[Tafsir Al-Quran] Berkenaan Puasa, Tafsir Ibnu Kathir Surah Al-Baqarah Ayat 183-184
Allah SWT berfirman,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ أَيَّامًا مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى ٱلَّذِينَ يُطِيقُونَهُۥ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُۥ ۚ وَأَن تَصُومُوا۟ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari tertentu. Jika salah seorang di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (kemudian dia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barangsiapa dengan kerelaan hati melakukan kebaikan, itu lebih baik baginya. Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah: 183-184]
Allah menyeru orang-orang yang beriman dari umat ini dan memerintahkan mereka untuk berpuasa. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan, dengan niat yang ikhlas kerana Allah kerana puasa mengandungi penyucian, pembersihan dan penjernihan diri daripada tabiat buruk dan akhlak yang keji. Allah SWT juga menyebut, sebagaimana Dia telah mewajibkan puasa atas mereka, Dia juga telah mewajibkan orang-orang sebelum mereka, kerana itu ada suri teladan bagi mereka dalam perkara ini. Hendaklah mereka bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kewajipan ini dengan lebih sempurna daripada orang-orang sebelum mereka melaksanakannya.
Sebagaimana firman Allah SWT, yang bermaksud, “Bagi tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikanNya satu umat sahaja, tetapi Allah hendak menguji kamu berdasarkan apa yang diberikanNya kepada kamu. Maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan.” [TMQ Al-Ma’idah: 48].
Oleh itu, dalam surah Al-Baqarah ini, Allah SWT berfirman, “Yaa ayyuhal laziina aamanuu kutiba ‘alaikumush shiyaamu kamaa kutiba ‘alal laziina min qablikum la’allakum tattaquun (Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa).”
Kerana puasa dapat menyucikan badan dan menyempitkan jalan syaitan, dalam hadis yang terkandung dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim ditegaskan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah dia berkahwin. Dan sesiapa yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu adalah penawar baginya.”
Selepas itu Allah menerangkan waktu puasa. Puasa tidak dilakukan setiap hari agar jiwa manusia tidak merasa keberatan sehingga lemah untuk memikulnya dan menunaikannya. Namun, puasa wajib hanya pada hari-hari tertentu sahaja.
Pada permulaan Islam, puasa dilaksanakan selama tiga hari setiap bulan. Kemudian dinasakh (dihapuskan) dengan berpuasa sebulan penuh iaitu pada bulan Ramadhan, sebagaimana yang akan dijelaskan lebih lanjut.
Diriwayatkan dari Mu’az, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Atha’, Qatadah, dan Ad-Dhahhak bin Muzahim, bahawa puasa itu pada awalnya dilaksanakan sebagaimana yang diwajibkan kepada orang-orang terdahulu, iaitu tiga hari setiap bulan. Ad-Dhahhak menambah, puasa seperti ini masih disyariatkan pada awal Islam sejak Nabi Nuh AS sehingga Allah menasakhkannya dengan puasa pada bulan Ramadhan.
Abu Ja’far ar-Razi meriwayatkan dari Ibnu Umar, dia berkata: Dengan turunnya ayat: “kutiba ‘alaikumush shiyaamu kamaa kutiba ‘alal laziina min qablikum (Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu),” diwajibkan atas mereka berpuasa, dan jika salah seorang di antara mereka menunaikan solat Isyak kemudian tidur, maka haram baginya makan, minum dan (bersetubuh dengan) isterinya hingga waktu malam lagi seperti itu.
Ibnu Abi Hatim berkata, perkara yang sama juga diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, Abu al-Aliyah, Abdur Rahman bin Abi Laila, Mujahid, Sa’id bin Jubair, Muqatil bin Hayyan, Rabi’ bin Anas, dan Atha’ al-Khurasani.
Mengenai firmanNya, “Kutiba ‘alal laziina min qablikum (Sebagaimana yang diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu),” Atha’ al-Khurasani meriwayatkan, dari Ibnu Abbas, “Yang dimaksudkan ialah Ahli Kitab.”
Seterusnya, Allah SWT menjelaskan hukum puasa sebagaimana yang diterapkan pada permulaan Islam. Dia berfirman, “Fa man kaana minkum mariidhan au ‘alaa safarin fa ‘iddatum min ayyaamin ukhara (Sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan [kemudian dia berbuka], maka [wajib baginya berpuasa] sebanyak hari yang ditinggalkannya itu dari hari-hari yang lain).” Ini bermakna orang sakit dan orang musafir dibolehkan untuk tidak berpuasa, kerana ia adalah kesusahan bagi mereka. Mereka boleh tidak berpuasa tetapi wajib mengqadha’nya pada hari-hari yang lain.
Adapun orang yang sihat dan tidak bermusafir, tetapi merasa berat untuk berpuasa, baginya ada dua pilihan, berpuasa atau memberikan makan. Jika dia mahu, dia boleh berpuasa, atau boleh juga berbuka, tetapi dia mesti memberi makan kepada seorang miskin setiap harinya. Jika dia memberi makan lebih daripada seorang pada setiap harinya, maka itu lebih baik. Berpuasa lebih baik daripada memberi makan.
