[SIYASAH DAKWAH] Kewajipan Memberikan Nusrah
Penulis: Muhammad Taufik NT
Ketundukan pada syariah Islam merupakan bukti keimanan dan manifestasi kecintaan kepada Allah SWT, juga merupakan keperluan manusia kepada Diri-Nya. Sebaliknya, Allah SWT sama sekali tidak berhajat pada ketaatan makhluk-Nya. Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan:
وَالْحَاجَة (إِلَى الشَّرِيْعَةِ أَشَدُّ مِنْ الْحَاجَةِ) إِلَى التَنَفُّسِ فَضْلًا عَنْ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ
Keperluan manusia terhadap syariah Islam jauh lebih kuat dibandingkan dengan keperluan mereka untuk bernafas, apatah lagi dibandingkan dengan keperluan untuk makan dan minum.[1]
Cuma, pelaksanaan hukum syariah secara kâffah hanya dapat direalisasikan dengan adanya Khilafah/Imamah. Ini kerana banyak undang-undang, seperti hudud yang tidak boleh dilaksanakan oleh individu.[2]
Ini menjadi salah satu alasan bahawa menegakkan Khilafah adalah kewajipan agar hukum-hukum syariah dapat diterapkan secara kâffah.
Wajib Memberikan Nusrah
Pertolongan Allah SWT yang datang kepada umat ini dengan tegaknya Khilafah yang mengikuti metode kenabian adalah perkara yang tidak dapat dihalang. Khilafah akan datang sebagaimana terbitnya fajar setelah gelapnya malam. Semua itu mudah bagi Allah Yang Maha Perkasa.
Namun, Allah SWT mewajibkan kepada sesiapa sahaja untuk menolong agama-Nya. Sudah tentu bukan kerana Dia berhajat pada pertolongan manusia. Manusialah yang berkeinginan untuk melaksanakan perintah-Nya, iaitu menolong agama Allah, dan inginkan kehidupan yang sesuai dengan aturan-Nya. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُوٓاْ أَنصَارَ ٱللَّهِ ١٤
“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kalian para penolong (agama) Allah.” [TMQ ash-Shaf (61): 14].
Imam Ibnu Katsir ketika menjelaskan ayat ini berkata: “Allah SWT berfirman dengan memerintahkan hamba-Nya yang beriman agar menjadi penolong (agama) Allah dalam segala keadaan mereka; baik dengan ucapan, perbuatan, jiwa mahupun harta mereka; juga agar mereka menyahut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya.”[3]
Pada hakikatnya, Allah-lah yang akan menolong sesiapa sahaja yang menolong agama-Nya. Kerana itu, tidak ada jalan lain bagi sesiapa sahaja yang ingin mendapat pertolongan Allah selain dengan cara menolong agama-Nya (Lihat: QS al-Hajj [22]: 40).
Dialah Yang Maha Kuat dan Maha Perkasa. Dia menyuruh kita membantu agama-Nya tidak lain hanya kerana untuk menguji kita: Di pihak mana kita berpihak? Usaha apa yang telah kita lakukan? Seberapa seriuskah usaha kita? Seterusnya, Allah-lah Yang akan memberikan pertolongan-Nya mengikut kadar niat dan persediaan kita. Ini sebagaimana dinyatakan dalam Rûh Al-Bayân.[4]
Rasulullah SAW. bersabda:
إِنَّ الْمَعُونَةَ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، تَأْتِي الْعَبْدَ عَلَى قَدْرِ الْمَئُوْنَةِ
“Sesungguhnya pertolongan Allah ‘Azza wa Jalla itu datang kepada hamba-Nya mengikut kadar bekalan mereka.“[5]
Mengenai kaitan maksud memberikan nusrah adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam ar-Razi.[6] Prinsipnya, memberikan nusrah dilakukan dengan melakukan segala bentuk usaha untuk meninggikan kalimatulLaah dan menerapkan syariah-Nya secara kâffah di muka bumi dengan tegaknya Khilafah. Sebab, hanya dengan Khilafah sahaja syariah dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Menegakkan Khilafah adalah fardhu kifayah. Ketiadaan Khilafah menyebabkan hukum-hukum syariah tidak dilaksanakan. Oleh sebab itu memberikan nusrah untuk penegakan Khilafah merupakan kewajipan yang sangat mendesak. Pengabaian terhadap kewajipan menegakkan Khilafah ini akan menyebabkan seluruh umat Islam menanggung dosa, kecuali mereka yang memang berusaha untuk memberikan nusrah untuk menegakkan Khilafah. Ini sebagimana dinyatakan oleh Ibnu Qudamah.[7]
Bentuk Nusrah yang Mesti Diberikan
Semua komponen umat Islam wajib memberikan nusrah mengikut kemampuan mereka, bukan mengikut kehendak mereka. Rasulullah SAW. bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَليُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَم يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإيمَانِ
“Sesiapa yang menyaksikan kemungkaran, ubahlah kemungkaran itu dengan tangan (kekuasaan)-nya; jika tidak mampu, dengan lisannya; jika tidak mampu, dengan hatinya, dan itulah selemah-lemahnya iman.” (HR Muslim).
