Barbie: Alat dalam Masyarakat Kapitalis
Filem Barbie yang ditayangkan tahun ini dan meraih box office, diliputi pelbagai berita serta perbincangan di sekelilingnya yang sangat penting. Orang ramai membincangkan plot, pilihan reka bentuk pakaian, subteks, implikasi politik, ulasan masyarakat, objektif sejarah, dan penggunaan Barbie; serta banyak lagi senarai panjangnya.
Apa yang orang ramai terlepas pandang adalah Barbie sekadar anak patung- mainan yang hanya mempunyai makna kerana kita, sebagai masyarakat memberikan makna kepadanya.
“Barbie diasaskan pada tahun 1959 oleh Ruth Handler, yang inspirasinya untuk menghasilkan Barbie datang apabila melihat anak perempuannya menzahirkan impian dan aspirasinya pada anak patung kertas. Menyedari jurang dalam pasaran, yang hanya menawarkan anak patung bayi untuk kanak-kanak perempuan membayangkan diri mereka sebagai penjaga, Ruth mencipta kategori anak patung fesyen dengan tiga dimensi yang boleh digunakan oleh kanak-kanak perempuan untuk membayangkan masa depan mereka. Falsafah Ruth di sebalik Barbie ialah, melalui anak patung itu seorang gadis kecil boleh menjadi apa sahaja yang dia mahu dan dia mempunyai pilihan” (Sumber: Barbie Media)
Anak patung Barbie adalah satu kejayaan besar, dengan gadis-gadis muda di mana saja menikmati pelbagai aksesorinya. Syarikat itu sangat bijak dalam pemasaran, dan memastikan bahawa gadis-gadis muda sentiasa mempunyai sesuatu yang baru untuk ditambahkan pada koleksi Barbie mereka.
Anak patung itu telah menjadi sumber perdebatan – dengan sesetengahnya menunjukkan kebimbangan tentang imej yang dipersembahkan kepada gadis muda tentang penampilan mereka, manakala yang lain memfokuskan pada kesan positif yang boleh diberikan kepada pemahaman gadis muda tentang peranan mereka dalam masyarakat. Walau apa pun, ini tidak mengubah fakta bahawa tafsiran anak patung itu bergantung pada idea asas yang wujud dalam masyarakat.
Filem ini telah membawa kepada perbincangan mengenai Barbie yang mendominasi media. Tetapi hari ini, makna Barbie dipengaruhi oleh dua perkara; perspektif pencipta yang mempengaruhi pemasaran anak patung itu, dan tafsiran masyarakat.
Apabila cuba memahami plot dan mesej filem Barbie, mudah untuk tersesat dalam semua perspektif dalam media. Terdapat pelbagai teori dan pendapat, dengan setiap kumpulan dalam masyarakat menggunakan aspek filem untuk menyokong hujah mereka atau membuat kenyataan sosial. Tetapi teori-teori itu adalah berdasarkan tafsiran semata, namun mesej sebenar dalam filem itu diputuskan oleh mereka yang menghasilkannya.
Dalam temu bual, penerbit dan pelakon filem Barbie berkata:
“Kami mempunyai beberapa soalan besar untuk ditanya, seperti apakah erti kehidupan? Apakah kebahagiaan sebenar? Mengapa hidup berbaloi? Jika anda boleh menguasai dunia Barbie dengan sempurna, apa yang membuatkan anda akan memilih perkara (dunia) selainnya? Soalan-soalan itu membawa kepada beberapa jawapan dan perbualan yang cukup mendalam, namun ia bukanlah jawapan, kerana tidak ada jawapan yang sebetulnya. Itulah apa (persoalan) yang terus menerus kembali, sepertinya, saya tidak dapat merumuskan erti kehidupan dalam ayat kecil yang kemas. (Margot Robbie: Pelakon & Penerbit, Filem Barbie)
Kita tahu bahawa jawapan kepada soalan-soalan ini diberikan kepada kita dalam Islam. Kurangnya kepercayaan masyarakatnya kepada Allah (swt) yang telah mendorong mereka untuk mencipta kisah Barbie mengikut alur ini, ketika mereka cuba menjawab persoalan asas tentang kehidupan. Dan mereka meneroka soalan menggunakan idea yang wujud dalam masyarakat, idea yang mereka percayai.
