[Nafsiyah] Keutamaan Palestin, Perjuangan yang Tidak Akan Berhenti
Bumi Palestin masih dalam keadaan yang amat menyedihkan. Konflik di sana tidak pernah berakhir. Para pemimpin negara-negara Islam masih belum memberikan bantuan sebenar kepada Palestin. Namun, penduduk Palestin tetap tabah menghadapi kematian. Sebagai umat Islam, hati kita terasa sakit dan mata kita menangis kerana menyaksikan perbuatan keji tentera Israel terhadap penduduk Palestin.
Sesungguhnya, penduduk Palestin memiliki keutamaan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Orang-orang Maghribi (Syam) akan tetap berada di atas kebenaran sehingga hari kiamat.” [HR Muslim].
Sejak zaman dahulu lagi, rakyat Syria atau Palestin dikenali sebagai orang-orang yang memiliki kehebatan, daya tahan serta kesabaran yang luar biasa. Mereka adalah bangsa yang memiliki ciri-ciri istimewa berbanding dengan bangsa lain. Penduduk Syam juga disebut sebagai ahlul al ghorbi, iaitu orang atau penduduk yang kuat, hebat, tegas serta memiliki kesabaran dan independen terhadap segala sesuatu. [Sahih Muslim bi Sharh an-Nawawi jilid 13, hlm.68].
Rasulullah SAW bersabda, “Kepesatan Baitulmaqdis adalah tanda kehancuran Kota Madinah, kehancuran Kota Madinah adalah tanda akan terjadinya peperangan besar, terjadinya peperangan besar adalah tanda bagi pembukaan Kota Konstantinopel, dan pembukaan Kota Konstantinopel adalah tanda keluarnya Dajjal.” [HR Abu Dawud].
Perjuangan Tidak Akan Pernah Berhenti
Tentera Israel menyerbu Masjidil Aqsa dan menyekat pergerakan rakyat Palestin. Banyak darah suci yang tidak berdosa ditumpahkan. Selain itu, para pengkhianat masih berpegang teguh kepada tuntutan perdamaian mereka dan projek solusi dua negara. Pemimpin Islam yang masih berpihak kepada musuh Islam sebenarnya membelenggu umat daripada berjihad di jalan Allah SWT.
Bumi Palestin adalah bumi yang diberkati oleh Allah SWT. Umat Islam merupakan keturunan para penakluk dan juga pembebas. Sesungguhnya, umat Islam lah yang layak memikul amanah dan menjaga tanah yang diberkati tersebut. Tentera Islam yang berjumlah berjuta-juta sepatutnya menjadi “bara api” yang bergerak segera untuk mencabut entiti Yahudi dan membersihkan Palestin daripada cengkaman penceroboh.
Tentera Islam yang memiliki kekuatan untuk mengusir penceroboh hendaklah mengingati firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan diberi pertolongan.” [TMQ Hud (11): 113].
Allah SWT juga berfirman,“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. “ [TMQ at-Taubah(9): 38].
Perjuangan umat Islam tidak akan pernah berhenti sehingga bumi Palestin bebas daripada cengkaman penjajah kafir. Palestin telah hilang pada hari Khilafah tiada. Umat Islam mesti terus berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan tertegaknya Khilafah. Perjuangan menegakkan Khilafah adalah satu kemuliaan dan cara untuk menyelamatkan umat manusia.
FirmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah.” [TMQ as-Saf (61):14]. Kemudian, kita juga diingatkan oleh Allah lagi dalam firmanNya, “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [TMQ Muhammad (47): 7]
Saudara-saudari di Palestin, kami di sini juga tidak berdiam diri walaupun kita terpisah oleh jarak yang jauh. Kami akan terus berjuang dan berdoa kepada Allah SWT untuk menyatukan kita dalam kepimpinan yang satu iaitu Khilafah. Wallahu’alam bissawab.
Sumber: muslimahnewsid