Imam Ibnu Hajar al-Haitami menjelaskan berkaitan dengan kemungkaran dalam sabda Nabi SAW. tersebut:
(منكرًا) وهو: ترك واجب، أو فعل حرام، صغيرة كان أو كبيرة
“Mungkar bermakna meninggalkan kewajipan dan melakukan keharaman; kecil atau besar.” [8]
Ketiadaan Khilafah saat ini adalah kemungkaran. Sebab, Khilafah adalah kewajipan yang telah disepakati oleh para ulama malah merupakan ijmak Sahabat. Penegakan Khilafah bukan sekadar kewajipan biasa. Ia merupakan salah satu kewajipan yang paling penting. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam Ash-Shawaa’iq al-Muhriqah. Sebabnya, ketiadaan Khilafah mengakibatkan kewajipan-kewajipan lain terabai. Bahkan tanpa Khilafah, kewajipan solat juga tidak terjaga di tengah-tengah umat. Ketiadaan Khilafah juga menimbulkan pelbagai jenis kemungkaran lain seperti riba, zina, minum arak, dll.
Kemungkaran ini mesti diubah dengan menggunakan segala bentuk cara yang disyariatkan, yang boleh menghilangkan kemungkaran tersebut. Berkaitan dengan hadis di atas, Qadhi ‘Iyadh berkata:
فَحَقُّ الْمُغَيِّرِ أَنْ يُغَيِّرَه بِكُلِّ وَجْهٍ أَمْكَنَهُ زَوَالُهُ بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا
“Kerana itu wajib bagi pihak yang melakukan perubahan untuk mengubah kemungkaran dengan segala cara yang memungkinkan sehingga kemungkaran itu dapat hilang, baik dengan perkataan atau perbuatan.” [9]
Perintah dalam hadis tersebut berlaku umum kepada semua umat Islam mengikut tahap kemampuan mereka. Orang yang mempunyai kuasa dan kekuatan seperti ketua negara, pegawai tentera dan lain-lain seperti mereka, wajib menggunakan kuasa dan kekuatan mereka untuk mengubah kemungkaran tersebut dengan menyokong tegaknya Khilafah. Kerana, ketiadaan Khilafah adalah punca terjadi pelbagai kemungkaran.
Dari semua tahap ini, ketua negara dan pemimpin tentera yang paling dituntut untuk memberikan nusrah secara langsung demi menegakkan Khilafah. Tuntutan kepada mereka sangat mendesak dan mesti dilaksanakan sekarang juga! Contohnya, Saad bin Muadz ra., ketua suku Aus. Setelah masuk Islam, dia tidak memikirkan sama ada keislamannya akan menyebabkan masyarakat menjauhinya atau tidak. Malah dia tidak mahu dihargai oleh kaumnya jika mereka tidak bersedia memeluk Islam.[10]
Bagi ulama pula, dengan kapasiti keilmuan mereka, mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan, mengajak dan merangsang semangat umat dalam memperjuangkan kembali tegaknya Khilafah. Mereka tidak boleh memilih untuk hanya menyampaikan aspek ajaran Islam yang `selamat` dan disukai oleh masyarakat sahaja, dengan alasan ‘masyarakat belum bersedia’. Sebaliknya, mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk mempersiapkan masyarakat. Mereka juga tidak boleh beralasan, ‘Saya tidak mempunyai kemampuan untuk menegakkan Khilafah. Itu adalah kewajipan ahlul quwwah dan ahlul halli wal aqdi’.”
Justeru sebaliknya, jika mereka melihat orang yang dianggap layak dan mampunyai kemampuan untuk menegakkan Khilafah membisu dari kewajipan ini, mereka mempunyai kewajipan untuk menjadikan orang yang mereka anggap berkemampuan ini benar-benar melaksanakan kewajipan mereka.
