[Syarah Hadis] Kewajipan Memuliakan Wanita
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
فَاتَّقُوْا اللهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوْهُنَّ بِأَمَانِ اللهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوْجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوْطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُوْنَهُ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوْهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Bertaqwalah kepada Allah SWT tentang (urusan) wanita, kerana sesungguhnya kalian telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Kalian mempunyai hak yang menjadi kewajipan mereka, iaitu mereka tidak boleh membawa masuk ke rumah kalian orang yang tidak kalian sukai. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Mereka pun memiliki hak yang menjadi kewajipan kalian, iaitu nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang makruf.” [HR Malik, Muslim, Abu Dawud, At-Tirmidzi, Ibn Majah, An-Nasai, Ad-Darimi, Ahmad, Ibn Hibban, Al-Baihaqi, Ibn Khuzaimah, Abad bin Humaid, Ibn Abi Syaibah, dll.]
Hadis ini diriwayatkan dari Ja’far bin Muhammad, dari bapanya, iaitu Muhammad bin Ali bin al-Husain, dari Jabir bin Abdullah RA. Sabda Rasulullah SAW ini merupakan potongan dari khutbah panjang yang baginda sampaikan di Arafah pada saat Haji Wada’.
Nabi SAW bersabda, “Fattaqûllâh fî an-nisâ’.” Al-Munawi menjelaskan maksudnya adalah, “Bertaqwalah dalam hal hak-hak mereka.”
Imam An-Nawawi di dalam Syarah Sahîh Muslim menyatakan, “Hadis ini merupakan dorongan untuk memperhatikan hak para wanita, menasihati mereka, dan memperlakukan mereka secara makruf.”
“Fa innakum akhadztumûhunna bi amânillâh—di dalam sebahagian riwayat dengan lafaz “bi amânatillâh—maksudnya adalah “bi ‘ahdillâh (dengan janji Allah), iaitu janji untuk bersikap lembut dan bergaul dengan baik.”
“Wa istahlaltum furûjahunna bi kalimatillâh,” maksudnya adalah dengan syariatNya atau dengan perintah dan hukumNya, iaitu kebolehan dari Allah SWT, dan kalimat firman Allah SWT, “fankihû mâ thâba lakum min an-nisâ’ (nikahilah wanita yang kalian sukai)”. Juga dikatakan maknanya adalah dengan ijab dan qabul, iaitu dengan kalimat yang diperintahkan oleh Allah SWT.
“Wa lakum ‘alayhinna an lâ yûthi’na furusyakum ahadan takrahûnahu.” Menurut penulis ‘Awn al-Ma’bûd maksudnya adalah, “Hendaklah dia tidak memberikan izin kepada sesiapa pun (yang tidak disukai suami) masuk ke rumah suami. Larangan tersebut mencakupi lelaki dan perempuan.”
Imam an-Nawawi menyatakan, “Maknanya adalah hendaknya mereka (para isteri) tidak mengizinkan sesiapa pun yang tidak kalian sukai untuk masuk ke rumah kalian dan duduk di dalamnya; baik yang diberi izin itu lelaki asing, perempuan, atau di antara mahram isteri. Sebab larangan tersebut mencakupi semua. Inilah hukum dalam masalah ini menurut para fuqaha, iaitu bahawa isteri tidak halal mengizinkan lelaki atau perempuan, mahramnya ataupun bukan, untuk masuk ke rumah suami; kecuali orang yang dalam anggapan atau sangkaan isterinya itu bahawa suami tidak membencinya. Ini kerana hukum asalnya adalah haram masuk ke rumah seorang manusia sehingga terdapat izin untuk masuk yang berasal dari dia atau orang yang dia izinkan untuk memberi izin itu, atau diketahui adanya kerelaannya dengan menerapkan ‘urf tentang itu atau seumpamanya. Bila sahaja terdapat keraguan akan adanya kerelaan suami dan tidak boleh dikuatkan adanya kerelaan itu serta tidak terdapat qarînah, maka tidak boleh masuk dan isteri tidak boleh memberikan izin.”
“Fa in fa’alna dzâlika fadhribûhunna dharban ghayr mubarrih.” Maknanya, jika mereka mengizinkan orang yang tidak kalian sukai masuk ke rumah kalian, pukullah mereka dengan pukulan yang ghayr mubarrih. Jadi dalam hal ini suami boleh memukul isterinya dalam bentuk pukulan ghayr mubarrih untuk mendidik isteri. Hanya sahaja, di dalam TMQ an-Nisa’ [4]: 34, pukulan itu adalah langkah terakhir: setelah isteri dinasihati; jika tidak berkesan, lalu hendaklah dipisahkan tempat tidur; dan jika tidak berkesan juga barulah dengan pukulan tersebut.
Pukulan ghayr mubarrih adalah pukulan yang tidak keji (ghayr syâ‘in), tidak keras, tidak menyebabkan luka dan tidak meninggalkan bekas sedikit pun. Menurut Ibnu Abbas, yang dimaksudkan bukanlah pukulan dengan tongkat atau seumpamanya. Al-Hajaj dan Hasan Bashri menjelaskan, “Iaitu pukulan yang tidak membekas (ghayr muatstsir).” Menurut para fuqaha, pukulan ghayr mubarrih adalah pukulan yang tidak menyebabkan rosaknya organ dan tidak meninggalkan bekas sedikit pun.”[1]
“Wa lahunna ‘alaykum rizquhunna wa kiswatuhunna bi al-ma’rûf.” Jika suami memiliki hak yang menjadi kewajipan isteri, maka mesti diingat bahawa isteri juga memiliki hak yang menjadi kewajipan suami; iaitu hak nafkah (makanan, pakaian, tempat tinggal, dsb.) secara makruf. Muawiyah bin Haydah al-Qusyairi pernah bertanya, “Ya Rasulullah, apa hak isteri kami?” Baginda SAW menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan dan memberinya pakaian jika engkau berpakaian. Jangan engkau memukul wajah, jangan mencela (mencaci)nya, dan jangan mendiamkannya kecuali di dalam rumah.” [HR Abu Dawud dan Ahmad].
Bi al-ma’rûf, menurut Al-Munawi, maksudnya adalah dengan memperhatikan keadaan suami, baik miskin ataupun kaya, atau dengan cara yang makruf (layak) secara mengikut standard dan terpuji.
Jadi hadis ini memerintahkan para suami untuk memperhatikan hak-hak isteri; agar para suami senantiasa bersikap lemah lembut kepada isteri, mempergauli dan memperlakukan isteri dengan makruf. Ketika menasihati, memberi denda, dan bahkan jika terpaksa memukul dalam rangka mendidik pun tetap mesti dengan cara yang makruf.
Kita hendaklah selalu mengingati sabda Nabi SAW,
خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ ِلأَهْلِي
“Orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik kepada isterinya dan aku adalah yang paling baik di antara kalian kepada isteriku.” [HR At-Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ad-Darimi].
Hendaknya setiap dari kita, apalagi para pengemban dakwah, memperhatikan dan berusaha mewujudkan hal ini.
Allâhumma waffiqnâ ilâ thâ’atika wa husni ‘isyrati li ahlinâ.
Catatan kaki:
[1] Lihat Tafsir QS 4: 34 di dalam Tafsîr ath-Thabari, Tafsîr al-Qurthubî, Tafsîr Ibn Katsîr, Tafsîr al-Alûsî, dsb..