Khilafah adalah Taajul Furuudh, Mahkota Kewajipan
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Beberapa tahun kebelakangan ini, kata “Khilafah” menjadi buah bibir di berbagai kalangan. Ada sebahagian yang mendukung, manakala sebahagian lainnya menolak. ’Ala kulli haal, dengan izin Allah, umat Islam negeri ini menjadi tidak asing lagi dengan istilah “Khilafah”, bahkan makin banyak orang bertanya tentangnya.
Sudah pasti hal ini menjadi kesempatan emas bagi para pengemban dakwah yang ikhlas untuk menyampaikan pemahaman yang benar tentang Khilafah Islamiyah ke tengah umat. Tujuannya satu, iaitu mencerdaskan dan memahamkan umat bahawa Khilafah adalah ajaran Islam. Ia adalah sistem pemerintahan yang Allah wajibkan untuk ditegakkan di muka bumi ini.
Khilafah Ajaran Islam
Sesungguhnya Khilafah bukanlah istilah asing dalam khazanah keilmuan Islam. Imam Al-Mawardi menyatakan, “Imamah atau Khilafah dibuat untuk menggantikan kenabian dalam menjaga agama dan mengurus dunia.” (Al-Ahkam as-Sulthaniyyah wa al-Wilayat ad-Diniyyah).
Ibnu Khaldun menyatakan, “Menggantikan pemilik syariat (Nabi saw.) dalam menjaga agama dan mengurus dunia dengannya.” (Tarikh Ibnu Khaldun).
Al-‘Allamah Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan, “Khilafah adalah kepemimpinan umum atas seluruh kaum muslim di dunia untuk menerapkan syariat dan mengemban dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.” (Nizham al-Hukmi fi al-Islam).
Kata Khilafah merupakan istilah Islam, Khilafah adalah bahagian dari ajaran Islam sebagaimana solat, puasa, zakat, haji, dan lain-lain. Terlebih lagi, menurut syariat Islam, menegakkan Khilafah adalah wajib. Kewajipan mendirikan Khilafah di muka bumi berdasarkan dalil-dalil syarak, di antaranya sebagai berikut.
- Dalil Al-Quran
Dalil Al-Quran antaranya QS An-Nisa’ ayat 59 dan Al-Maidah ayat 48. Selain itu, Allah SWT berfirman,
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً…
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sungguh Aku akan menjadikan di muka bumi khalifah.’ ….” (TMQ Al-Baqarah [2]: 30).
Imam Al-Qurthubi menyatakan wajib atas kaum muslim untuk mengangkat seorang imam/khalifah. Dia lalu menegaskan, “Tidak ada perbezaan pendapat mengenai kewajipan mengangkat khalifah di kalangan umat dan para imam mazhab. (Al-Jaami’ li Ahkaam al-Quran).
Juga firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul, dan ulul amri di antara kalian.” (TMQ An-Nisa’: 59). Allah memerintahkan kita untuk mentaati ululamri.
Berdasarkan dalalah al-iltizam, perintah mentaati ululamri juga merupakan perintah mewujudkannya agar semua kewajipan tersebut terlaksana. Dengan demikian, dalam ayat tersebut juga terdapat petunjuk mengenai wajibnya mewujudkan ululamri (khalifah) dan sistem syarie-nya (Khilafah).
- Dalil Sunnah
Kata “Khilafah” banyak dinyatakan di dalam hadis. Salah satunya, “Sesungguhnya (urusan) agama kalian berawal dengan kenabian dan rahmat, lalu akan ada Khilafah dan rahmat.” (HR Al-Bazzar).
Kata “Khilafah” dalam hadis ini memiliki pengertian sistem pemerintahan, pewaris pemerintahan kenabian. Ini dikuatkan oleh sabdanya saw., “Dahulu, Bani Israil dipimpin dan diurus oleh para nabi. Jika para nabi itu telah wafat, mereka digantikan oleh nabi yang baru. Sungguh, setelah aku tidak ada lagi seorang nabi, tetapi akan ada para khalifah yang banyak.” (HR Bukhari dan Muslim).
- Dalil Ijmak Sahabat
Sungguh para sahabat ra. telah bersepakat bahawa mengangkat seorang imam (khalifah) setelah zaman kenabian berakhir adalah wajib. Bahkan, mereka menjadikan upaya mengangkat imam sebagai kewajipan paling penting.
Menurut Imam Ath-Thabari dalam Tarikh al-Umam wa al-Muluk, generasi awal Islam yang hidup pada kurun terbaik telah memberikan perhatian besar terhadap urusan kekhalifahan. Ini menunjukkan bahawa Khilafah adalah wajib.
