[Nafsiyah] Menghindari Sifat Ujub (Berbangga Diri)
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Sesungguhnya sifat ujub timbul hanya kerana kecintaan mendalam terhadap diri, sedangkan yang dicintai tidak akan dilihat dan diyakini kekurangannya, melainkan akan dilihat sebagai sesuatu yang sempurna. Salah satu bahaya ujub ialah akan menimbulkan kebencian terhadap sesuatu yang menjadi punca ujub ,yang asalnya dari sikap bangga kerana orang yang berbangga dengan sesuatu tidak akan mengalami peningkatan dalam sesuatu. Dia akan lebih mencela terhadap pendapat, idea dan kekurangan orang lain.
Ubat dari sifat ujub adalah dengan muhasabah kekurangan-kekurangan diri, meminta orang lain untuk memperbaiki keburukan-keburukan dirinya, serta membandingkan keadaan dirinya dengan orang-orang sebelumnya dalam perkara yang membuatkan dia bangga dan istimewa di antara teman-temannya.
Apabila seorang alim ujub dengan ilmu atau kezuhudannya, hendaklah dia melihat perilaku dan nama baik ulama dan orang-orang zuhud, pada saat itu, dia tidak akan membanggakan dirinya.
Imam Ahmad hafal beribu-ribu hadis, Kahmas bin al-Hasan menamatkan membaca al-Quran sebanyak tiga kali sehari, dan Salman at-Taimi menunaikan solat fajar dengan wudhu’ solat Isyak selama 40 tahun.
Barang siapa yang merenungkan nama baik suatu kaum, maka dia akan melihat bahawa dirinya dibandingkan dengan orang lain dalam hal nama baik tersebut bagaikan orang yang bangga dengan satu dinar yang dimilikinya sementara dia tidak tahu bahawa di dunia ini ramai orang yang memiliki beribu-ribu dinar.
Ibrahim al-Khawas berkata, “Sikap berbangga diri dapat menjadikan seseorang tidak tahu diri.”
Sebahagian orang bijak pandai berkata, “Sikap berbangga diri seseorang adalah satu bentuk kejahatan akalnya. Sungguh merugikan diri sendiri dalam suatu pertemuan.”
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengobati Jiwa yang Lelah