[Tsaqafah] Qadha Puasa
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Alhamdulillah. Ramadhan, bulan mulia penuh keistimewaan, tinggal beberapa hari sahaja lagi akan kembali. Sudah seharusnya kita mengucap syukur, bergembira, dan memohon kepada Allah agar kita benar-benar dipertemukan kembali dengan bulan mulia ini. Semoga kita juga dapat mengisinya dengan baik dan benar sehingga setiap amal yang kita lakukan penuh berkah dan bernilai pahala.
Oleh sebab itu, kita hendaklah mempersiapkannya dengan baik, termasuk menjawab, adakah puasa kita tahun lalu sudah kita sempurnakan dengan benar? Terutamanya buat muslimah, ada beberapa hari yang para muslimah tidak berpuasa kerana uzur syarie yang disebabkan oleh haid atau nifas.
Keistimewaan Ramadhan
Ramadhan begitu istimewa. Bukan hanya pahala akan dilipatgandakan jika kita melakukan amal soleh, tetapi lebih dari itu. Saat Ramadhan, ketika seorang muslim mempunyai uzur syarie yang menghalanginya untuk berpuasa, Allah memberikan rukhsah (keringanan), kemudian memerintahkannya untuk menggantinya pada hari-hari lainnya selain Ramadhan. Inilah yang disebut “qadha”.
Allah Swt. berfirman, “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Oleh kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, hendaklah dia berpuasa pada bulan itu; dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 184).
Dari ayat ini, jelas bagi kita bahawa ada orang-orang yang diizinkan oleh syarak untuk tidak berpuasa saat Ramadhan disebabkan ada uzur, tetapi mereka diperintahkan untuk mengganti puasa (qadha puasa) pada hari-hari yang lain selain Ramadhan. Mereka itu adalah sebagai berikut.
Pertama, orang sakit yang ada harapan untuk sembuh.
“Siapa saja di antara kalian ada yang sakit atau dalam perjalanan, maka (wajib atas mereka berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 184).
Kedua, musafir atau dalam perjalanan yang boleh memudaratkan dirinya jika berpuasa.
Orang yang pergi atau melakukan perjalanan (musafir) dengan meninggalkan rumahnya dan kampung halamannya diberikan kelonggaran atau rukhsah dalam mengerjakan berpuasa saat Ramadhan. Orang yang sedang musafir saat Ramadhan dibenarkan untuk meninggalkan puasanya, tetapi diwajibkan mengqadhanya pada waktu yang lain.
“Siapa saja di antara kalian ada yang sakit atau dalam perjalanan, maka (wajiblah atas mereka berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain.”
Dari Hamzah bin Amru al-Aslami ra., dia bertanya, “Ya Rasulullah, saya rasa, saya boleh tahan berpuasa dalam masa musafir. Oleh kerana itu, apakah saya bersalah (jika saya berpuasa)?” Rasulullah saw. menjawab, “Itu adalah satu rukhsah (kemudahan) dari Allah Taala. Barang siapa menggunakan kemudahan itu (lalu dia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik. Dan barang siapa suka hendak berpuasa, maka orang itu tidak dikira bersalah.”
Ketiga, perempuan yang haid dan nifas.
Keluarnya darah haid dan nifas merupakan salah satu yang membatalkan puasa. Oleh kerana itu, perempuan haid dan nifas tidak diwajibkan untuk berpuasa saat Ramadhan, tetapi wajib mengganti pada hari lain ketika dia telah suci.
Berbeza halnya dengan solat, perempuan haid tidak diperintahkan untuk mengqadha solat mereka. Rasulullah saw. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari, “Bukankah jika wanita itu haid, dia tidak solat dan tidak puasa?” Mereka menjawab, “Betul.” Beliau saw. bersabda, “Demikianlah bentuk kekurangan agama mereka.” (HR Bukhari).
Dari Mu’adzah, dia berkata, “Aku pernah bertanya kepada Aisyah ra., kemudian aku berkata kepadanya, ‘Bagaimana orang yang haid itu wajib mengqadha puasa, tetapi tidak wajib mengqadha solat?’ Lantas dia (Aisyah ra.) bertanya kepadaku, ‘Apakah kamu termasuk orang Haruriyyah?’ Aku pun menjawab, ‘Aku bukan orang Haruriyyah, tetapi aku hanya bertanya.’ Aisyah pun lantas berkata, ‘Hal itu (haid) kami alami, kemudian kami diperintahkan untuk mengqadha puasa, tetapi tidak diperintahkan untuk mengqadha salat.” (HR Muslim).
Dari Aisyah ra., dia berkata, “Semasa kami haid—pada zaman Rasulullah saw.—kami diperintahkan mengqadha puasa, tetapi kami tidak diperintahkan mengqadha solat.”
Perempuan yang sedang haid dan nifas tidak melaksanakan puasa hingga darah berhenti mengalir dari diri mereka. Jika darahnya berhenti, dia tidak lagi dikategorikan sebagai orang yang haid dan nifas sehingga mereka wajib berpuasa pada saat itu.
Oleh itu, jika seorang perempuan berhenti haid atau nifas sebelum fajar, tetapi dia belum sempat mandi, maka dia wajib berpuasa. Ini kerana syarat wajib berpuasa adalah suci dari haid dan nifas, bukan bersuci dari keduanya. Namun demikian, dia tetap wajib untuk mandi setelah masa haid dan nifas tersebut.
Keempat, perempuan hamil dan menyusui.
Sebahagian ulama menggolongkan perempuan hamil dan menyusui termasuk orang sakit dan masih memungkinkan untuk berpuasa. Alhasil, ketika dia tidak berpuasa kerana sedang mengandung dan menyusui, dia wajib menggantinya pada hari-hari lain ketika sudah tidak hamil lagi atau tidak menyusui lagi.
Dari Anas bin Malik, dia berkata, “Kuda Rasulullah saw. mendatangi kami, aku pun mendatangi Rasulullah saw., aku menemukan beliau sedang makan pagi, beliau bersabda, ‘Marilah ke sini, aku akan menceritakan kepadamu tentang masalah puasa. Sesungguhnya Allah Taala menggugurkan 1/2 solat atas orang musafir, menggugurkan atas orang hamil dan menyusui akan kewajipan puasa.’”
Bagi perempuan hamil dan menyusui, mereka mendapatkan rukhsah untuk tidak berpuasa sebagaimana halnya seorang musafir, tetapi mereka wajib mengqadha puasa yang mereka tinggalkan pada hari lainnya. Ketentuan ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla telah meletakkan (meniadakan) puasa dan membenarkan (membolehkan qasar) solat bagi musafir, serta meletakkan (meniadakan) puasa dari perempuan yang sedang hamil dan menyusui.”
Dalam hadis tersebut, Rasulullah saw. menjelaskan bahawa orang hamil dan menyusui diperbolehkan meninggalkan puasa tanpa menyebutkan ketentuan apa pun. Ertinya, rukhsah yang Allah berikan adalah semata-mata kerana hamil dan menyusui. Sedangkan ketentuan wajib mengqadha jumlah hari puasa yang ditinggalkannya—kerana mereka adalah kelompok yang dibebani puasa, tetapi saat perintah berpuasa itu wajib dilaksanakan, ternyata mereka berbuka—sehingga jadilah perintah itu merupakan hutang yang dibebankan kepadanya dan perlu dibayar.
Demikianlah beberapa keistimewaan hukum yang Allah berikan kepada umat Islam terkait puasa. Ini sekaligus menunjukkan kepada kita tentang kesempurnaan aturan Islam. Wallahualam bissawab.
#ramadhantiba #ramadhanmulia #ramadhankareem #qadhapuasa