[Nafsiyah] Berhati-Hati Dengan Kedudukan Kuasa
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Ketahuilah bahawa manusia sentiasa cintakan kemuliaan dan keluhuran, maka manusia sentiasa memilih kepimpinan dan kuasa. Ini kerana dengan kuasa, manusia mempunyai keupayaan untuk memerintah dan mencegah. Sememangnya mempunyai kuasa adalah satu tuntutan, tetapi terdapat bahaya akibat penyalahgunaan kuasa atau apabila seseorang pemerintah tidak mempunyai niat baik dalam melaksanakan kuasanya.
Perlu disedari bahawa kekuasaan akan mempunyai nilai yang agung selagi seseorang itu belum berjaya mencapainya. Jika seseorang telah mencapainya, dia pasti akan berasa hampa dan mahukan jawatan yang lebih tinggi lagi dan sebagainya.
Ingatlah, kesenangan dan kekuasaan hanya sementara, sedangkan akhirat adalah selamanya. Berfikir tentang ini adalah ubat untuk mengawal cita-cita meraih kekuasaan.
Hadis yang disandarkan kepada Abi Umamah, Nabi SAW bersabda
ا مِنْ رَجُلٍ يَلِي أَمْرَ عَشَرَةٍ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ إِلَّا أَتَى اللهَ مَغْلُولًا، يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَدُهُ إِلَى عُنُقِهِ فَكَّهُ بِرُّهُ أَوْ أَوْبَقَهُ إِثْمُهُ أَوَّلُهَا مَلَامَةٌ،
وَأَوْسَطُهَا نَدَامَةٌ وَآخِرُهَا خِزْيٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Tidaklah seseorang memimpin sepuluh orang atau lebih melainkan dia mendatangi Allah pada hari kiamat dengan keadaan tangan terikat pada lehernya. Kebaikannyalah yang dapat menghilangkan belenggu-belenggu itu, dan dosanyalah yang membinasakannya. Pada awalnya, kepimpinan adalah penghinaan, pertengahannya penyesalan, dan akhirnya adalah kehinaan pada hari kiamat.” [HR Ahmad]
Dalam hadis marfu’ yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Celakalah pemimpin, celakalah urafa’, celakalah orang yang mendapat kepercayaan. Pada hari kiamat nanti manusia benar-benar ingin menggantungkan rambutnya pada tsuraya (bintang kartika) supaya mereka berayun di antara langit dan bumi tanpa berbuat apa-apa.”
Dalam hadis riwayat Abi Dzarr, dia berkata, “Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak melantikku sebagai pengawal?’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda “Wahai Abu Dzarr, sesungguhnya kamu itu lemah, sedangkan jawatan itu merupakan amanah. Pada hari kiamat kelak kedudukannya adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menerima jawatan itu sesuai dengan haknya dan menjalankan tugasnya dengan amanah.‘”
Sumber: Ibn al-Jauzi, Menyembuhkan Jiwa yang Letih