[Syarah Hadis] Meluruskan Makna Hadis Kecintaan Rasulullah SAW terhadap Madinah sebagaimana Mekah
Penulis: Siti Murlina
Allah SWT telah mengistimewakan dan mengurniakan tanah Madinah dengan pelbagai keutamaan dan kelebihan di bumi hingga hari kiamat. Madinah merupakan tanah haram kedua (haramain) setelah Mekah. Disebut juga Madinatul Munawwaroh atau Madinatur Rasul atau Madinatun Nabi.
Madinah juga adalah negeri yang dicintai oleh Rasulullah SAW setelah Mekah kerana di antaranya, penduduknya telah memberi pertolongan dan tempat bernaung untuk baginda sehingga baginda mencintai mereka dan mencintai kota ini. Diabadikan doa baginda SAW atas Madinah dan penduduknya, dalam sebuah hadis dari Aisyah RA baginda bersabda,
اللَّهُمَّ حَبِّبْ إِلَيْنَا الْمَدِينَةَ، كَمَا حَبَّبْتَ إِلَيْنَا مَكَّةَ أَوْ أَشَدَّ
“Ya Allah, jadikanlah Madinah sebagai kota yang kami cintai sebagaimana kami mencintai Mekah atau bahkan lebih dari itu….” [HR Bukhari no. 6372, Muslim no. 1376].
Hadis di atas menjelaskan bahawa mencintai tanah kelahiran, iaitu tanah air tempat kita hidup dan menghabiskan sisa usia, merupakan fitrah manusia, maka hukumnya boleh. Sebagaimana Rasulullah SAW mengungkapkan perasaan baginda dalam bentuk doa. Ini disebabkan oleh Madinah dan Mekah adalah dua tempat yang sangat istimewa dan monumen dalam kehidupan baginda. Maka ini menjadi suatu hal yang wajar.
Di antara hal yang melatarbelakangkan cinta Rasulullah SAW terhadap Madinah yang termaktub dalam doa baginda dari hadis di atas, antara lain adalah kerana Madinah merupakan tempat tujuan hijrah baginda SAW bersama para sahabat RA atas perintah Allah SWT sebagaimana sabda baginda,
رَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا الْيَمَامَةُ أَوْ هَجَرُ فَإِذَا هِيَ الْمَدِينَةُ يَثْرِبُ
“Aku melihat di dalam mimpi bahawa aku berhijrah dari Mekah ke sebuah daerah yang memiliki banyak pohon kurma, maka aku menyangka bahawa tempat itu adalah Al-Yamamah atau Hajar ternyata dia adalah Al-Madinah iaitu Yathrib.”[HR Bukhari dan Muslim].
Lalu Rasulullah SAW berserta para sahabatnya berhijrah dari Mekah ke Madinah. Hijrah yang dilakukan kali ini berbeza dengan hijrah yang dilakukan sebelumnya, iaitu ke Habsyah. Hijrah dari Mekah ke Madinah merupakan proses perpindahan dari wilayah kufur (darul kufur) ke wilayah Islam (darul Islam) yang didirikan Rasulullah SAW di Madinah, dan Madinah menjadi pusat Darul Islam pada ketika itu.
Madinah menjadi masa depan satu-satunya tempat bagi permulaan perkembangan Islam. Ketika hampir seluruh kabilah Arab menjauhi dan memusuhi Rasulullah SAW, penduduk Madinah tampil sebagai tuan rumah terbaik untuk tetamu teragung. Masyhur dalam sejarah bahawa mereka dipersaudarakan oleh Islam dengan sebutan kaum Ansar. Sedangkan para sahabat yang berpindah dari Mekah dengan sebutan Muhajirin. Suatu sikap yang wajar ketika Rasulullah SAW memohon kepada Allah SWT, kerana penduduk Madinah telah memberi pertolongan dan tempat bernaung baginda setelah berhijrah dari Mekah.
