[Nafsiyah] Menjadi Insan yang Meninggalkan Jejak Kebaikan
Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Manusia dikenali dan dikenang bukan sekadar pada masa hidupnya, tetapi juga kerana atsar (jejak) kehidupannya. Sama saja, jejak kebaikan atau keburukan (wal ‘iyadzu billah). Mereka yang meninggalkan jejak kebaikan akan mendapat ganjaran atas setiap kebaikannya bilamana orang lain mengikuti jejak kebaikan tersebut. Begitu juga dengan jejak keburukan. Ini sebagaimana pesan yang mulia dari baginda Rasulullah SAW,
مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بها بَعْدَهُ،مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُوْرِهِمْ شَيْءٌ. ومَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بها مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
“Siapa saja yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang baik, dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Siapa saja yang mengerjakan dalam Islam sunnah yang buruk, dia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikuti dirinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” [HR Muslim].
Lafaz sunnat[an] hasanat[an] dan sayyi’at[an] menunjukkan keluasan cakupannya (mubham). Ia mencakupi segala perkara yang baik dan buruk dalam pandangan Islam. Ini menjadi berita gembira (bisyarah) bagi orang yang melakukan kebaikan dan menjadi sebab orang lain turut melakukan kebaikan serupa. Sebaliknya, ia menjadi ancaman dan peringatan bagi orang yang melakukan keburukan dan membukakan jalan bagi orang lain untuk turut melakukan keburukan yang serupa. Dia akan mendapat ganjaran akibat membukakan pintu keburukan tersebut, wal ‘iyadzu billah. Sama saja, bagi keburukan lisan mahupun perbuatan.
Menjelaskan hadis di atas, Al-Hafizh Al-Nawawi (w. 676 H) dalam Syarh Shahih Muslim (VII/104) menjelaskan, “Di dalam hadis ini terdapat dorongan untuk memulakan perkara kebaikan dan menggariskan perbuatan-perbuatan terpuji, serta peringatan atas perbuatan yang bermula dengan kebatilan-kebatilan dan perkara-perkara yang tercela.”
Oleh kerana itu, betapa buruknya perbuatan menganiaya gerakan dakwah dan para aktivisnya. Betapa buruknya stigma negatif bagi ajaran Islam Al-Khilafah, yang dipuji kedudukannya sebagai junnah (perisai) oleh Rasulullah SAW dan disematkan padanya sifat ‘ala minhaj al-nubuwwah. Ini untuk menggambarkan khilafah sebagai sistem Islam yang mengatur masyarakat dengan syariat Islam dan menyatukan mereka semua dalam satu kepimpinan.
Lebih teruk lagi jika keburukan tersebut diikuti oleh orang lain yang terpedaya. Jadilah keburukan yang berlipat kali ganda sehingga berlipat ganda dosanya. Adakah tidak cukup peringatan Allah SWT sebelumnya di dalam al-Quran? Allah SWT memberi contoh mereka yang celaka kerana jejak-jejak keburukannya yang diikuti manusia, menggariskan sikap keras terhadap apa yang Allah ajarkan, dengan memberikan stigma buruk sebagai dongeng orang-orang terdahulu semata-mata. [Lihat:TMQ an-Nahl (16): 24–25].
Sebagaimana dinukilkan oleh Imam Badruddin Al-‘Aini (w. 855 H) dalam ‘Umdat Al-Qari (XXV/53) mengenai pembahasan tentang dosa orang yang menyeru manusia kepada kesesatan, di mana dia mendapat tambahan dosa atas dirinya seperti dosa yang dilakukan oleh orang yang mengikuti jejak keburukannya. Lafaz ala merupakan huruf tanbih yang berfungsi sebagai tawkid (penegasan), diikuti dengan lafaz sa’a yang menunjukkan bentuk tafdhil (melebihkan). Kedua-dua lafaz ini semakin menegaskan besarnya celaan Allah atas perbuatan tersebut yang sangat buruk.
