[Soal Jawab] Pentingkah Khilafah untuk Menyatukan Puasa Ramadhan dan Aidilfitri?
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman, M.A.
Soalan:
Bagaimana urgensi Khilafah Islam dalam penyatuan 1 Ramadhan dan 1 Syawal? Hal ini kerana hingga saat ini, setelah runtuhnya Khilafah, umat Islam sering berpuasa dan berhari raya pada hari/waktu yang berbeza-beza.
Jawapan:
Untuk menjelaskan urgensi Khilafah dalam konteks ini, kita perlu melihat dalil-dalil tentang status matlak (tempat bulan terbit) untuk menentukan 1 Ramadhan dan Syawal.
Pertama: Hadis penuturan Kuraib:
حَدَّثَنِيْ كُرَيْبٌ أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ، قَالَ: “فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتَهَلَّ عَلَيَّ هِلالُ رَمَضَانَ، وَأَنَا بِالشَّامِ، فَرَأَيْتُ الْهِلالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلالَ، فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتَ الْهِلالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، قَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ؟ فَقُلْت: نَعَمْ رَأَيْتُهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَالَ: لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلاثِينَ أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَلا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Aku pernah diberitahu Kuraib bahawa Ummu Fadhal binti al-Haris telah mengutus dirinya kepada Muawiyah di Syam. Kuraib berkata, “Aku telah tiba di Syam, aku telah menunaikan hajatnya (Ummu Fadhal). Aku pun mendapati hilal Ramadhan ketika aku masih di Syam. Aku melihat hilal pada malam Jumaat. Orang-orang pun melihatnya. Mereka berpuasa, Muawiyah juga sama. Aku lalu tiba di Madinah pada akhir bulan. Aku ditanya oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas, kemudian beliau menyebut hilal, lalu bertanya, ‘Bila kamu melihat hilal?’ Aku jawab, ‘Kami telah melihat hilal malam Jumaat.’ Beliau bertanya, ‘Kamu melihatnya malam Jumaat?’ Aku jawab, ‘Benar. Aku melihatnya malam Jumaat. Orang-orang lain juga sama. Mereka telah berpuasa. Muawiyah pun sama.’ Beliau berkata, ‘Namun, kami (di Madinah) melihat hilal malam Sabtu sehingga kami tetap berpuasa hingga menggenapkan bulan menjadi 30 hari, atau kami melihat hilal (1 Syawal).’ Aku bertanya, ‘Apakah tidak cukup dengan rukyat dan puasa Muawiyah?’ Beliau menjawab, ‘Tidak begitu yang diperintahkan oleh Rasulullah saw. kepada kami.’” (HR Khamsah, kecuali Ahmad. Hadis ini disahihkan oleh At-Tirmidzi).
Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa tiap penduduk di wilayah mempunyai rukyat sendiri, dan rukyat penduduk wilayah lain tidak mengikat mereka. Ini dituturkan oleh Ibn Al-Mundzir dari ‘Ikrimah, Al-Qasim bin Muhamad, Salim, dan Ishaq. Ini juga dituturkan oleh At-Tirmidzi dari ahli ilmu. Al-Mawardi menuturkan, ini salah satu pendapat mazhab Syafie.
Pendapat lain hampir sama, bahawa rukyat penduduk wilayah tertentu tidak mengikat wilayah lain, kecuali jika ditetapkan oleh imam/khalifah sehingga mengikat seluruh rakyat. Alasannya, seluruh negeri itu, bagi imam/khalifah, adalah satu wilayah dan keputusannya berlaku bagi semuanya. Ini dinyatakan oleh Ibn al-Majisyun.
Pendapat lain, jika wilayah tersebut berdekatan, hukumnya sama. Namun, jika jauh, di kalangan mazhab Syafie sendiri ada dua pendapat: menurut majoriti tidak wajib. Pendapat ini dinyatakan oleh sebahagian mazhab Syafie, dan dipilih oleh Abu at-Thayyib; adapun yang lain menyatakan wajib. Ini dituturkan oleh Al-Baghawi dari Asy-Syafie.[1]
Kedua: Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim:
لا تَصُوْمُوا حَتَّى تَرَوْا اْلهِلالَ، وَلا تُفْطِرُوْا حَتّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوْا العِدَّةَ ثَلاثِيْنَ
“Janganlah kalian berpuasa hingga melihat hilal dan janganlah kalian berhari raya hingga melihat hilal. Jika pandangan kalian tertutup mendung, genapkanlah hitungan (Syaaban dan Ramadhan) menjadi tiga puluh hari.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Hadis ini tidak hanya berlaku khusus untuk penduduk sebuah wilayah, tetapi seruan ini berlaku umum untuk setiap muslim. Menggunakan hadis ini untuk menarik hukum tentang rukyat penduduk sebuah wilayah mengikat bagi penduduk lain itu lebih kuat, berbanding menarik hukum dengan menggunakan dalil di atas dengan konotasi tidak mengikat. Alasannya, jika hilal (Ramadhan/Syawal) sudah dilihat oleh penduduk wilayah tertentu, sesungguhnya hilal itu juga telah dilihat oleh kaum muslim yang lain. Oleh kerana itu, ia mengikat yang lain, sebagaimana yang melihat hilal secara langsung.[2] Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama mazhab Hanafi, Maliki, mahupun Hanbali.
