MEMBONGKAR PEMBOHONGAN DAN PROPAGANDA
Pembohongan
Ketidakadilan negara-negara Barat nampaknya mencapai tahap kesetiaan baru sesama mereka sejak akhir-akhir ini apabila satu demi satu, masing-masing memberikan sokongan padu mereka kepada entiti Zionis untuk mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk ‘melindungi dirinya’.
Mempercepatkan propaganda media Zionis, kerajaan Barat secara kolektif menyebarkan pembohongan melalui media dan undang-undang mereka sendiri. Mereka “menguatkan suara” para penduduk penjajah yang sedang ketakutan, di setiap platform tanpa pengecualian; sambil meremehkan kebiadaban dan kekejaman sebenar yang dilakukan rejim zionis ke atas penduduk Gaza, termasuk kematian ratusan bayi, dan ribuan lagi kanak-kanak, wanita dan lelaki.
Media kerajaan Barat juga telah melakukan pemutihan ucapan kebencian entiti penjajah, di mana rakyat Palestin terus-menerus diprovokasi dengan tuduhan palsu jenayah rogol dan tindakan keji mengelar leher mereka. Pihak sekutu Zionis juga telah mempromosikan pembohongan tentera Zionis tentang peristiwa tembak-menembak dan pembunuhan rambang dengan pejuang pembebas yang mana, situasi ini seterusnya mencetuskan respon-respon keji yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tak cukup dengan itu, berita palsu tentang pemenggalan kepala bayi oleh pejuang pembebas turut diteruskan oleh Presiden Joe Biden yang bodoh. Dia mendakwa telah melihat rakaman video sebenar. Kenyataan beliau walau bagaimanapun telah ditarik balik dengan pantas oleh White House kerana tidak lama setelah itu terbukti ia merupakan fitnah.
Begitu juga, respon luar biasa sebahagian pegawai parlimen kerajaan Barat dan juga Penjawat Awam di seluruh Eropah dan AS, yang sama sekali tidak ambil peduli dan membiarkan Zionis terus melemparkan ucapan-ucapan kebenciannya yang semakin melampau. Termasuklah kenyataan Menteri Pertahanan Yoav Gallant yang berkata, “Kami memerangi manusia haiwan dan kami bertindak sewajarnya”, ketika dia mengumumkan pengepungan penuh ke atas Gaza tanpa bekalan elektrik, makanan, air atau bahan api.
Demikianlah ketaranya persamaan antara rejim-rejim fasis ini dalam mempromosikan ketidakadilan. Malah satu kemustahilan menganggap idea tindakan mereka sebagai sah (legitimate) untuk membersih-etnikkan lebih sejuta warga Gaza dari Gaza Utara, melalui hukuman mati dengan pengeboman senjata kimia termasuk fosforus putih, serta pengusiran dari tanah tersebut dalam beberapa waktu yang sangat singkat.
Dukungan Barat terhadap Zionis
Selain daripada sikap tidak berperikemanusiaan ini, negara-negara Barat telah menyumbangkan segala yang mereka mampu untuk membantu Zionis menguasai wilayah Gaza.
Hanya beberapa jam selepas serangan dilancarkan ke atas wilayah haram Zionis, Pentagon meluncurkan kapal serang induk Gerald R Ford berserta anak kapalnya yang terdiri daripada 5,000 askar tentera laut untuk melindungi negara Zionis itu dari Mediterranean Timur. Kemudian, kapal pengangkut pesawat kedua, kumpulan serangan USS Eisenhower, telah dihantar, juga dengan objektif untuk menyokong jet pejuang F-18 Zionis dengan memintas peluru dari pejuang Al-Qass4m yang dirahmati.

Presiden Biden juga berjanji untuk menghantar “sokongan kewangan dan ketenteraan berskala besar dan bantuan politik yang meluas”. Sama seperti UK yang menghantar kapal tentera laut dan pesawat pengintip untuk menyokong entiti Zionis dan mengukuhkan wilayah itu daripada ketidakstabilan yang (dikatakan) dicetuskan oleh H4m4s.
