[Tarikh Khulafa] Peranan Penting Ulama dalam Perjalanan Daulah Uthmaniyyah
Penulis: Nabila Ummu Anas
Dalam perjalanan Daulah Uthmaniyyah, para ulama adalah rujukan utama para sultan dalam mengurus negara. Uthman bin Ertugrul sangat memperhatikan para ulama dan selalu memuliakan mereka. Uthman I ini memiliki hubungan yang kuat dengan para ulama, para ahli fikih, dan orang-orang soleh pada masanya. Sering kali Uthman I duduk lama dengan para ulama untuk mendengarkan nasihat, mengambil ilmu dari mereka, serta bermusyawarah dalam pelbagai urusan negara.
Uthman bin Ertugrul pernah berpesan kepada puteranya, jika dia memimpin kelak agar mengikuti pendapat para ulama. Uthman berkata, “Ikutilah petunjuk para ulama, kerana mereka tidak memerintahkan kecuali kepada kebaikan.”
Al-Quran dan Sunnah sebagai Rujukan Negara
Para ulama Daulah Uthmaniyyah memiliki pemahaman yang mendalam tentang ruh syariat dan kaedah-kaedahnya. Mereka memiliki kemampuan dalam menghadapi pelbagai peristiwa yang baru berdasarkan pemahaman ini. Para ulama itu juga memiliki kemampuan untuk mengawal hukum-hukum dan mengqiyaskan cabang-cabang kepada hukum asalnya.
Mazhab hanafi memiliki kedudukan yang tinggi bagi para ulama negara, walaupun mereka tidak berlepas diri dari mazhab lain yang dihormati oleh para sultan Turki Uthmaniyyah. Para ulama Daulah Uthmaniyyah bersemangat besar untuk menjadikan sistem politiknya berdiri di atas asas akidah tauhid, penerapan syariat Allah, dan mengutamakan musyawarah.
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”[TMQ an-Nahl (16): 43].
“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat (musyawarah) sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya;” [TMQ asy-Syura (42) : 38].
Dua sumber utama yang menjadi pegangan ulama dan ahli fikih Daulah Uthmaniyyah dalam membimbing jalan pemerintahan adalah al-Quran dan Sunnah. Al-Quran adalah sumber pertama yang mencakup seluruh hukum-hukum syariat yang berhubungan dengan kehidupan manusia, sebagaimana ia mengandungi prinsip asas dan undang-undang dasar untuk memperbaiki setiap sisi kehidupan. Al-Quran juga telah menjelaskan segala perkara yang diperlukan oleh manusia, termasuk asas penubuhan negara dan cara mengurusnya.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili di antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu.” [TMQ an-Nisa (4): 105].
Sunnah adalah sumber kedua yang diambil oleh para ulama dan penguasa. Dari sunnah, mereka mengetahui bentuk-bentuk penerapan hukum-hukum Islam yang tecermin dari kepimpinan Rasulullah SAW di Madinah. Dengan demikian, kaum muslim mengenali model masyarakat ideal yang sesuai dengan Islam.
Ulama Membimbing Penguasa Menerapkan Islam
Dalam sistem ekonomi, misalnya, Daulah Uthmaniyyah dengan dibimbing oleh para ulama menerapkan sistem kewangannya dengan asas emas dan perak, tidak melakukan transaksi riba, tidak menimbun barang, tidak mencari keuntungan berlebihan, dan tidak menjual apa yang diharamkan oleh Allah.
Para ulama Daulah Uthmaniyah juga berusaha agar sistem sosial dan interaksi dibangunkan di atas landasan akidah Islamiyyah. Begitu pula dalam sistem pendidikan dan pengajaran berdasarkan kaedah-kaedah syariat Islam. Bahkan hubungan luar negara juga dibangunkan berdasarkan akidah dan syariat Islam. Semua sistem yang ditegakkan di dalam Daulah Uthmaniyyah menjadikan syariat Islam sebagai panduan dengan para ulama sebagai pembimbingnya.
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ al-Mumtahanah (60): 8–9]
Dalam Daulah Uthmaniyyah, para ulama memiliki kemampuan yang besar dalam menarik manusia di bawah bendera jihad di jalan Allah SWT dan menegakkan syariat Islam dalam kehidupan masyarakat. Para ulama ini tidak memberikan toleransi kepada seorang sultan untuk melanggar hukum-hukum Allah SWT. Jika tidak, boleh jadi rakyat akan bergejolak melawannya dan memberhentikannya.
Jadi para ulama dan ahli fikih di dalam Daulah Uthmaniyyah membimbing masyarakat dan negara dalam menerapkan syariat Allah SWT, menegakkan hukum-hukum yang hak, mengharamkan apa-apa yang diharamkan oleh Allah SWT, dan tidak menghalalkan apa yang diharamkan dalam Islam.
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Uthmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura