[Tsaqafah] Bagaimana Memperoleh Hasil Tuaian Terbaik pada Ramadhan?
Penulis: Arini Retnaningsih
Setahun sudah kita menunggu Ramadhan ini tiba. Penuh harap dan kerinduan. Hari-hari yang penuh makna, ketika iman terasa manisnya, ibadah terasa nikmatnya. Inilah musim tuaian dalam amal-amal kita. Tentu, kita menginginkan hasil tuaian terbaik. Namun, hal itu tidak mungkin akan kita raih begitu saja. Ia memerlukan waktu sebelumnya untuk kita menanam dan memupuk persiapan-persiapan tersebut.
Para salaf soleh telah memulai persiapan Ramadhan ini sejak memasuki Rejab. Abu Bakr al-Balkhi rahimahullah pernah mengatakan,
شَهْرُ رَجَب شَهْرُ الزَّرْعِ، وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سُقْيِ الزَّرْعِ، وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حَصَادِ الزَّرْعِ.
“Bulan Rejab adalah bulan menanam, bulan Syaaban adalah bulan menyirami tanaman, dan bulan Ramadhan adalah bulan menuai tanaman.”
Sedangkan Ibnu Rejab al-Hanbali mengatakan:
مَثَلُ شَهْرِ رَجَبٍ كَالرِّيْحِ، وَمَثُل شَعْبَانَ مَثَلُ الْغَيْمِ، وَمَثَلُ رَمَضَانَ مَثَلُ اْلمطَرِ، وَمَنْ لَمْ يَزْرَعْ وَيَغْرِسْ فِيْ رَجَبٍ، وَلَمْ يَسْقِ فِيْ شَعْبَانَ فَكَيْفَ يُرِيْدُ أَنْ يَحْصِدَ فِيْ رَمَضَانَ.
“Perumpamaan Rejab adalah seperti angin, Syaaban seperti awan yang membawa hujan, dan Ramadhan seperti hujan. Barang siapa yang tidak menanam pada Rejab dan tidak menyiraminya pada Syaaban, bagaimana mungkin dia menuai hasilnya pada Ramadhan?”(Lathaiful-Ma’arif libni Rejab Al-Hanbali hlm. 130.)
Kita yang ingin menuai amal pada Ramadhan, tidak boleh tidak mesti memulai persiapan lebih awal dari hari sebelumnya dengan persiapan yang menyeluruh, baik dari segi iman, amal, mahupun fizikal dan benda.
- Membangun Tekad, Memperkuat Iman
Menyiapkan Ramadhan adalah membangun tekad untuk lulus sebagai golongan orang yang bertakwa pada akhirnya. Tekad yang kuat atau kita sebut azzam hanya terlahir dari keimanan yang kuat. Keyakinan yang tidak ada keraguan bahawa Allah menyediakan balasan terbaik bagi hamba-Nya yang berjuang pada Ramadhan.
Dalam salah satu hadis qudsi, Rasulullah saw. bersabda, “Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Taala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku.’ Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan, iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak misk,” (HR. Bukhari).
Balasan dari Allah adalah balasan terbaik. Apatah lagi saat Allah menegaskan bahawa hanya puasa, amal yang Dia jadikan untuk-Nya sebagaimana firman-Nya dalam sebuah hadis qudsi, ”Setiap amalan anak Adam adalah untuknya sendiri kecuali puasa. Amalan puasa adalah untuk-Ku,” (HR. Bukhari).
Iman yang kuat akan menghantarkan kita meyakini pahala terbesar puasa ini sehingga akan mampu memotivasi kita untuk mengerjakannya dengan sebaik-baiknya dan mencari kelipatan terbesar dari pahala yang Allah janjikan.
Memperkuat iman boleh dilakukan melalui amal-amal yang dinasihatkan para ulama, di antaranya apa yang disebut sebagai penawar hati, misalnya membaca Al-Quran dan memahami maknanya, mendirikan solat malam (tahajud dan witir), berkumpul dengan orang-orang soleh, memperbanyak puasa, dan memperpanjang zikir mengingati Allah di sebahagian malam kita.
Selain itu, menguatkan keimanan dapat dilakukan dengan memperhatikan dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Allah di alam semesta, menyemak kisah-kisah para Nabi, sahabat, dan para salaf soleh, mensyukuri berbagai nikmat Allah yang telah kita terima, serta memperbanyak mengingati sang pemutus nikmat, iaitu kematian beserta seluruh yang akan terjadi setelahnya.
- Menimba Ilmu, Memperbaiki Amal
Ilmu adalah kunci dari amal. Tanpa ilmu, amal boleh menjadi salah dan menjerumuskan diri dalam kesesatan. Sebagai contoh, ada orang yang memilih tidak berpuasa hanya kerana lupa melafazkan niat puasa di malam hari, padahal niat tidak wajib dilafazkan. Jika dia bermaksud dan berhajat untuk berpuasa, maka hal tersebut sudah merupakan niat. Atau orang yang tidak memahami ilmu, boleh jadi dia berpuasa, tetapi tidak menahan lisan, mata, dan telinganya dari maksiat sehingga rosak amal puasanya.
Jadi, agar boleh berpuasa dan beribadah dengan sempurna pada Ramadhan, kita perlu memiliki ilmu tentang puasa, termasuk rukun-rukunnya, apa yang membatalkannya, apa yang boleh merosakkan pahalanya, yang menyempurnakannya, dan yang menghalanginya. Begitu juga kita perlu memiliki ilmu tentang hal-hal yang berkaitan dengan Ramadhan, seperti tarawih, iktikaf, zakat fitrah, dan Aidilfitri.
- Melatih Raga, Menguatkan Jiwa
Tubuh kita juga perlu dipersiapkan untuk menyambut Ramadhan. Menjaganya agar tetap sihat, serta melatihnya untuk meyesuaikan dengan rentak baru pada Ramadhan. Oleh kerana itu, sebelum masuk Ramadhan, kita sudah mula membiasakan untuk bangun pada sepertiga malam terakhir sehingga saat masuk Ramadhan kita tidak lagi terasa berat melakukannya.
Berpuasa di bulan Syaaban juga merupakan salah satu manfaat sebagaimana dicontohkan Rasulullah saw. Begitu juga apa yang dilakukan para ulama dengan membiasakan membaca Al-Quran sejak masuk ke dalam Syaaban.
Pembiasaan seperti ini menyiapkan tubuh kita untuk beradaptasi lebih awal dengan rentak Ramadhan sehingga dari awal masuk Ramadhan kita dapat terus beribadah dengan baik tanpa ‘terkejut’. Penyiapan raga seperti ini, sekaligus menguatkan jiwa kita untuk bersedia menjalankan ketaatan kepada Allah.
- Muhasabah dan Muraqabah Menuju Kemenangan
Bagi menggapai Ramadhan terbaik, kita perlu melakukan evaluasi atas Ramadhan-Ramadhan yang telah kita lalui selama ini. Melihat kembali sasaran-sasaran kita, adakah sudah tercapai? Jika sudah tercapai, apa lagi yang boleh kita tingkatkan? Apabila belum, apakah yang menyebabkannya gagal tercapai? Bagaimana cara kita memperbaikinya?
Dengan muhasabah seperti ini, kita dapat menilai Ramadhan-Ramadhan yang telah kita lalui dan merumuskan perbaikan-perbaikan dalam Ramadhan yang akan datang. Dengan demikian, kita dapat berharap, Ramadhan kita akan sentiasa menjadi Ramadhan terbaik, lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun sebelumnya.
Muhasabah ini perlu kita iringi dengan muraqabah, iaitu kesedaran bahawa Allah sentiasa melihat dan mengawasi dirinya. Tidak sedetik pun Allah lalai dan lengah. Dengan adanya kesedaran ini, seseorang akan meneliti apa-apa yang mereka telah lakukan dalam kehidupan sehari-hari, sudah sesuai dengan kehendak Allah atau sebaliknya, menyimpang dari apa yang telah ditetapkanNya. Termasuk ketika kita mengevaluasi Ramadhan yang lalu, kita sertakan kesedaran bahawa Allah tahu sungguh-sungguhkah kita dalam upaya memperbaiki diri di Ramadhan ini ataukah kita berusaha untuk mencari pembenaran-pembenaran dan pemakluman apabila sasaran-sasaran kita tidak tercapai.
- Menyusun Sasaran yang Terukur
Mengisi Ramadhan tanpa menetapkan sasaran ibarat kita membiarkan air mengalir. Jika saatnya habis, air akan makin mengecil sehingga tidak ada lagi air yang mengalir. Berbeza halnya jika kita menetapkan sasaran, kita akan berjuang untuk mewujudkannya. Hal ini akan membuatkan kita bersemangat dalam menjalani ibadah Ramadhan. Ibaratnya, kita tidak akan membiarkan airnya mengecil dan habis. Jika perlu, kita buat empangan untuk menyimpannya dan mengalirkannya saat air mengecil.
Hal ini juga berlaku saat kita menyusun sasaran. Usahakan sasaran-sasaran kita secara realistik dan mampu untuk kita capai. Namun jangan terlalu ringan, bayangkan pahala puasa dan ibadah lain yang dilipatgandakan. Bila lagi kita peluang untuk kita meraih pahala sebanyaknya, sedangkan tahun depan belum tentu kita akan dapat kembali bersua dengan Ramadhan.
Sasaran yang kita tetapkan perlu di-breakdown dalam langkah-langkah yang nyata. Misalnya, kita tetapkan sasaran khatam Al-Quran, sedangkan kita terbiasa mendapat haid sekitar tujuh hari. Jadi, setiap hari sekurangnya kita perlu membaca 1.5 juzuk. Apabila kita atur masa untuk membaca Al-Quran setiap selesai solat, maka 1.5 juzuk tersebut boleh dibahagi kepada lima waktu.
Untuk mencapai sasaran, kita perlu pengaturan waktu yang efisyen. Tinggalkan perbuatan-perbuatan mubah, kecuali sekadarnya sahaja sesekali. Persiapkan semua keperluan Ramadhan, termasuk agenda ziarah, baju raya, kuih raya, sumbangan makanan asas yang akan kita sumbangkan, perhitungan zakat, dan sebagainya, sebelum memasuki Ramadhan.
Insyaallah, dengan langkah-langkah tersebut, kita mampu mewujudkan Ramadhan terbaik setiap tahun. Tahun ini lebih baik dari tahun yang lalu, tentu dengan sentiasa disertai doa agar Allah memberikan kesihatan, keberkahan, keteguhan, dan kekuatan selama Ramadhan. Begitu juga sentiasa kita bertawakal kepada Allah. Semoga Allah menjadikan Ramadhan kita tahun ini Ramadhan terbaik yang pernah kita lalui. Aamiin Allahumma aamiin.
#sasaranramadhan #perancanganramadhan #persiapanramadhan #ramadhantiba #ramadhankareem