Sangat jelas berdasarkan berbagai dalil bahawa Khilafah adalah ajaran Islam. Khilafah adalah bahagian dari syariat Allah Taala. Menegakkannya adalah perintah Allah dan Rasul-Nya yang wajib ditunaikan oleh umat Islam. Tidak ada alasan yang dapat diterima akal sihat untuk menolak Khilafah. Oleh sebab itu, menolak dan menentang Khilafah sama saja dengan menolak dan menentang ajaran Islam.
Mengapa Menegakkan Khilafah Dikatakan sebagai Taajul Furuudh ‘Mahkota Kewajipan’?
Dalam kitab Al Imamah al Udzma ‘inda Ahli as-Sunnah wa al-Jamaah karya ulama besar Mekah, Prof. Dr. Abdullah bin Umar Dumaiji dijelaskan tentang konsep kepemimpinan dalam Islam, bahkan secara terbuka membahas Khilafah sebagai sistem pemerintahan yang Allah fardhukan atas kaum muslim.
Imam Al-Qurthubi menyebutnya sebagai ‘a’dzamul waajibat, iaitu kewajipan yang paling agung. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjulukinya sebagai taajul furuudh ‘mahkota kewajipan’. Pendapat yang sama dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali bahawa Khilafah adalah mahkota kewajipan.
Jika kita cermati lebih dalam, sesungguhnya keempat ulama besar tersebut memberikan kesimpulan yang sama bahawa menegakkan Khilafah merupakan kewajipan yang sangat tinggi sehingga sampai disebut sebagai mahkota kewajipan. Dalam keterangannya, Imam Al-Ghazali menyatakan, “Disebut mahkota kerana tempatnya di atas. Ia adalah fardhu kifayah tertinggi umat Islam.”
Alasan Khilafah disebut sebagai taajul furuudh sebenarnya sangat mudah untuk difahami. Hal ini kerana, tanpa Khilafah, sebahagian besar syariat Islam akan terabaikan; atau dengan kata lain, tanpa Khilafah, hukum-hukum Islam tidak akan terlaksana secara sempurna.
Sejatinya berbagai masalah yang melanda kaum muslim akan selesai jika Khilafah wujud di tengah umat. Ini kerana Khilafah bukan sekadar sistem pemerintahan, melainkan juga berfungsi sebagai al-haaris (penjaga akidah); al-munaffidz (pelaksana) syariat; al-muqiim (penegak) agama; al-muwahhid (penyatu) barisan kaum muslim; al-haamiy (penjaga) negeri-negeri kaum muslim, darah, harta, dan cita-cita mereka; serta yang akan mengemban risalah Islam ke seluruh dunia dan memimpin umat dalam berjihad fī sabīlillāh.
Secara terperinci, ada beberapa alasan Khilafah layak disebut sebagai mahkota kewajipan, di antaranya sebagai berikut.
Pertama, Khilafah adalah pelaksana seluruh hukum Islam, sedangkan Islam adalah agama sempurna dan menyeluruh yang mengatur hubungan hamba dengan Sang Khaliq yang terwujud dalam akidah dan ibadah.
Islam mengatur hubungan individu dengan dirinya sendiri, yang tercakup dalam pengaturan makanan, minuman, pakaian dan akhlak. Islam juga mengatur hubungan antara manusia, meliputi masalah muamalah (interaksi) dan uqubat (hukuman). Dengan adanya Khilafah, seluruh hukum ini akan terlaksana secara kaffah dan sempurna. Sangat berbeza dengan hari ini, ketiadaan Khilafah menyebabkan hukum-hukum Islam hilang dari realiti kehidupan kita. Akibatnya, perlakuan jenayah merajalela di mana-mana.
Kedua, Khilafah merupakan penjamin kesejahteraan umat manusia. Islam diturunkan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Maknanya, syariat Islam terkandung maslahat bagi manusia dan alam semesta ketika dilaksanakan secara keseluruhan.
Ketiga, Khilafah adalah wadah pemersatu umat Islam seluruh dunia. Dengan Khilafah, persaudaraan umat Islam menjadi nyata kerana mereka berada dalam naungan satu negara. Tidak terpecah-pecah menjadi negara-negara bangsa seperti saat ini.
Khilafahlah yang akan menyatukan seluruh potensi umat sehingga umat Islam menjadi kuat, disegani, dan dihormati. Tidak seperti sekarang, umat Islam di belahan bumi Palestin dizalimi oleh Zionis Yahudi dan sekutunya. Sementara itu, umat Islam di negeri ini pemikirannya dijajah dan kekayaannya dirompak oleh pihak asing dan sekutu-sekutunya.
Demikianlah, tidak dapat dimungkiri bahawa Khilafah merupakan taajul furuudh ‘mahkota kewajipan’. Menjadi kewajipan seluruh umat Islam di dunia ini untuk berjuang mewujudkan adanya Khilafah di muka bumi ini. Selama Khilafah Islamiyah belum terwujud di muka bumi, seluruh umat Islam berdosa. Ini kerana hukum menegakkan Khilafah adalah fardhu kifayah.
