[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH YUNUS AYAT 14
ثُمَّ جَعَلْنَـٰكُمْ خَلَـٰٓئِفَ فِى ٱلْأَرْضِ مِنۢ بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ ١٤
“Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.”
—————
MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH UNTUK MELAKSANAKAN KETAATAN, BUKAN KEZALIMAN
Allah SWT menggantikan umat terdahulu yang berbuat zalim dengan umat Muhammad (Islam) agar kita menerapkan syariat Allah. Maka tidak sepatutnya bagi muslim mana pun menggunakan syariat selainnya sebagai cara hidup. Syariat Allah adalah amanah ke atas umah ini untuk dilaksanakan dan diterapkan. Meninggalkannya samalah dengan melakukan kezaliman. Dan kita sebagai umat Islam juga tidak terlepas daripada evaluasi atau pemerhatian Allah swt terhadap setiap tindak-tanduk kita, apakah baik atau buruk amalan kita. Justeru, penting untuk kita menjadikan jejak orang-orang soleh terdahulu sebagai teladan, manakala menjauhi apa yang dilakukan oleh kelompok yang diazab. Begitu juga, kita berperanan penting mempersiapkan generasi untuk melakukan hal yang sama.
Sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir as-Sa’di (Syaikh Abdurrahman bin Nashir as-Sa’di, pakar tafsir abad 14 H), terkait ayat ini:
“Kemudian Kami menjadikanmu.” Iaitu, orang-orang yang ayat ini ditujukan kepadanya. “Sebagai pengganti-pengganti (mereka) di muka bumi sesudah mereka, supaya Kami memperhatikan bagaimana kamu berbuat.” Jika kamu mengambil pelajaran dan nasihat dari orang-orang sebelummu, mengikuti ayat-ayat Allah, membenarkan rasul-rasulNya, nescaya kamu selamat di dunia dan akhirat. Jika kamu berbuat seperti apa yang diperbuat oleh orang-orang zalim sebelummu, nescaya Dia menurunkan kepadamu azab yang telah Dia turunkan kepada mereka, dan siapa yang memberi peringatan maka dia telah memiliki (alasan) uzur (di hadapan Allah).
Begitu juga ketika Umar Al-Khattab membaca ayat ini beliau berkata : “Sungguh maha benar Allah, tidaklah Dia menjadikan kita di muka bumi ini sebagai khalifah kecuali Dia akan melihat kepada amal perbuatan kita, oleh kerana itu berbuatlah kalian untuk Allah sebaik-baik amalan siang dan malam, baik secara zahir ataupun ketika dalam tertutup.”
Pelajarannya, penting bagi umat Islam untuk melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini, dengan melaksanakan setiap perintah Allah dan Rasul-Nya, serta meninggalkannya setiap larangan. Bukan dengan melakukan hal-hal yang sebaliknya, atau berpandukan panduan selain Al Quran dan As Sunnah. Hanya dengan cara itulah ummah ini akan menempuh jalan yang selamat dalam merealisasikan keberuntungannya sebagai umat Muhammad SAW.
#100TahunKejatuhanKhilafah #1hari1ayat