Berdasarkan kedua pendapat di atas, sesungguhnya penyatuan 1 Ramadhan dan Syawal yang ternyata merupakan pendapat yang paling kuat, tidak mungkin dapat diwujudkan kecuali dengan adanya imam/khalifah. Hal ini kerana, berbagai wilayah tersebut, bagi imam/khalifah adalah satu. Ini kerana Khilafah adalah negara kesatuan; hukum yang berlaku di satu wilayah berlaku juga untuk wilayah yang lain.
Pendapat imam/khalifah dalam hal ini juga wajib ditaati dan dilaksanakan secara zahir dan batin, sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah syariat,
أَمْرُ اْلإمَامِ نَافِذٌ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا
“Perintah imam/khalifah wajib dilaksanakan, baik secara zahir mahupun batin.”
Oleh kerana itu, hanya dengan adanya Khilafah, penyatuan tersebut dapat diwujudkan dengan sempurna. Jika demikian, bagaimana dengan urgensi Khilafah dalam penyatuan 1 Ramadhan dan 1 Syawal?
Jika merujuk kepada pendapat yang paling kuat, iaitu satu matlak berlaku bagi seluruh dunia, kerana satu matlak bagi satu wilayah Islam berlaku bagi wilayah Islam yang lain, maka adanya Khilafah untuk menyatukan pendapat-pendapat yang berbeza dalam hal ini hukumnya wajib. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah syariat,
مَا لا يَتَمُّ الْواَجِبُ إِلا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
“Suatu kewajipan yang tidak akan sempurna, kecuali dengan adanya sesuatu, maka sesuatu itu hukumnya menjadi wajib.”
Penyatuan 1 Ramadhan dan 1 Syawal bagi kaum muslim, berdasarkan pendapat yang kuat di kalangan fukaha itu, hukumnya wajib, sedangkan penyatuan ini tidak akan mungkin terwujud, kecuali dengan adanya imam/khilafah. Oleh kerana itu, adanya imam/Khilafah untuk menyatukan 1 Ramadhan dan Syawal juga wajib. Tanpa itu, penyatuan tersebut tidak dapat diwujudkan. Apalagi ketika masing-masing wilayah kaum muslim terikat dengan keputusan politik mengikut wilayah masing-masing sebagai dampak dari penerapan konsep nation state (negara bangsa).
Jika ada yang mengatakan, bukankah dahulu ketika ada Khilafah, perbezaan dalam penyatuan 1 Ramadhan dan 1 Syawal juga terjadi? Ertinya, jika kaedah di atas digunakan, sedangkan secara fakta Khilafah pernah ada, dan penentuan 1 Ramadhan dan 1 Syawal masih tetap berlaku perbezaan.
Fakta ini terjadi kerana faktor luasnya wilayah Islam saat itu, sedangkan belum ada teknologi yang dapat mengirimkan informasi/mesej dengan cepat sehingga perbezaan tersebut terjadi. Oleh kerana itu, faktor ini boleh menjadi rukhsah terjadinya perbezaan, sebagaimana yang juga pernah terjadi pada zaman Nabi saw..
Namun, hari ini, dengan teknologi komonikasi yang canggih, dan informasi dari belahan dunia satu ke belahan dunia yang lain boleh sampai pada saat yang sama, rukhsah seperti ini tidak berlaku lagi. Jika ada yang mengatakan, kalau begitu, mengapa masih memerlukan Khilafah, apakah tidak cukup dengan kecanggihan teknologi informasi, meski tanpa Khilafah, umat boleh berpuasa dan berhari raya secara serentak?
Jawapannya adalah dari informasi memang boleh sampai kepada umat Islam di seluruh dunia pada detik dan jam yang sama. Namun, masalahnya bukan sekadar umat mengetahui 1 Ramadhan atau 1 Syawal telah jatuh. Sebab informasi ini tidak mengikat, kecuali jika ditetapkan oleh khalifah, terutamanya bagi yang menganut mazhab yang membolehkan lebih dari satu matlak. Oleh kerana itu, adanya Khilafah dalam hal ini hukumnya wajib. Sebab, tanpa Khilafah, penyatuan tersebut tidak dapat diwujudkan. Wallahualam.
Catatan kaki:
1) Al-Hafidz ‘Ali asy-Syaukani, Nayl al-Awthâr, Wizarah as-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Auqaf wa ad-Da’wah wa al-Irsyad, al-Mamlakah as-Sa’udiyyah al-‘Arabiyyah, t.t., IV/267.
2) Al-Hafidz ‘Ali asy-Syaukani, Nayl al-Awthâr, Wizarah as-Syu’un al-Islamiyyah wa al-Auqaf wa ad-Da’wah wa al-Irsyad, al-Mamlakah as-Sa’udiyyah al-‘Arabiyyah, t.t., IV/268.
#ramadhantiba #penetapan1Ramadhan #penetapan1Syawal