Mendirikan Khilafah, Fardhu Kifayah
Tentang hukum mendirikan Khilafah, tidak ada ikhtilaf para ulama mengenai status fardhunya. Dalam hal ini adalah fardhu kifayah yang oleh Asy-Syathibi didefinisikan sebagai fardhu yang ditujukan kepada semua orang, tetapi jika telah dilakukan oleh sebahagian, fardhu tersebut telah gugur dari yang lain. Namun, Asy-Syathibi juga menegaskan bahawa dari statusnya sebagai hukum yang terkait dengan orang mahupun hukum lain, maka fardhu kifayah tersebut perlu diberlakukan secara umum kepada semua mukallaf supaya ianya tetap boleh tertegak. (Al-Muwafaqat fi Ushul asy-Syari’ah).
Pendapat yang sama dikemukakan oleh Imam An-Nawawi, Zakaria al-Anshari, Al-Khathib asy-Syarbini, Az-Zujaji, Al-Bujairimi, dan Al-Jamal bin Sulaiman—semuanya dari Mazhab Syafie—bahawa hukum mendirikan Imamah (Khilafah) adalah fardhu kifayah.
Dalam kitab Rawdhah ath-Thalibin wa ‘Umdah al-Muftin, Imam An-Nawawi menyatakan bahawa mendirikan Imamah (Khilafah) hukumnya fardhu kifayah. Jika tidak ada orang yang layak, kecuali hanya satu, kewajipan tersebut berubah menjadi fardhu ain bagi dirinya. Khalifah wajib dicari, jika mereka tidak mulai (dengan) mengangkatnya.
Dalam pandangan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, mendirikan negara (Khilafah) adalah fardhu kifayah, fardhu bagi seluruh kaum muslim. Ini merupakan sesuatu yang pasti dan tidak ada pilihan dalam rangka menegakkannya. Mengabaikan pelaksanaannya merupakan kemaksiatan yang paling besar dan Allah akan mengazab dengan azab yang amat pedih. (Nizhamul Hukmi fil Islam).
Walhasil, pendapat yang paling rajih (kuat) terkait hukum pendirian Khilafah adalah fardhu kifayah. Pertanyaannya kemudian, apakah tidak cukup dengan kelompok-kelompok yang sudah mengusahakannya? Atau, adakah kaum muslim masih berdosa jika tidak ikut berjuang menegakkannya saat kelompok yang mengerjakannya hingga sekarang belum berhasil?
Dalam hal ini, Imam An-Nawawi menjawab bahawa jika fardhu kifayah itu dikerjakan oleh orang yang mempunyai kapasiti untuk menunaikannya, beban (kewajipan) tersebut telah gugur dari yang lain. Namun, jika mereka semuanya meninggalkannya, maka semuanya berdosa. Ertinya, ukurannya bukan “yang penting kewajipan tersebut telah dikerjakan”, melainkan dikerjakan oleh orang atau sekelompok orang yang berkapasiti menunaikannya hingga berhasil, baru kewajipan tersebut gugur dari yang lainnya.
Dengan kata lain, fardhu kifayah dikatakan gugur saat benar-benar telah berhasil diwujudkan. Jika tidak, fardhu tersebut kembali kepada seluruh kaum muslim; semuanya dianggap berdosa saat fardhu tersebut belum terwujud. Pada saat itu, masing-masing berkewajipan untuk melaksanakannya hingga benar-benar terwujud. Dalam konteks inilah fardhu kifayah boleh berubah menjadi fardhu ain.
Khatimah
Demikianlah, sangat jelas bahawa keberadaan Khilafah merupakan landasan bagi tegaknya secara sempurna semua aturan Allah di muka bumi yang akan membawa umat Islam kepada kesejahteraan dan keberkahan.
Wajar jika Khilafah dikatakan sebagai taajul furuudh. Menegakkan Khilafah dan mengangkat seorang khalifah adalah fardhu kifayah, wajib bagi seluruh kaum muslim di seluruh dunia, baik lelaki mahupun perempuan, hingga terwujudnya Khilafah. Melaksanakan kewajipan ini sama saja seperti menjalankan kewajipan lain yang telah Allah SWT perintahkan kepada kita.
Saat ini, ketika Khilafah Islamiyah tidak ada di tengah kita, menjadi kewajipan kita semua untuk mewujudkannya. Sudah saatnya kita sedar bahawa perjuangan akan tegaknya syariat Islam dan Khilafah inilah yang menjadi agenda kita sekarang, sudah pasti dengan mengikuti aktiviti perjuangan dakwah teladan kita semua, Rasulullah (saw.). Wallahualam bissawab.
#KapitalismeSengsarakanUmat #KhilafahPerisaiHakiki #IslamSolusi #Khilafah