Selain itu, kerajaan Barat telah mengambil langkah baru yang tidak masuk akal dengan menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan berdemonstrasi rakyatnya (hak kebebasan yang sering mereka dakwa sebagai unik dan banggakan kepada seluruh dunia). Polis di Perancis menggunakan gas pemedih mata ke atas penunjuk perasaan, dan sejak itu mengharamkan semua bentuk demonstrasi. Hal ini berlaku apabila saiz dan kekuatan sokongan untuk Palestin semakin meningkat. Polis di Jerman pula menggunakan kekerasan terhadap wanita Islam dalam perhimpunan sebelum menghentikannya. Manakala di Belanda, demonstrasi tidak diluluskan.
Walau bagaimanapun, yang paling melucukan adalah UK, di mana para menteri cuba melarang pengibaran dan pemakaian bendera Palestin, mengaitkannya dengan sokongan untuk H4m4s. Lebih keanak-anakan, para menteri sibuk membahaskan bagaimana untuk mengekang slogan yang tidak berbahaya seperti “dari sungai hingga ke laut, Palestin akan segera bebas” (from the river to the sea, Palestine will soon be free), dengan melabelkannya sebagai ucapan kebencian anti-semitik.
Ummah mendukung perjuangan di Palestin
Walaupun terdapat tindakan jahat Barat, dan larangan terang-terangan demonstrasi di banyak bahagian dunia Islam; sokongan daripada umat Muhammad SAW untuk rakyat Palestin yang paling kita cintai tidak pernah berhenti. Ummah bersatu dari Indonesia hingga Maghribi.
Puluhan ribu umat Islam berdemonstrasi pada hari Jumaat di seluruh Timur Tengah untuk menyokong rakyat Palestin dan menentang pengeboman Zionis yang semakin sengit serta penyembelihan berdarah di Gaza. (sekitar 13 Okt 2023)
Umat Islam keluar beramai-ramai di Jordan walaupun polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan sambil mereka melaungkan “kita semua rakyat Palestin!”

Begitu juga di Baghdad, walaupun kerajaan menyekat protes, orang ramai tetap memenuhi Dataran Tahrir di tengah-tengah ibu kota Iraq. Manakala, di ibu kota Sanaa, Yaman, penunjuk perasaan turun ke jalan sambil mengibarkan bendera Yaman dan Palestin.
Selepas solat Jumaat di Islamabad, ibu negara Pakistan, penunjuk perasaan turun ke jalan raya, begitu juga dengan umat Islam di Indonesia dan Malaysia, turut berhimpun beramai-ramai menunjukkan solidariti terhadap saudara-saudara Palestin mereka.
Realiti global ini juga membuktikan dengan sempurna betapa jauhnya penguasa umat Islam hari ini dengan umat Islam itu sendiri. Walaupun mereka hanya mengeluarkan sentimen yang dangkal dan hampa; misalnya seperti yang dilakukan oleh Saudi dengan menggantung sementara inisiatif normalisasi mereka dengan entiti Zionis – tidak syak lagi kerana bimbang akan reaksi balas yang hebat dari ummah.
Umat Islam di mana-mana telah menunjukkan kesetiaan mereka kepada saudara-saudara Palestin, Baitul Maqdis dan agama Islam yang mereka cintai.
Ini menunjukkan, tidak dinafikan lagi bahawa dikalangan puluhan ribu tentera yang membentuk tentera Islam, dari Pakistan ke Jordan, ke Turki, ke Indonesia dan Bangladesh, penuh dengan orang-orang yang berakal dan beriman. Oleh itu, kita mestilah menyeru mereka dan memotivasikan mereka untuk memimpin gerakan membebaskan bumi Palestin yang diberkahi dengan penuh kepercayaan dan taat setia kepada Allah, RasulNya dan agama Islam.
Semua umat Islam mesti menerima kewajipan untuk menyeru dan menyokong khabar nubuwwah, tentang kembalinya kepimpinan yang soleh yang akan memerintah dengan syariat Islam. Kepimpinan yang soleh yang dijanjikan, yang akan memerintah di atas jalan kenabian, dan menggerakkan tentera kita untuk membebaskan Palestin. Sekaligus mengangkat darjat mereka ke kedudukan yang ditakdirkan kepada mereka (meraih kemuliaan).
Sebagaimana firman Allah swt dalam Al-Quran…
“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.” (TMQ Al-Israa’ [17]:7)
Dan juga…
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (TMQ An-Nuur [24]:55)
Sumber: Insight – Islamic Perspectives on Politics. (dengan suntingan oleh penterjemah)