Lantas, apa bezanya dengan sikap keras mereka yang memberi stigma negatif kepada khilafah sebagai ‘ajaran kuno’ yang dianggap tidak lagi relevan dengan maksud mengingkari dan menolaknya, bahkan mengajak orang lain menjauhinya? Tidak cukup sampai di sana, juga diikuti sikap buruk menganiaya gerakan dakwah dan para aktivisnya, serta memprovokasi orang lain menjauhinya? Bukankah itu semua termasuk keumuman sanna sunnat[an] sayyi’at[an] yang dicela dalam hadis ini? Adakah azab yang menimpa umat-umat terdahulu akibat keburukan mereka sendiri yang menentang ajaran Allah dan menganiaya para RasulNya tidak cukup menjadi pengajaran?
Pada saat yang sama, kematian adalah sesuatu yang pasti akan tiba masanya, tidak boleh menangguhkan perkara yang tertunda seketika. Kematian menjadi momentum awal manusia memasuki gerbang penghisaban atas segala perbuatannya. Allah SWT berfirman,
وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبٗا مُّؤَجَّلٗاۗ وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَا وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلۡأٓخِرَةِ نُؤۡتِهِۦ مِنۡهَاۚ وَسَنَجۡزِي ٱلشَّٰكِرِينَ ١٤٥
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Siapa saja yang menghendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan dia pahala dunia itu. Siapa saja yang menghendaki pahala akhirat, Kami beri (pula) dia pahala akhirat itu. Kami akan memberikan balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” [TMQ Ali Imran (3): 145.]
Syeikh Ali Ash-Shabuni (w. 1442 H) dalam Shafwat al-Tafsir (I/212) menjelaskan bahawa siapa saja yang menghendaki ganjaran dunia dari amal perbuatannya, maka Allah akan memberikan kepada dirinya dan di akhirat dia tidak akan mendapatkan bahagian kebaikannya. Ini mengandungi sindiran bagi orang-orang yang menghendaki harta benda (seperti binatang ternak). Allah SWT menjelaskan bahawa mendapatkan harta dunia bagi manusia bukanlah sesuatu yang patut diimpikan. Ini kerana hal itu diberikan kepada orang yang baik mahupun orang yang derhaka. Siapa saja yang menghendaki ganjaran akhirat, maka Allah memberinya ganjaran tersebut secara sempurna, sebagaimana Dia menganugerahkan bahagiannya di dunia. [lihat: TMQ asy-Syura (42): 20].
Menariknya, setelah menggambarkan keadaan orang yang menghendaki pahala akhirat, Allah SWT menggambarkan sejarah para pejuang kebenaran itu sendiri.
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيّٖ قَٰتَلَ مَعَهُۥ رِبِّيُّونَ كَثِيرٞ فَمَا وَهَنُواْ لِمَآ أَصَابَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَمَا ضَعُفُواْ وَمَا ٱسۡتَكَانُواْۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلصَّٰبِرِينَ ١٤٦
“Berapa banyak Nabi yang berperang bersama-sama mereka sejumlah besar dari pengikut(nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak menjadi lesu, dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar.” [TMQ Ali Imran (3): 146].
Merekalah para pejuang yang mengikuti jejak-jejak agung Rasulullah SAW, sang penyebar risalah, di atas jalan yang Allah SWT tetapkan sebagai jalan menuju keredhaanNya.
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Sungguh inilah jalanKu yang lurus. Kerana itu, ikutilah jalan itu. Janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kalian dari jalanNya. Yang demikian diperintahkan oleh Allah agar kalian bertakwa.” [TMQ al-An’am (6) 153].
Rasulullah SAW pernah membuat garisan di depan para sahabatnya dengan satu garisan lurus di atas pasir, sementara di sebelah kanan dan kiri, baginda menggariskan garis-garis yang banyak. Kemudian baginda SAW bersabda, “Ini adalah jalanku yang lurus, sementara ini adalah jalan-jalan yang di setiap pintunya ada syaitan yang mengajak ke jalan itu.” Kemudian Nabi SAW membaca [TMQ al-An’am (6): 153] di atas.
Wallahu’alam.