[Tarikh Khulafa] Uthman bin Ertugrul Meletakkan Dasar Berdirinya Daulah Uthmaniyyah
Penulis: Nabila Ummu Anas
Daulah Uthmaniyyah dinisbahkan kepada Uthman bin Ertugrul, bermula dari kerjanya sebagai panglima pasukan yang kemudian mendirikan sebuah Negara Islam yang bertahan sehingga berabad-abad lamanya. Dalam membangun Daulah Uthmaniyyah, Uthman bin Ertugrul meletakkan asas terbaik dan kukuh yang kemudian diwarisi dan dilanjutkan oleh khalifah setelahnya.
Hukum Allah SWT Menjadi Acuan Membangunkan Negara
Sebagai khalifah, Uthman bin Ertugrul terus berpegang kepada syariat Allah SWT dalam segala urusan dan setiap bidang kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Hal ini terlihat dari percakapan nasihat Uthman kepada anaknya, “Wahai anakku, janganlah kamu sibuk melakukan sesuatu yang tidak diperintahkan Allah, Rabb semesta alam. Jika kamu menghadapi kesulitan dalam urusan pemerintahan, bermusyawarahlah dengan para ulama agama ini.”
Untuk perkara besar mahupun kecil, Uthman terus menjadikan hukum Allah SWT dan perintahNya sebagai penyelesaian yang mendominasi perkara tersebut.
“Hukum (keputusan) itu hanyalah milik Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.“ [TMQ Yusuf (12) : 40]
Sebagai khalifah, Uthman menyedari bahawa dia tidak mampu membuat hukum (undang-undang) berdasarkan akal dan hawa nafsunya. Seluruh aturan kehidupan, termasuk bagaimana pemimpin mengelola negaranya, bersumber kepada hukum Allah SWT saja.
“Sesungguhnya kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili sesama manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.” [TMQ an-Nisa (4):105].
Uthman bin Ertugrul memberikan nasihat kepada anaknya dalam kapasitinya sebagai ketua pemerintahan dan dalam rangka menyiapkan anaknya agar memiliki sifat kepimpinan sehingga juga mampu dan layak menjadi khalifah setelahnya. Uthman mengetahui bahawa menegakkan hukum Allah melalui penguasa yang beriman adalah perjanjian yang telah disebutkan oleh Allah SWT.
“Dan ingatlah kurniaan Allah kepadamu dan perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu mengatakan, ‘Kami dengar dan kami taat.’ Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengetahui isi hati(mu).” [TMQ al-Maidah (5): 7].
Pemahaman ibadah yang melekat pada diri Uthman bin Ertugrul ini menjadikannya layak sebagai pengasas dasar tegaknya Daulah Uthmaniyyah. Sebagai ketua negara, dia memastikan agar ibadah hanya kepada Allah SWT dengan beramal sesuai dengan apa yang Allah SWT syariatkan.
Tidak diragukan bahawa Daulah Uthmaniyyah dengan dua prinsip ini memiliki semangat yang kuat untuk memerangi kemusyrikan di dalam negara dan bekerja untuk memperkuatkan kekuasaan Daulah Islam di luar negara. Semua ini bermula dari kesedaran pemimpinnya dan para ulama untuk mewujudkan ibadah yang hakiki hanya kepada Allah di seluruh dasar kehidupan dengan cara yang Dia redha.
Sentiasa Bermusyawarah dengan Ulama
Dalam memimpin kekhalifahan, Uthman bin Ertugrul sentiasa memberi tempat kepada ulama dalam majlis musyawarah untuk menyelesaikan pelbagai persoalan yang dihadapi dalam mengelola negara dan me-riayah rakyat.
Uthman bin Ertugrul pernah berkata kepada anaknya, “Ikutilah petunjuk para ulama, kerana mereka tidak memerintahkan, kecuali kepada kebaikan. ….” Dalam memimpin negara, Uthman bin Ertugrul selalu bermusyawarah dengan para ulama, baik terkait masalah pemerintahan, pentadbiran, pengambilan kebijakan, pengambilan undang-undang, serta segala sesuatu yang berhubungan dengan kepentingan ramai orang dan kepentingan umum. Para ulama pun memberikan pandangannya dan ilmunya kepada khalifah terkait pelbagai permasalahan ini.
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat (musyawarah) sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;”[TMQ asy-Syura (42): 38].
Musyawarah dengan para ulama telah menyumbang kepada pembangunan Daulah Uthmaniyyah dan menyatukan rakyat serta memperkukuhkan kekuatan politik, jihad, dan dakwah negara. Pendapat-pendapat itu berubah-ubah sesuai dengan situasi dan keadaannya, tetapi tidak keluar dari akidah Islam dan sumber hukum Islam.
Para penguasa Daulah Uthmaniyyah ingin agar pemerintahannya berterusan dan semakin kukuh. Oleh itu, mereka bersemangat besar untuk membaca dan menguasai seluruh keadaan di dalam dan luar negara dan mereka menjadikan musyawarah sebagai jalan terbaik untuk mewujudkan perkara tersebut.
Musyawarah berkembang pesat di dalam pemerintahan Turki Uthmaniyyah. Malah, setiap daerah memiliki majlis dewan untuk bermusyawarah dalam pelbagai urusan pemerintahan dan rakyat.
Sumber: Sejarah Daulah Uthmaniyyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Dr. Ali Muhammad ash-Shallabi, Ummul Qura.