Allah SWT menyebut kemuliaan diri mereka dan menjelaskan di dalam Al-Quran tentang kedudukan mereka. Allah dan RasulNya redha kepada mereka dan mereka pun redha. Oleh kerana itu, Madinah, dengan kebaikan serta kurnia Allah SWT, menjadi bumi yang paling berkah setelah Mekah yang dijaga oleh Allah SWT.
Selain itu Madinah adalah tempat yang aman, damai, baik untuk kehidupan, serta nyaman untuk didiami. Ia adalah tempat hijrah dan negeri pemerintahan Rasulullah SAW. Dari sanalah cahaya kebenaran memancar dan meliputi seluruh penjuru dunia. Madinah adalah tempat yang dicintai oleh Nabi SAW dan dicintai oleh para sahabat baginda, baik kaum Muhajirin mahupun Ansar. Tak lain kecintaan mereka terhadap tempat ini kerana berlandaskan keimanan dan kecintaan kepada Allah SWT dan Rasululullah SAW semata-mata.
Demikian pula dengan kecintaan Rasulullah SAW kepada Mekah kerana ia merupakan tanah kelahiran baginda dan tanah yang dicintai oleh Allah SWT. Pada bulan Rabiulawal, tahun 13 kenabian, Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Sebelum meninggalkan kota Mekah, Rasulullah SAW berhenti di Hazwarah lalu bersabda,
وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ وَلَوْلاَ أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
“Demi Allah, sesungguhnya kamu (kota Mekah) adalah sebaik-baik tanah Allah, dan tanah yang paling dicintai oleh Allah, seandainya aku tidak diusir darimu, nescaya aku tidak akan keluar (darimu).” [HR Tirmidzi no. 3925 dan Ibnu Majah no. 3108].
Jadi kesimpulannya, berdasarkan kandungan beberapa hadis tadi bahawa cinta pada tanah kelahiran dan tempat menetap diperbolehkan, kerana sesuai dengan fitrah manusia. Rasulullah SAW sangat mencintai Mekah kerana merupakan tempat kelahiran baginda dan ada rumah terbaik iaitu Kaa’bah dan Masjidilharam. Sedangkan Madinah merupakan tempat tujuan hijrah baginda, penduduknya memberikan pertolongan dakwah dan tempat menetap baginda, bukan kerana assabiyah.
Cinta baginda kepada dua tempat ini (haramain) melebihi tempat lain di bumi adalah suatu hal yang wajar (mahabatuth thabi’i) dan juga disandarkan kepada cinta terhadap Allah SWT (mahabbatusy syar’i), sudah mafhum bahawa kecintaan Rasulullah SAW mengikuti kecintaan Allâh SWT. Mencintai kedua-dua tempat tersebut (Mekah dan Madinah) memang mesti lebih berdasarkan nas kerana memiliki keutamaan, maka mencintai kedua-dua tempat tersebut merupakan bahagian dari keimanan yang juga mesti ditanamkan kepada setiap diri muslim sebagaimana Rasulullah SAW.
Namun, ketika ini, seiring arus sekularisme dan liberalisasi yang sangat kuat, makna hadis di atas sudah mengalami penyelewengan dan kekeliruan. Pemahaman yang ada tidak mengarah kepada ijtihad dan pemahaman para ulama muktabar. Kaum sekular nasionalis telah mengarah maknanya kepada gerakan assabiyah dan fanatisme kesukuan.
Kaum kafir penjajah (para kapitalis) demi kepentingannya mengaut dan mengeksploitasi sumber daya alam dan sumber daya manusia, telah menjadikan nasionalisme alat penjajahannya. Atas nama cinta tanah air (dengan dalih hadis di atas) berusaha memecah belahkan kaum muslim dengan pelbagai cara dan sarana untuk memudahkan penjajahannya. Mereka tidak rela umat Islam berada dibawah satu naungan kepimpinan. Mereka berusaha menanamkan fahaman pemecah-belah kesatuan umat Islam sedunia, iaitu nasionalisme, patriotisme, dan fanatisme mazhab yang berlebihan dan sebagainya.
