[Syarah Hadis] Tanda-Tanda Kemunafikan
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
أَربعٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ كَانَ مُنَافِقاً خَالِصًا، وَإِنْ كَانَتْ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ فِيْهِ كَانَتْ فِيْهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: مَنْ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ
“Ada empat tabiat, siapa sahaja yang dalam dirinya ada keempat tabiat tersebut, dia seorang munafik murni; jika ada salah satu dari tabiat itu, maka di dalam dirinya ada sebahagian dari tabiat munafik sehingga dia meninggalkannya: siapa yang jika berbicara berbohong, jika berjanji (berkomitmen) tidak ditepati, jika bersengketa berdusta, dan jika mengikat perjanjian tidak memenuhi.” [HR Bukhari dan Muslim].
Hadis ini dicantumkan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya, Jâmi’ al-‘Ulûm wa al-Hikam, hadis ke-48. Hadis ini melengkapi Arba’un an-Nawawiyah menjadi 50 hadis. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari jalur Abdullah bin Amru. Dalam pertuturan Abu Hurairah RA hadis ini berbunyi,
آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا ائْتُمِنَ خَانَ
“Tanda-tanda munafik ada tiga: jika berbicara berbohong, jika berkomitmen tidak menepati, dan jika diberi kepercayaan (diamanahkan) berkhianat.” [HR Bukhari dan Muslim].
Al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Ashqalani menjelaskan, “An-Nifâq secara bahasa adalah batin menyalahi lahiriahnya. Jika itu tentang i’tiqad (keyakinan/keimanan) maka itu adalah nifâq al-kufr. Jika tidak, itu nifâq al-‘amal, termasuk di dalamnya melakukan dan meninggalkan perbuatan. Dalam hal ini tahapnya berbeza-beza. Sabda Rasululullah SAW khâlishan (murni) iaitu sangat menyerupai orang munafik kerana sifat-sifat itu dominan atas dirinya dan telah menjadi akhlak (sifat) dan tabiatnya.”
Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahîh Muslim menjelaskan, “Maknanya bahawa tabiat-tabiat ini adalah tabiat nifak. Pemilik tabiat ini menyerupai orang munafik dan berakhlak dengan sifat-sifat mereka. Nifak adalah menampakkan apa yang berbeza dengan batinnya. Makna ini ada pada pemilik tabiat-tabiat ini. Nifaknya itu terhadap orang yang dia ajak bicara, yang dia beri janji, yang memberi dia amanah, yang dia bersengketa dan orang yang dia ikat dengan suatu perjanjian; bukan bahawa dia munafik di dalam Islam dan dia menampakkan Islam, sedangkan dia menyembunyikan kekufuran. Melalui hadis ini, Nabi SAW tidak menghendaki bahawa dia adalah munafik dengan nifâq al-kufâr yang kekal di kerak neraka.”
Imam an-Nawawi melanjutkan, “Kâna munâfiqan khâlishan, maknanya sangat menyerupai orang-orang munafik disebabkan tabiat-tabiat ini. Sebahagian ulama mengatakan bahawa hal ini berlaku pada orang yang didominasi oleh tabiat-tabiat ini. Adapun orang yang jarang sekali memiliki tabiat itu, maka dia tidak termasuk. Inilah makna yang terpilih dari hadis ini. Imam Abu ‘Isa at-Tirmidzi telah mengutip maknanya dari para ulama secara mutlak. Beliau berkata, “Makna ini menurut ahlul-‘ilmi adalah nifak amal.”
Gabungan kedua-dua hadis di atas menyebutkan lima tabiat/tanda nifak amal (nifâq al-ashghar). Jika tabiat-tabiat itu ada dan dominan pada diri seseorang, dia sangat menyerupai orang munafik dalam hal tabiat itu, tetapi dia bukanlah orang munafik dalam pengertian syariat, iaitu nifak kufur (nifâq al-akbar) yang kelak kekal di kerak neraka. Kelima-lima tabiat itu mesti dijauhi sejauh mungkin.
Pertama: idzâ haddasa kazaba (jika berbicara berbohong). Al-Hafizh Ibn Hajar mengutip dari Ibnu at-Tin dari Imam Malik ketika beliau ditanya tentang bohong ini, beliau berkata, “Mungkin dia berbicara tentang kehidupan masa lalunya, lalu berlebihan dalam menerangkannya. Ini tidak membahayakan. Yang membahayakan adalah orang yang berbicara tentang sesuatu menyalahi yang sebenarnya kerana sengaja berbohong.”
Jadi, yang dimaksudkan adalah berbicara tentang sesuatu yang telah lalu atau sedang terjadi dengan menyalahi yang sebenarnya. Contoh, mengatakan sesuatu terjadi, padahal tidak; berkata tidak melakukan sesuatu padahal melakukan perkara tersebut; dan seumpamanya.
Kedua: izâ khâsama ghadara (jika bersengketa berdusta). Ertinya, ketika bersengketa menyimpang dari hak menuju kebatilan dan berdusta, contohnya mengungkapkan hujah atau bukti secara dusta. Ini sebenarnya turunan dari berbohong.
Ketiga: izâ u‘tumina khâna (jika diamanahkan berkhianat). Menunaikan amanah diperintahkan oleh Allah SWT. [TMQ An-Nisa’(4): 58]. Sebaliknya, mengkhianati amanah dilarang dan diancam dengan azab [TMQ Al-Anfal (8): 27]. Lebih spesifik amanah yang dimaksudkan adalah amanah berbentuk harta.
Keempat: izâ ‘ahada ghadara (jika mengikat perjanjian tidak memenuhi). Ini sebenarnya terbit dalam izâ u’tumina khâna. Allah SWT memerintahkan untuk memenuhi perjanjian secara umum [TMQ Al-Isra’(17): 34] dan perjanjian dengan Allah SWT [TMQ An-Nahl (16): 9] serta mengancam orang yang tidak memenuhi perjanjian dengan azab yang pedih [TMQ Ali Imran (3): 77]. Termasuk dalam al-‘ahdu yang wajib dipenuhi itu adalah semua al-‘ahdu dan akad di antara manusia, serta semua syarat yang disepakati selama tidak menyalahi syariat. Demikian juga perjanjian hamba dengan Allah SWT berupa nazar, sumpah, dan seumpamanya.
Kelima: izâ wa’ada akhlafa (jika berkomitmen/berjanji, tidak menepati). Menurut Ibnu Rajab, hal itu ada dua jenis: (1) Berjanji dan di dalam hatinya berniat tidak menepati, dan ini yang paling buruk. Al-Awza’iy berkata, andai orang berkata, “Aku melakukan begini insyaallah,” sedangkan dia berniat tidak akan menepati, maka dia dusta dan tidak menepati janji. (2) Berkomitmen dan berniat akan menepati, tetapi kemudian dia tidak menepatinya tanpa uzur. Yang kedua ini menurut sebahagian ulama tidak berdosa. Tidak menepati komitmen kerana uzur syar’ie tidak termasuk dalam kelima-lima tabiat ini.
Ibnu Rajab al-Hambali mengatakan, “Para ulama berbeza pendapat tentang kewajipan menepati komitmen (al-wa’du). Sebahagian mereka mewajibkannya secara mutlak. Bukhari menyebutkan di Sahihnya bahawa Ibn Asywa’ mengqada komitmen, dan itu pendapat ahlu zhahir dan selain mereka. Sebahagian ulama menilai wajib menepati komitmen jika berakhir denda untuk yang dijanjikan dan itu diceritakan dari Malik. Namun, banyak fukaha tidak mewajibkannya secara mutlak.”
Wallahua’lam bissawab.