Pendek kata, orang yang mempunyai kemampuan untuk menegakkan Khilafah wajib melakukannya sendiri. Bagi mereka yang tidak berkemampuan wajib mendorong orang lain yang berkemampuan untuk melaksanakan kewajipan tersebut. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu al-Qudamah.[11]
Semakin besar kapasiti, kebolehan dan anugerah yang Allah berikan kepada seseorang, semakin besar pula tanggungjawab mereka. Jika mereka mengabaikan kewajipan mereka maka semakin besar pula dosa yang akan mereka tanggung.
Menolong Kelompok yang Berjuang Menegakkan Khilafah
Salah satu bentuk menolong agama Allah ialah dengan menolong golongan yang berusaha menegakkan agama Allah. Demikian sebagaimana kata Imam ar-Razi.[12]
Oleh itu, jika ada golongan yang berusaha menegakkan hukum-hukum Allah secara kaffah dengan menegakkan Khilafah menggunakan metode Rasulullah SAW., seperti Hizbut Tahrir, sudah semestinya penguasa dan ahlul quwwah menyokongnya. Sebab, kewajipan menegakkan Khilafah ini pada hakikatnya bukanlah kewajipan Hizbut Tahrir semata-mata, namun kewajipan seluruh umat Islam. Penguasa dan ahlul quwwah sudah tentu pihak yang paling mampu secara langsung menegakkan Khilafah.
Keengganan mereka untuk menyokong kumpulan yang sedang berusaha untuk menegakkan Khilafah mengikut metode Rasulullah SAW. menyebabkan mereka akan memikul dosa besar: dosa kerana hukum Allah SWT. diabaikan; dosa kerana mereka berpangku tangan terhadap kemungkaran; dan dosa kerana mereka memegang jawatan tanpa melaksanakan syariat Islam. Kejahilan mereka atau alasan terlambat kerana mereka baru mengetahui, bukanlah alasan yang boleh diterima. Malah, sejak awal seharusnya mereka tidak boleh memegang apa-apa jawatan, apatah lagi kekuasaan, sebelum memahami hukum-hukum Allah dalam melaksanakan amanat jawatan tersebut. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazali.[13]
Begitu juga ulama, intelektual, tokoh dan usahawan. Mereka wajib menyokong penegakan Khilafah dengan ilmu, lisan, pengaruh dan harta mereka. Sudah tentu kerana beban kewajipan ini juga terletak di bahu mereka. Malah kerana peranan mereka –secara sababiyyah– yang lebih diperhatikan dan berpengaruh kepada ahlul quwwah.
Bagi orang awam juga mempunyai kewajipan untuk berjuang pada tahap kemampuan mereka, seperti aktif dalam membentuk pendapat dan kesedaran umum, memperbanyakkan jumlah orang yang memperjuangkannya, belajar dan berusaha untuk meningkatkan diri secara serius agar kelak mampu melaksanakan amanah ini, dsb. Bukankah majoriti mereka yang awal memeluk Islam itu berasal dari kalangan orang-orang kecil? Tidakkah Saad bin Muadz ra. sedar bahawa dia tidak boleh dipisahkan daripada ‘orang-orang kecil’ yang semakin mengikuti dakwah Mushab bin Umair ra. sehingga menimbulkan kemarahan Saad bin Muadz?
Malah Abdullah bin Ummi Maktum ra. (Abdullah bin Qais bin Zaidah bin al-Asham), walaupun sudah terlalu uzur untuk tidak berjihad kerana matanya yang buta, namun sangat berhasrat untuk ikut berperang di jalan Allah SWT.
Bagaimanapun, jumlah penyokong merupakan salah satu penentu kemenangan dan kejayaan, dengan izin Allah SWT. Dengan ramai penyokong maka pendapat dan kesedaran umum akan lebih mudah dibentuk. Dengan pendapat dan kesedaran umum, para ulama dan tokoh yang pada mulanya ragu-ragu akan menjadi lebih mantap dan berani. Dengan pendapat dan kesedaran umum serta sokongan ‘ulama dan tokoh, para ahlul quwwah tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menyokong perjuangan ini.
Oleh itu, sesiapa yang masih hidup dan mempunyai kesedaran tidak layak memilih untuk berdiam diri dari menyokong perjuangan ini. Ketika lidah masih boleh berbicara, tangan masih boleh menulis, kaki masih boleh melangkah untuk menguatkan pandangan dan kesedaran umum, apakah alasan yang boleh diberikan kelak apabila bertemu dengan Allah SWT? Rasa takut semata-mata tidak akan diterima menjadi alasan untuk mengelakkan dari kewajipan ini.
Khatimah
Wahai umat Islam, memberikan pertolongan kepada Islam, menyokong gerakan dakwah yang bekerja untuk meninggikan kalimatulLaah di muka bumi dengan tertegaknya Khilafah, adalah satu kewajipan. Inilah jalan kemuliaan yang telah Allah jadikan untuk kita semua. Jika kita tidak mengambil jalan kemuliaan ini, tertegaknya Khilafah tetap akan berlaku dengan izin Allah SWT. Allah SWT akan terus melahirkan generasi yang akan memperjuangkan Khilafah tanpa rasa takut celaan dari pencela. Begitu juga, sudah tentu kita berdosa jika melalaikan kewajipan ini.
Wahai ulama dan cerdik pandai, keberanian anda dalam mempertahankan perjuangan untuk menegakkan Khilafah tidak akan mendekatkan anda kepada kematian, dan tidak akan mengurangkan rezeki anda.
Sebaliknya, apabila kalian enggan memberikan nusrah, baik dengan terlibat langsung atau tidak dalam perjuangan ini, ketika syariah Islam terabai seperti sekarang, maka anda semua akan diminta dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Wahai ahlul quwwah, nusrah yang kalian berikan untuk tegaknya Khilafah akan menjadikan kalian mulia, seperti Saad bin Muadz ra., ketika beliau meninggal, Rasulullah bersabda, “Inilah dia yang membuat ‘Arasy-Nya bergetar, pintu-pintu langit terbuka dan 90 ribu malaikat menyaksikan kematiannya.”[14]
Sungguh, kita semua hanya ada dua pilihan: memberikan pertolongan untuk tegaknya Khilafah atau tidak. Apapun pilihan kita, ia hanya membawa akibat untuk kemuliaan kita atau tidak. Ia tidak merugikan Allah sedikit pun. Sebabnya, Allah SWT akan sentiasa memunculkan orang-orang yang akan membela agama-Nya. [15]
WalLâhu a’lam.
Notakaki:
1 Ibnu al-Qayyim Al-Jauziyah, Miftâh Dâr Al-Sa’âdah (Riyadh: Dâr Ibnu ’Affân, 1996), Juz 2, h. 318.
2 Fakhr al-Dîn Mu%ammad ibn »Umar Al-Râzî, Mafâtîh Al-Ghaib (Tafsîr al-Kabîr), Cet. III. (Beirut: Dâr Ihyâ al-Turâts al-Arabi, 1420), Juz 11, h. 356.
3 Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir, Tafsîr Al-Qur’ân al-Adzîm (Dâr Thayyibah, 1999), Juz 8, h. 113.
4 Ismail Haqqi Al-Barousawi, Rûh Al-Bayân (Beirut: Dâr al-Fikr, tt), Juz 4, h. 75.
5 Muhsin bin Ali At-Tanukhi, Al-Faraj Ba’da as-Syiddah, Pentahkik. Abud as-Syaliji (Beirut: Dâr Shâdir, 1978), Juz 1, h. 117.
6 Al-Râzî, Mafâtîh Al-Ghaib (Tafsîr al-Kabîr), Juz 28, h. 42.
7 Ibnu Qudamah Al-Maqdisi, Raudlatu An-Nâdhir Wa Junnatu al-Munâdhir, Cet. II. (Muassasah ar-Rayyan, 2002), Juz 1, h. 123.
8 Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar Al-Haitami, Fath Al-Mubîn Bi Syarh al-Arba’în, Cet I. (Jeddah: Dâr al-Minhaj, 2008), h. 540.
9 Abu Zakariya Yahya bin Syaraf An-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, Cet. II. (Beirut: Dâr Ihyâ al-Turâts al-Arabi, 1392), Juz 2, h. 25.
10 Ibnu Hisyam, Al-Sîrah al-Nabawiyyah (Mesir: Musthafa al-Bâbi, 1955), Juz 1, h. 437.
11 Al-Maqdisi, Raudlatu An-Nâdhir Wa Junnatu al-Munâdhir, Juz 1, h. 123.
12 Al-Râzî, Mafâtîh Al-Ghaib (Tafsîr al-Kabîr), Juz 28, h. 42.
13 Syihabuddin Ahmad bin Idris Al-Qarafi, Anwâr Al- Burûq Fî Anwâ’ al-Furûq, Juz 2, h. 148.
14 Abu Abdirrahman Ahmad bin Syu’aib bin ’Ali Al-Nasa-i, Sunan Al-Nasa-i, Pentahkik. Abdul Fattah Abu Ghuddah, Cet. II. (Halb: Maktab al-Mathbû’ât al-Islamiyyah, 1986), Juz 4, h. 100, Komentar pentahkik: shahih.
15 Al-Syaibani, Musnad Al-Imam Ahmad Bin Hanbal, Juz 36, h. 657, Komentar pentahkik: حديث صحيح لغيره…
Sumber: