[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH SAAD AYAT 26
يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ ٢٦
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
——————–
PERINGATAN ALLAH KEPADA PEMIMPIN YANG LUPA DARATAN
(MEMERINTAH DENGAN HAWA NAFSU, DAN MENGABAIKAN SYARIAT ALLAH)
Menurut Tafsir Ibnu Katsir:
Ini merupakan perintah dari Allah Swt. kepada para penguasa agar mereka memutuskan perkara di antara manusia dengan kebenaran yang diturunkan dari sisi-Nya, dan janganlah mereka menyimpang darinya, yang berakibat mereka akan sesat dari jalan Allah. Allah Swt. telah mengancam orang-orang yang sesat dari jalan-Nya dan yang melupakan hari perhitungan„iaitu dengan ancaman yang tegas dan azab yang keras.
Ibnu Abu Hatim mengatakan:
“Telah menceritakan kepada kami ayahku, telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Khalid, telah menceritakan kepada kami Al-Walid, telah menceritakan kepada kami Marwan ibnu Janah, telah menceritakan kepadaku Ibrahim alias Abu Zar’ah yang pandai membaca kitab-kitab terdahulu, bahawa Al-Walid ibnu Abdul Malik pernah bertanya kepadanya,
“Apakah khalifah juga mendapat hisab? Ku ajukan pertanyaan ini kepadamu kerana kamu telah membaca kitab-kitab terdahulu, juga telah membaca Al-Quran serta memahaminya.”
Aku (Abu Zar’ah) menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, saya hanya berpesan kepadamu, hendaknyalah engkau berdoa semoga berada di dalam keamanan dari Allah.”
Ku katakan lagi, “Hai Amirul Mukminin, apakah engkau lebih mulia bagi Allah ataukah Daud a.s.? Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan baginya antara kenabian dan kekhalifahan (kekuasaan), tetapi sekalipun demikian Allah mengancamnya melalui firman-Nya,” sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran; Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka Bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkanmu dari jalan Allah. (Saad: 26) hingga akhir hayat.
Ikrimah telah mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: „mereka akan mendapat azab yang berat, kerana melupakan hari perhitungan“. (Saad: 26) Ini merupakan ungkapan yang mengandung taqdim dan ta‘khir, menurut urutannya adalah berbunyi seperti berikut: لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ يَوْمَ الْحِسَابِ بِمَا نَسُوا., yang bermaksud bagi mereka azab yang berat pada hari perhitungan nanti disebabkan mereka lupa daratan.
As-Saddi mengatakan bahawa makna ayat ialah bagi mereka azab yang berat disebabkan mereka meninggalkan amal perbuatan untuk bekal mereka di hari perhitungan. Pendapat yang kedua ini lebih serasi dengan makna lahiriah ayat.
#100TahunKejatuhanKhilafah #1hari1ayat