Di antaranya adalah melalui projek moderasi beragama dan penguatan nasionalisme dan mencintai bangsa yang terus-menerus mereka gencarkan di seluruh alur kehidupan. Oleh kerana itu, projek ini telah melahirkan generasi assabiyah yang mementingkan bangsa dan negara sendiri di atas cintanya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW (syariatNya).
Terbukti secara nyata, sempadan nasionalisme telah mematikan rasa persaudaraan dan kesatuan sesama muslim, tatkala muslimin di Palestin dijajah, dibom sana sini, dan dibunuh oleh Yahudi laknatullah, muslimin yang ada di Mesir, Arab Saudi, Jordan, dan negara Timur Tengah lain tidak memiliki perasaan berkewajipan untuk membantu muslimin Palestin dengan alasan masalah internal Palestin sendiri bukanlah masalah bagi Mesir, Arab Saudi, dan negeri-negeri muslim yang lain.
Menyatakan pembelaan dan mempertahankan negara bangsa yang berasaskan demokrasi sekular yang menaungi seluruh negeri-negeri kaum muslim saat ini, jelas-jelas merupakan sebahagian dari kemaksiatan nyata dan termasuk perbuatan yang dilarang serta diharamkan dalam Islam. Cukuplah firman Allah SWT menjadi peringatan bagi kita yang berbunyi,
يٰۤـاَيُّهَا الَّذِيۡنَ اٰمَنُوۡا اتَّقُوا اللّٰهَ حَقَّ تُقٰتِهٖ وَلَا تَمُوۡتُنَّ اِلَّا وَاَنۡـتُمۡ مُّسۡلِمُوۡنَ١٠٢ وَاعۡتَصِمُوۡا بِحَبۡلِ اللّٰهِ جَمِيۡعًا وَّلَا تَفَرَّقُوۡا وَاذۡكُرُوۡا نِعۡمَتَ اللّٰهِ عَلَيۡكُمۡ اِذۡ كُنۡتُمۡ اَعۡدَآءً فَاَ لَّفَ بَيۡنَ قُلُوۡبِكُمۡ فَاَصۡبَحۡتُمۡ بِنِعۡمَتِهٖۤ اِخۡوَانًا ۚ وَكُنۡتُمۡ عَلٰى شَفَا حُفۡرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَاَنۡقَذَكُمۡ مِّنۡهَا ؕ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَـكُمۡ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُوۡنَ
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan beragama Islam. Dan berpegang teguhlah kamu semuanya dengan tali agama Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” [TMQ Ali Imran (3): 102-103].
Rasulullah SAW telah mengharamkan assabiyah sebab persaudaraan dan kesatuan umat Islam tidak mengenal batas wilayah, bangsa, suku, dan bahasa. Abu Hurairah RA meriwayatkan sebuah hadis dari Rasulullah SAW,
مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ
“Barang siapa keluar dari ketaatan serta memisahkan diri dari jemaah lalu mati, maka kematiannya adalah kematian secara jahiliyyah. Barang siapa berperang di bawah panji assabiyah, emosi kerana assabiyah, lalu terbunuh, maka mayatnya adalah mayat jahiliyyah. Barang siapa memisahkan diri dari umatku (kaum muslim) lalu membunuh mereka, baik yang soleh mahupun yang fajir dan tidak menahan tangan mereka terhadap kaum mukmin serta tidak menyempurnakan perjanjian mereka kepada orang lain, maka dia bukan termasuk golonganku dan aku bukan golongannya.” [Hadis Riwayat Muslim].
Setiap muslim adalah bersaudara dan disatukan dalam naungan satu kepimpinan tanpa sempadan nation state (negara bangsa) . Penyatunya adalah sistem Khilafah.
Allah SWT berfirman,
إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh sebab itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. [TMQ Al-Hujurat (49): 10]
Wallahu’alam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com