seorang lelaki dari golongan Muhajirin kecuali beliau.’ Abdullah bin Ka’ab bin Malik berkata, ‘Ka’ab bin Malik tidak pernah melupakan sikap baik Talhah.’” [HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan An-Nasa’i].
Apabila sudah yakin bahawa kebaikan tidak dapat dilupakan, maka demikian juga halnya dengan keburukan. Walau begitu, kita tetap digalakkan untuk berusaha sungguh-sungguh dalam membersihkan bekas keburukan orang lain (perasaan dendam) dari hati kita.
Ubat dendam adalah dengan cara memberi kemaafan dan keampunan. Maaf memiliki dua tempat.
Pertama, pahala bagi yang memaafkan. Kedua, bersyukur kepada Allah kerana telah menempatkan kita pada posisi orang yang memaafkan.
Kesempurnaan memberi maaf ditandai dengan ketulusan, iaitu bersihnya hati dari perasaan dendam.
Selain ubat di atas, ada ubat lain yang lebih mujarab, iaitu kesedaran bahawa sikap menyakitkan yang dilakukan orang lain terhadap diri kita adalah sebagai kifarah dosa, atau untuk menaikkan darjat, atau untuk menguji kesedaran diri.
Namun ada lagi ubat yang lebih mujarab daripada itu semua, iaitu kesedaran bahawa segala sesuatu adalah ketetapan dari Allah SWT.
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengubati Jiwa yang Lelah