[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH AN-NASHR – PERTOLONGAN ALLAH ADALAH KUNCI KEMENANGAN
إِذَا جَآءَ نَصْرُ ٱللَّهِ وَٱلْفَتْحُ
Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan,
وَرَأَيْتَ ٱلنَّاسَ يَدْخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفْوَاجًا
dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong,
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَٱسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابًۢا
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.
(TMQ An-Nashr [110]: 1-3)
————–
PERTOLONGAN ALLAH ADALAH KUNCI KEMENANGAN
Banyak pelajaran penting yang dapat dipetik dari surah ini.
1) Kepastian pertolongan Allah SWT. Datangnya pertolongan merupakan autoriti Allah SWT. Kerana menjadi autoriti-Nya, Dialah yang berhak menentukan bila pertolongan itu datang dan dengan cara apa diberikan. Dalam perkara ini, manusia tidak memiliki kawalan sama sekali. Bahkan para nabi sekalipun.
2) Peristiwa yang mengiringi tatkala datang pertolongan Allah SWT dan futûhât. Peristiwa tersebut adalah masuknya manusia ke dalam Islam secara berbondong-bondong. Inilah yang diberitakan dalam surah ini dan terjadi dalam sejarah Islam. Rasulullah saw. mengawali dakwahnya di Mekah selama tiga belas tahun. Namun, hanya sedikit yang bersedia masuk Islam. Saat itu, Mekah berada di bawah kekuasan Quraisy yang amat menentang dakwah beliau. Namun, ketika Mekah berjaya ditaklukkan, hanya dalam beberapa hari penduduk Mekah berbondong-bondong menyatakan keislamannya. Langkah itu pun diikuti oleh kabilah-kabilah lainnya di Jazirah Arab.
3) Sebagai sebuah dîn yang berasal dari Allah SWT, Islam dengan mudah dapat difahami kebenarannya oleh manusia. Apabila diterapkan dalam kehidupan, keadilan dan keunggulannya jauh lebih mudah difahami dan dirasakan. Sejarah membuktikan, penerapan syariah dalam naungan Khilafah telah mewujudkan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Realiti ini tentu menjadi magnet luar biasa yang membuat manusia berbondong-bondong masuk Islam.
4) Tindakan yang diperintahkan Allah SWT manakala pertolongan-Nya telah datang. Sebagaimana disimpulkan az-Zamakhsyari, ada dua tindakan yang perlu dilakukan, yakni bersyukur dan beristighfar. Kenikmatan yang diberikan kepada amat banyak hingga manusia tidak akan mampu menghitungnya Datangnya pertolongan Allah dan kejayaan membebaskan negeri-negeri lain jelas merupakan tambahan kenikmatan yang luar biasa. Terhadap kenikmatan itu, manusia diperintahkan untuk ber-tashbîh, ber-tahmîd dan beristighfar kepada Allah SWT. Ini merupakan ungkapan syukur atas semua kenikmatan yang telah diberikan-Nya. Apabila sikap ini yang dilakukan, dijanjikan akan ditambah kenikmatan lagi. Namun, jika bersikap sebaliknya, yakni ingkar terhadap kenikmatan-Nya, maka akan diancam dengan azab.
Inilah yang harus dilakukan umat Islam ketika mendapatkan pertolongan dan kemenangan. Mereka tetap menjadi umat yang terbaik, apa pun keadaannya.
(Ust. Rokhmat S. Labib, M.E.I.)
#kempenrejab #rejabbulanmulia #1hari1ayat #100TahunKejatuhanKhilafah