[KOLUM SIYASAH] Gaza Dan Para Ulama Hilang Keutamaan
Hari itu adalah hari ke 29 Ramadhan, tahun 1099. Sedang umat Islam berkumpul untuk bersembahyang di dalam masjid utama di Baghdad, tiba-tiba pintu terbuka dan seorang lelaki yang kelihatan datang dari perjalanan yang jauh menerpa masuk. Dia berdiri di tengah-tengah dewan solat, lalu makan di hadapan khalayak ramai. Kesalahan telah dilakukan, namun hakikatnya lelaki itu adalah seorang ulama terkenal dan juga hakim, Qadi Sa’ad al-Harawi. Dia datang untuk menyampaikan mesej kepada Khalifah Abbasiyah al-Mustazhir.
Khalifah pada masa itu masih muda dan kurang berpengalaman. Walaupun mengetuai negara yang amat besar, kuasa yang dimiliki menjadikannya merasa terlalu selesa. Apabila Qadi al-Harawi dibawa ke mahkamah al-Mustazhir, dia (Khalifah) masih sibuk menjaga bunga-bunganya tanpa mengambil kira keadaan umat pada masa itu. 1099 adalah tahun di mana Tentera Salib merampas Palestin setelah 40 hari mengepungnya, yang kemudiannya menyembelih ribuan (umat Islam Palestin) dan menukarkan masjid Al-Aqsa menjadi kandang kuda untuk kuda-kuda mereka. Qadi al-Harawi dengan tanpa berdolak-dalih mengatakan:
“Berani kamu berehat-rehat di bawah bayang keselamatan yang melekakan, meneruskan kehidupan dengan sambil lewa seperti bunga di taman, sementara saudara-saudaramu di Syria tidak ada tempat tinggal melainkan di atas pelana unta dan dalam perut burung hering? Darah telah ditumpahkan! Gadis-gadis muda yang cantik telah dimalukan, dan kini terpaksa menutup muka manis mereka dengan tangan-tangan mereka! Patutkah kaum Arab yang gagah membiarkan diri mereka dihina, dan kaum Parsi yang berani dimalukan?…Tidak pernah kaum Muslimin dihina sebegitu rupa,” al-Hawari mengulangi lagi, “tidak pernah tanah-tanah mereka dimusnahkan dengan rakus sebegitu rupa.”
Ia adalah sebuah ucapan yang menitiskan air mata kebanyakan orang dan menggerakkan hati-hati manusia yang berada di situ, termasuklah Khalifah. Seluruh hadirin tenggelam dalam raungan dan ratapan, tetapi al-Harawi tidak memperlihatkan sebarang esakan.
“Senjata lelaki yang paling hina…” dia menjerit, “…adalah menumpahkan air mata ketika pedang-pedang sedang terhunus di medan perang.”
Kata-kata dan perbuatan seorang ulama ini tidak ada tolok bandingnya. Namun, sungguh malang pada hari ini, ramai dari kalangan para ulama hanya menjaga kedudukan dan martabat mereka berbanding keutamaan (membela umat Islam). Mereka tenggelam dengan kedudukan dan populariti di mata manusia. Jika sekalipun mereka terdengar jeritan penduduk Gaza, mereka hanya menyampaikan doa dan berhati-hati memilih kata-kata (supaya tidak mengguris hati pemerintah). Adakah mereka takut kepada para pemimpin melebihi Allah, sedangkan mereka membaca al-Quran dengan penuh keyakinan? Ulama adalah sebahagian daripada umat. Kedudukan dan kemasyhuran mereka menempatkan mereka dengan tanggungjawab yang lebih tinggi untuk menegur para pemimpin dan para tentera kerana bersikap berdiam diri ketika darah kaum Muslimin ditumpahkan dengan harga yang amat murah.
Sumber: mykhilafah