[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH AL-AHZAB AYAT 72
إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًۭا جَهُولًۭا ٧٢
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan pada ketika itu manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
———————————–
PEMIMPIN YANG BERTAKWA ADALAH ORANG YANG MENJAGA AMANAH
Menurut Tafsir Ibnu Katsir terkait Surah al-Ahzab, ayat 72-73:
Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa amanah ini adalah hal-hal wajib yang ditawarkan Allah SWT kepada langit, bumi, dan gunung-gunung. Jika mereka menunaikannya, maka Allah akan memberi mereka pahala, dan jika mereka mensia-siakannya, maka Allah akan mengazab mereka. Maka mereka terpaksa dan merasa takut memikulnya tanpa adanya pelanggaran. Tetapi demi menghormati agama Allah, maka sebaiknya mereka tidak menerimanya. Kemudian Allah menawarkannya kepada nabi Adam, dan nabi Adam mahu menerimanya dan apa yang terkandung di dalamnya. Itulah yang dimaksud firman Allah SWT: (dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh) iaitu tergiur oleh perintah Allah.
Qatadah berkata bahawa amanah adalah mengamalkan agama, kewajipan-kewajipan, dan batasan-batasan.
Malik meriwayatkan dari Zaid bin Aslam, dia berkata bahawa amanah itu ada tiga perkara, iaitu solat, puasa, dan mandi junub. Semua pendapat ini tidak bertentangan satu sama lainnya, melainkan sesuai dan bersumber bahawa amanah itu adalah tanggungjawab dan menerima semua perintah serta larangan dengan persyaratannya, iaitu apabila dia mengerjakanya maka dia mendapat pahala, dan jika meninggalkannya maka mendapat seksaan. Lalu manusia menerimanya kerana kelemahan, kebodohan, dan kezalimannya, kecuali orang yang diberi taufik dan meminta pertolongan kepada Allah.
Firman Allah SWT: (sehingga Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrik lelaki dan perempuan) iaitu, sesungguhnya Allah memikulkan amanah kepada nabi Adam iaitu bahawa amanah adalah tanggungjawab, agar Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan. Mereka adalah orang yang menampakkan keimanan, dan menyembunyikan kekafirannya mengikuti keluarganya (orang-orang musyrik lelaki dan perempuan) Mereka adalah orang-orang yang lahir dan batinnya menyekutukan Allah, iaitu menyekutukan Allah dan menentang para rasulNya (dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin lelaki dan perempuan) iaitu agar Allah merahmati orang-orang yang beriman dari kalangan makhlukNya yang beriman kepada Allah, para malaikatNya, kitab-kitabNya, dan para rasulNya serta mengamalkan ketaatan kepadaNya (Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)
(Tafsir Ibnu Katsir (Ringkas) / Fathul Karim Mukhtashar Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim, karya Syaikh Prof. Dr. Hikmat bin Basyir bin Yasin, professor fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah)
Demikianlah umat Islam perlu melaksanakan setiap amanah (perintah dan larangan dalam Islam) dengan penuh tanggungjawab jika mereka ingin selamat di dunia dan di akhirat. Bukan hanya sebatas memelihara kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan pada diri individu, bahkan dalam kehidupannya sebagai masyarakat serta kepada alam sekitar. Ini kerana syariat Islam yang komprehensif sudah mengatur tatacara mengurus dan mentadbir kemakmuran alam ini sesuai kehendak Allah swt. Justeru, manusia tidak boleh berbuat sesuka hati mereka. Mereka perlu menjalani kehidupan sesuai petunjuk (Al-Quran). Walaupun amanah dalam beragama ini banyak dan berat, namun Allah swt Maha Adil, juga telah memberikan petunjuk melalui Al-Quran dan Rasulnya, serta menjamin balasan yang setimpal dengan kesungguhan manusia untuk melaksanakan amanah-amanah tersebut. Justeru, amanah-amanah tersebut tidak lain tidak bukan adalah bukti ketaatan seorang hamba, serta pembeza antara yang beriman dengan munafik dan kafir. Maka penting untuk kita sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah swt agar dimampukan memikul amanah-amanah dan membuat pilihan yang baik lagi diredhai-Nya.
Sebagai refleksi tambahan, mari kita berfikir… jika Islam mengatur ummah ini bab solat dan mandi wajib, begitu juga Islam mengatur dalam hal-hal lebih besar seperti aspek politik dan kepimpinan. Umat Islam perlu meraih kekuasaan sebagai pemimpin demi memastikan syariat Islam secara kaffah dapat diterapkan. Jawatan kepimpinan adalah pilihan, jika seseorang memilihnya, maka dia mestilah amanah terhadap aturan sebagai pemimpin yang ditetapkan oleh Allah, bukan sebaliknya seperti yang kita lihat pada hari ini. Ramai yang berebut menginginkan jawatan kepimpinan sebatas untuk mengecapi kekuasaan, populariti, kehormatan dari manusia lain, kedudukan dan kesenangan dunia. Sehinggakan mereka sanggup menempuh jalan yang haram untuk meraihnya. Lebih mendukacitakan, sebahagian ummah ini melakukan pelbagai larangan-larangan Allah baik sebelum, mahupun selepas menduduki jawatan sebagai pemimpin. Mereka berkhianat kepada ummah dengan menerapkan perundangan kufur, melaksanakan dasar-dasar yang menyebabkan kemaksiatan dan kemungkaran berleluasa seperti dasar kebebasan liberal, menerapkan perekonomian ribawi dan mengurus alam sekitar dengan model pembangunan kapitalis yang makin merosakkannya. Mereka sanggup memakai topeng “kesolehan” untuk meraih sokongan, namun mengkhianati amanah serta menjual agama demi “menjamin” kedudukan dunia mereka. Para pemimpin yang telah melakukan hal seumpama ini perlu bertaubat dan mengembalikan posisi tersebut pada yang benar-benar berhak, yang akan memimpin dengan amanah. Jika mereka tetap terus bergelumang dengan pengkhianatan, hakikatnya mereka sebenarnya sedang melakukan kezaliman pada diri sendiri dan semua orang yang dipimpin. Bahkan bertanggungjawab atas memperpanjangkan rantai kezaliman sedia ada (akibat menerapkan kerosakan).
Kini, termasuk amanah di bahu kita adalah mengembalikan kekuasaan Islam yang telah diruntuhkan pada 1924. Kekuasaan yang memerintah dengan syariat Islam sebagai dasar negara itu telah dikhianati dan dihilangkan dengan gantian negara bermodelkan idea sekular. Akibatnya, banyak kerosakan bertali arus menimpa manusia sepanjang 100 tahun dan banyak intipati penting daripada syariah tidak terlaksana. Dengan kata lain juga, banyaklah amanah terculaskan. Marilah tunaikan amanah kita sebagai hamba Allah, dengan berusaha sedaya upaya melaksanakan semua ketaatan. Termasuklah, mengembalikan penerapan syariat Islam di persada dunia dan membentuk kepimpinan yang syarie dengan institusi Khilafah `ala Minhaj nubuwwah. Satu-satunya institusi kepimpinan kaum muslim berdasarkan ajaran Islam, dan berkemampuan menjadikan Islam sebagai rahmatan lil alamin dalam erti kata sebenar, serta memungkinkan setiap muslim dapat menjalankan amanah-amanah sebagai hamba Allah dengan lebih baik (berbanding situasi hari ini). Wallahu`alam.