[Syarah Hadis] Tanggungjawab Besar Pemimpin
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ: إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإِمَارَةِ وَسَتَصِيرُ نَدَامَةً وَحَسْرَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَنِعْمَتِ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ
Abu Hurairah RA menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Sungguh kalian akan bercita-cita terhadap kepimpinan dan kepimpinan itu akan menjadi penyesalan dan kerugian pada hari kiamat kelak. Alangkah baiknya permulaannya dan alangkah buruknya kesudahannya.”[HR An-Nasa’i, Ahmad, dan Al-Bukhari].
Dalam hadis ini Nabi SAW memperingatkan tentang cita-cita terhadap imârah (kepimpinan). Ini mencakupi imârah al-kubrâ (al-khilâfah) dan imârah as-sughra (imârah atas suatu wilayah atau daerah yang paling kecil sekalipun).
Sabda Rasululullah SAW, “satahrishûna (kalian akan bercita-cita),” menunjukkan kepada kecintaan nafsu terhadap kepimpinan kerana di dalamnya boleh diraih pelbagai bahagian dan kelazatan dunia serta berlakunya ucapan. Oleh sebab itu, ada larangan meminta al-imârah. Rasulullah SAW bersabda,
لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ، فَإِنَّك إنْ أُعْطِيتهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وَكِلْت إلَيْهَا، وَإِنْ أُعْطِيتهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْت عَلَيْهَا
“Jangan engkau meminta al-imârah kerana sesungguhnya jika engkau diberi al-imârah kerana meminta, maka engkau diserahkan padanya, dan jika engkau diberi al-imârah tanpa meminta, maka engkau ditolong atasnya.” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
Menurut Ash-Shan’ani dalam Subul as-Salâm, Nabi SAW melarang meminta al-imârah itu tidak lain kerana kekuasaan itu memberi kekuatan setelah kelemahan dan kemampuan setelah ketidakmampuan. Semua itu boleh diambil oleh jiwa yang kasar dan cenderung atas keburukan sebagai wasilah balas dendam kepada orang yang dianggap musuh dan sebaliknya, memperhatikan teman, mengikuti tujuan-tujuan rosak, akibatnya tidak baik, dan tidak ada keselamatan menemaninya. Oleh sebab itu, yang lebih utama adalah semampu mungkin al-imârah itu tidak diminta.
Rasulullah SAW juga memperingatkan bahawa al-imârah itu pada hari kiamat kelak boleh menjadi penyesalan dan kerugian. Auf bin Malik RA menuturkan, Nabi SAW bersabda,
إِنْ شِئْتُمْ أَنْبَأْتُكُمْ عَنِ الإِمَارَةِ وَمَا هِيَ؟ أَوَّلُهَا مَلامَةٌ، وَثَانِيهَا نَدَامَةٌ، وثَالِثُهَا عَذَابٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلا مَنْ عَدَلَ
“Jika kalian mahu, aku akan memberitahu kalian tentang kepimpinan (al-imârah), apakah itu? Awalnya adalah celaan. Yang kedua adalah penyesalan. Yang ketiganya adalah azab pada hari kiamat, kecuali orang yang berlaku adil.”[HR Al-Bazar dan Ath-Thabrani].
Al-Minawi dalam Faydh al-Qadir menjelaskan bahawa al-imârah itu boleh menggerakkan sifat-sifat terpendam; jiwa boleh didominasi oleh kecintaan atas prestasi, kuasa dan perintah dilaksanakan. Semua itu kenikmatan dunia yang paling besar. Jika semua itu dicintai, maka seorang penguasa boleh berusaha mengikuti hawa nafsunya pada bahagian dirinya sendiri dan mengutamakan apa yang dia inginkan, meski batil dan pada yang demikian itu dia akan binasa.
Nabi SAW menegaskan kembali peringatan itu dengan melanjutkan sabda baginda, “fani’mati al-murdhi’ah wa bi’sati al-fâthimah”. Maknanya menurut ad-Dawudi, seperti yang dikutip oleh Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari dan oleh yang lain: ni’mati al-murdhi’ah, iaitu di dunia, dan alangkah buruknya al-fâthimah, iaitu setelah mati, sebab mesti dipertanggungjawabkan atas hal itu. Oleh sebab itu, dia seperti orang yang disusui sebelum cukup untuk disusui, maka hal itu menjadi kebinasaannya. Menurut Al-Karmani, dikutip oleh Mula Ali al-Qari dalam ‘Umdah al-Qari, ni’mati al-murdhi’ah bermakna alangkah baik awalnya, sementara bi’sati al-fâthimah iaitu alangkah buruk akhirnya. Hal itu kerana bersama al-imârah itu ada harta, prestij, dan keseronokan pancaindera dan berimaginasi pada awalnya; tetapi kesudahannya adalah pembunuhan, pemecatan, dan tuntutan atas kesudahan al-imârah itu di akhirat.
Jika seperti itu, al-imârah akan benar-benar menjadi penyesalan dan kerugian di akhirat kelak bagi yang menyandangnya. Seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas, hal itu adalah bagi orang yang tidak berlaku adil.
Dalam hadis lain, ketika Abu Dzar meminta agar diberi kekuasaan, Rasululullah SAW bersabda kepada beliau,
يَا أَبَا ذَرّ إِنَّك ضَعِيف، وَإِنَّهَا أَمَانَة، وَإِنَّهَا يَوْم الْقِيَامَة خِزْي وَنَدَامَة إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
“Wahai Abu Dzar, sungguh engkau lemah. Sungguh kekuasaan itu adalah amanah dan sungguh ia menjadi kerugian dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambil amanah itu dengan benar dan menunaikan kewajipannya di dalamnya.” [HR Muslim].
Imam An-Nawawi menjelaskan dalam Syarh Shahîh Muslim, “Hadis ini merupakan pokok yang agung dalam menjauhi kekuasaan, apalagi untuk orang yang pada dirinya ada kelemahan dari menunaikan tugas-tugas kekuasaan itu. Kerugian dan penyesalan menjadi hak orang yang tidak layak untuk kekuasaan itu; atau dia layak, tetapi tidak berlaku adil di dalamnya sehingga Allah SWT membuatkan dia merugi pada hari kiamat dan menelanjanginya, dan ia menyesal atas apa yang ia telantarkan. Adapun orang yang layak untuk kekuasaan dan berlaku adil di dalamnya, maka untuknya keutamaan yang agung yang dijelaskan dalam banyak hadis sahih.”
Jadi hadis-hadis ini menunjukkan beratnya tanggungjawab kepimpinan. Ia seperti pisau bermata dua. Jika orang yang memikulnya tidak layak, mengambilnya dengan tidak benar, tidak berlaku adil di dalamnya, tidak menunaikan kewajipan yang semestinya, maka itu akan menjadi kerugian dan penyesalan bagi dirinya di akhirat; sedangkan di dunia akan mendatangkan bencana bagi rakyat yang dipimpin. Sebaliknya, jika orang yang memikul kekuasaan itu memang layak untuk dia, dia mengambilnya dengan benar, berlaku adil di dalamnya, menunaikan kewajipannya, maka untuk dia ada keutamaan dan kurnia yang besar di akhirat; dan di dunia itu akan menjadi berkah dan kebaikan bagi rakyat yang dipimpinnya.
Wallahu‘alam bissawab.