[1 HARI 1 AYAT – KUMPULAN AYAT PILIHAN] SURAH AL-MAIDAH AYAT 8
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan.”
——————–
KEADILAN ISLAM KEPADA SELURUH MANUSIA.
SEDANGKAN KEZALIMAN LANGSUNG TIDAK MENDAPAT TEMPAT DALAM ISLAM.
Menurut penjelasan dalam Tafsir Al-Madinah Al-Munawwarah (Markaz Ta’dzhim al-Qur’an di bawah pengawasan Syaikh Prof. Dr. Imad Zuhair Hafidz, professor fakulti al-Quran Universiti Islam Madinah),
Allah menyeru hamba-hamba-Nya yang beriman supaya mereka bersungguh-sungguh dalam menegakkan kebenaran untuk Allah dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan keredhaan-Nya, bukan untuk kepentingan diri sendiri mahupun orang lain. Dan Allah juga memerintahkan mereka untuk bersikap adil ketika menyampaikan kesaksian dengan tidak berbuat zalim. Umat ini juga dituntut agar menjaga sifat adil sebaiknya, sehinggakan kebencian terhadap suatu kaum tidak menjadikan kita tidak adil. Ini kerana, bersikap adil dalam keadaan suka mahupun benci merupakan asas kebenaran dan jalan menuju ketakwaan. Hal ini sesuai dengan perintah Allah SWT seterusnya yang menegaskan agar kita bertakwa dalam segala urusan dengan menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui dan Meliputi segala urusan yang tersembunyi.
Demikianlah keadilan dalam Islam sangat diutamakan oleh Allah swt. Dalam kemarahan terhadap kaum kafir yang membuat penganiayaan terhadap kita sekalipun, setiap muslim dilarang untuk tidak berlaku adil kepada mereka. Begitu juga sesama muslim. Atas setiap kezaliman yang dilakukan oleh manusia manapun, mereka mestilah diadili berdasarkan syariat Allah. Setiap muslim mesti menjadikan rasa benci, marah atau sukanya terhadap sesuatu kerana Allah. Justeru, begitu juga dalam merespon apa saja, mereka juga mesti mejadikan syariah Islam sebagai tolok ukur perbuatan. Begitu juga dalam hal dakwah misalnya, ummah ini mestilah menyampaikan risalah dakwah dengan benar, ikhlas semata-mata kerana Allah dan atas kefahaman bahawa itu adalah tanggungjawabnya sebagai muslim. Maka, jika dia mendapat kesusahan atau dianiaya atas sebab itu, dia perlulah sabar, tidak berdendam atau saling berbalas kezaliman, dan tetap mengutamakan sifat adilnya.
#100TahunKejatuhanKhilafah #1hari1ayat