Semasa pencipta mengembangkan plot, mereka menyepadukan idea ini ke dalam jalan cerita. Saya belum menonton filem itu jadi saya tidak dapat menyatakan betapa jelasnya mereka menumpukan pada menjawab soalan-soalan tersebut melalui filem itu. Walaupun bahan promosi menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan pada perkembangan cerita dan jenaka yang diceritakan.
Apa yang menarik ialah media, dengan semua pengiklanan, dan media sosial, dengan pelbagai tafsiran mereka terhadap filem itu, tidak menyorot aspek penting filem ini. Tumpuan adalah pada topik aliran semasa seperti retorik anti-lelaki, kepelbagaian, pemerkasaan wanita, dan sudah tentu, fesyen.
Apabila media menggalakkan pembicaraan-pembicaraan sedemikian, adakah kita terpengaruh dengannya?
Sudah tentu, terutamanya kanak-kanak kecil yang sangat mudah terpengaruh, tetapi itu tidak bermakna seluruh masyarakat selamat. Jika sesuatu perkara diulang-ulang, lama kelamaan ia menjadi pendapat umum yang diterima, hampir menjadi fakta. Dan fakta mempunyai cara untuk memberi kesan kepada kita semua.
Namun hal ini tidak akan berubah, sehinggalah masyarakat berubah. Dan masyarakat tidak akan berubah sehingga idea-idea di dalamnya berubah – sama ada idea-idea ini adalah jawapan kepada soalan-soalan asas seperti dari mana saya datang dan ke mana saya akan pergi? Atau jika ia adalah asas sebagai jawapan kepada soalan mudah, apa yang saya mahu pakai hari ini?
“Masalahnya ialah Barbie mewakili standard kecantikan yang boleh memberi tekanan kepada gadis-gadis muda-yang kemudiannya sengaja membuat diri mereka lapar untuk tidak menjadi gemuk, dan kelihatan cantik serta sempurna seperti anak patung Barbie mereka.” (Sumber)
Isu dengan perkara sedemikian ialah bukan mainan yang memberi tekanan kepada gadis muda, tetapi masyarakat. Francais Barbie mungkin memutuskan untuk memasarkan anak patung itu dengan cara tertentu tetapi idea ini diperkukuh dan disokong oleh media, industri fesyen, dan juga sistem pendidikan.
Saya juga akan mengatakan bahawa mereka semua mendapat manfaat daripadanya – mengeksploitasi gadis-gadis, dan mempengaruhi idea-idea dalam fikiran mereka, untuk memastikan bahawa mereka mempunyai aliran keuntungan yang berterusan – melalui kosmetik, pakaian, pembedahan, dan seterusnya.
Tetapi sehingga kita mengubah masyarakat, dan mengubah cara kita mendekati kehidupan, kita tidak akan dapat mengehadkan kuasa dan pengaruh yang dimiliki oleh industri tersebut ke atas kita.
Islam menolak semua perspektif kecantikan barat dan timur yang dihasilkan dan digunakan oleh industri kecantikan, fesyen dan lain-lain untuk mengeksploitasi wanita dan gadis membeli produk mereka demi meraih jualan dan keuntungan yang besar. Islam mementingkan wanita dari segi takwa, keperibadian Islam, kelakuan dan kebaikan manfaat yang dibawanya kepada masyarakat dan manusia. Islam juga melarang sebarang bentuk objektifikasi wanita atau eksploitasi tubuh dan kecantikan mereka untuk keuntungan kewangan. Semua ini membantu mengekalkan status penghormatan yang tinggi terhadap wanita dalam masyarakat dan melindungi mereka daripada bahaya. Namun, pandangan dan prinsip Islam yang berkaitan dengan wanita dan masyarakat ini tidak dapat dilaksanakan dengan betul atau menyeluruh tanpa adanya sistem dan negara Islam. Dan itulah sebabnya kita perlu menegakkan semula Khilafah mengikut kaedah Rasulullah (saw) di negeri-negeri Muslim kita untuk menghidupkan prinsip-prinsip Islam ini dalam sebuah negara dan untuk menunjukkan kepada manusia bagaimana wanita harus dilihat dan diperlakukan. .
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Fatima Musab
Anggota Media Pusat Hizbut Tahrir