Ini menurut pendapat Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Mujahid, Thawus, Muqatil bin Hayyan, dan ulama salaf yang lain. Oleh itu, Allah SWT berfirman, “Wa ‘alal laziina yuthiiquunaHuu fidyatun tha’aamu miskiinin faman tathawwa’a khairan fa Huwa khairul laHu wa an tashuumuu khairul lakum in kuntum ta’lamuun (Dan wajib bagi orang-orang yang merasa berat melaksanakannya [jika mereka tidak berpuasa] untuk membayar fidyah, [iaitu]: memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati melakukan kebaikan, itu lebih baik baginya. Berpuasa itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.)”
Begitu juga Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Salamah bin Akwa bahawa dia berkata, ketika turunnya ayat, “wa ‘alal laziina yuthiiquunahuu fidyatun tha’aamu miskiinin (Dan bagi orang-orang yang merasa berat melaksanakannya [jika mereka tidak berpuasa] membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang miskin).”
Ketika itu, sesiapa yang hendak berbuka (tidak berpuasa) maka dia membayar fidyah, sehingga turun ayat seterusnya dan menasakhnya. Diriwayatkan dari Ubaidillah, dari Nafi’, dari Ibnu Umar, bahawa hal tersebut sudah di-nasakh.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Atha’ bahawa dia pernah mendengar Ibnu Abbas membaca ayat, “Wa ‘alal laziina yuthiiquunaHuu fidyatun tha’aamu miskiinin (Dan bagi orang yang merasa berat melaksanakannya [jika mereka tidak berpuasa] membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada seorang miskin).”
Ibn Abbas berkata, “Ayat itu tidak dinasakh, kerana yang dimaksudkan dalam ayat itu ialah orang tua lelaki dan perempuan yang tidak mampu berpuasa, kerana itu wajib memberikan makanan kepada seorang miskin setiap harinya.”
Demikian juga diriwayatkan oleh beberapa orang perawi dari Sa’id bin Jubair, dari Ibnu Abbas. Kesimpulannya, nasakh ini tetap berlaku kepada orang yang sihat yang bermukim (tidak bermusafir) dengan kewajipan berpuasa bagi mereka melalui ayat, “Faman syahida minkumusy syahra falsamumhu (Barangsiapa di antara kamu yang hadir [di negeri tempat tinggalnya] pada bulan itu, hendaklah dia berpuasa).
Sedangkan bagi orang tua yang tidak mampu berpuasa, boleh berbuka [tidak berpuasa] dan tidak perlu mengqadha’nya, kerana dia tidak akan mengalami lagi keadaan yang membolehkannya untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkannya itu. Namun, jika dia berbuka [tidak berpuasa] adakah dia juga wajib memberi makan seorang miskin setiap hari, jika dia kaya?
Mengenai perkara di atas, terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan tidak wajib baginya memberi makan kepada orang miskin, kerana di usianya itu dia tidak mampu menunaikan puasa, maka dia tidak wajib membayar fidyah, seperti keadaan seorang bayi, kerana Allah SWT tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ini adalah salah satu pendapat Imam Syafie.
Manakala pendapat kedua iaitu pendapat yang sahih dan menjadi asas pegangan jumhur ulama ialah wajib baginya membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya. Ini sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas dan beberapa ulama salaf yang lain.
Pendapat ini adalah pilihan Imam Al-Bukhari, katanya, mengenai orang tua, jika tidak mampu berpuasa, maka dia wajib membayar fidyah. Ini kerana semasa Anas sudah tua, dia pernah tidak berpuasa selama setahun atau dua dan dia memberi makan roti dan daging kepada seorang miskin setiap hari.
Athar mu’allaq yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari disebutkan oleh Al-Hafiz Abu Ya’la al-Mushili dalam musnadnya, dari Ayub bin Abu Tamimah, dia berkata, “Anas tidak mampu berpuasa, maka dia membuat semangkuk besar bubur roti, kemudian menjemput tiga puluh orang miskin dan memberi mereka makan.” Ini telah diriwayatkan oleh Abd bin Humaid, daripada Ayub.
Perkara yang sama turut diriwayatkan oleh Abd, daripada enam orang sahabat Anas, daripada Anas. Takrifan ini termasuk wanita hamil dan yang menyusukan anak jika kedua-duanya bimbang terhadap keselamatan diri dan anak mereka.
Dalam masalah ini terdapat banyak perbezaan pendapat di kalangan ulama. Di antara mereka ada yang berpendapat bahawa kedua-duanya (wanita hamil dan yang menyusukan anak) boleh untuk tidak berpuasa, tetapi membayar fidyah dan mengqadha’ puasa mereka. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka hanya wajib membayar fidyah dan tidak perlu mengqadha’nya. Ada juga yang berpendapat wanita hamil dan yang menyusukan anak wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkan tanpa membayar fidyah. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa kedua-dua wanita itu boleh berbuka tanpa membayar fidyah dan tanpa mengqadha’nya. Alhamdulillah, masalah ini telah kami jelaskan dengan panjang lebar dalam kitab Shiyam yang kami tulis secara khusus.
sumber: https://muslimahnews.net/2024/03/05/27606/