Kehidupan di Gaza: Sekilas Ringkasan
Semenanjung Gaza adalah satu daripada hanya dua (yang satu lagi adalah Tebing Barat) wilayah Palestin yang mengecil, yang kekal daripada penjajahan brutal tanah Palestin oleh Zionis yang bermula sejak tahun 1948. Lebih daripada 60% penduduk Gaza adalah pelarian yang tinggal hanya beberapa kilometer jauhnya dari rumah dan bandar asal mereka.

Berukuran hanya 365 km2, ia menjadi tuan rumah kepada 2.1 juta penduduk Palestin sekaligus menjadikannya salah satu kawasan paling padat penduduk di dunia. Dikelilingi oleh dinding besi setinggi 6m+, seluas 65km yang dipenuhi dengan berpuluh-puluh antena dan beratus-ratus kamera dan radar, ia telah digambarkan sebagai “penjara terbuka terbesar di dunia” oleh pelapor khas yang dilantik Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Michael Lynk.

Gaza telah berada di bawah sekatan udara, darat, laut yang menyeluruh secara haram sejak 2007 yang bermaksud bahawa Zionis mengawal siapa, dan apa yang memasuki kawasan tersebut pada setiap masa.

Sistem permit yang diperkenalkan pada tahun 1980-an memerlukan mereka mendapatkan permit yang sukar diperoleh untuk bekerja atau mengembara melalui kawasan di luar Gaza. Akibatnya, penduduk Gaza terputus dari Baitulmaqdis, di Tebing Barat yang diduduki, yang menempatkan hospital khusus, konsulat asing, bank dan perkhidmatan penting lain.
Menurut PBB, lebih daripada 95 peratus air Gaza tidak selamat untuk diminum dan terdapat kekurangan barangan asas seperti makanan dan bahan api. Sekitar 56 peratus rakyat Palestin di Gaza mengalami kemiskinan, dan pengangguran belia berjumlah 63 peratus (Biro Perangkaan Pusat Palestin).
Pemutusan bekalan elektrik telah memberi kesan buruk kepada pelajar Gaza. Di rumah, mereka terpaksa belajar dengan lampu gas atau nyalaan lilin. Ini menghalang keupayaan mereka untuk menumpukan perhatian dan belajar. Penjana boleh menyalakan lampu, tetapi agak bising dan sering kekurangan bahan api yang mencukupi untuk menyalakannya. Di sekolah, ketiadaan bekalan letrik bermakna makanan menjadi rosak, tandas kotor, dan tiada air bersih untuk mencuci tangan.
Sejak permulaan pengepungan, antara 2008 dan 2021, empat serangan besar telah dilakukan di Semenanjung Gaza yang membawa kepada kematian beribu-ribu orang awam Palestin termasuk ramai kanak-kanak, dan kemusnahan beribu-ribu rumah, sekolah dan bangunan pejabat.
Sumber: Insight – Islamic Perspectives on Politics.