[Tafsir Al-Quran] Tujuan Rasulullah SAW Diutus [Tafsir Surah Al-Fath (48): 8-9]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٨ لِّتُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُعَزِّرُوهُ وَتُوَقِّرُوهُۚ وَتُسَبِّحُوهُ بُكۡرَةٗ وَأَصِيلًا ٩
“Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, meneguhkan (agamaNya), membesarkanNya, dan bertasbih kepadaNya di waktu pagi dan petang. “ [TMQ Al-Fath (48): 8-9].
Ayat ini menjelaskan tugas yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW kepada manusia. Kemudian diteruskan dengan kewajipan manusia yang menjadi sasaran dakwahnya.
Tafsiran Ayat
Allah SWT berfirman,
إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٨
“Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.”
Ayat ini dimulakan dengan huruf « إِنَّ » yang berguna sebagai at-ta’kîd (untuk mengukuhkan). Khithâb atau seruan ayat ini ditujukan kepada Nabi SAW.[1] Ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT telah mengutus Rasulullah SAW. Tidak dinyatakan kepada siapa baginda diutus. Namun, telah dimaklumi bahawa baginda diutuskan kepada seluruh umat manusia [Lihat: Surah Saba‘ [34]: 28; Surah Al-A’raf [7]: 158].
Kata « شَاهِدًا » berkedudukan sebagai hâl daripada kâf al-khithâb.[2] Maknanya: Kami telah mengutusmu, wahai Rasul yang mulia, kepada manusia supaya dia menjadi syâhid (saksi).[3]
Kata « شَاهِد » (saksi) adalah ism al-fâ’il daripada perkataan « شهِدَ، يَشهَد ». Dari segi bahasa, perkataan tersebut mempunyai dua makna. Pertama, ia bermakna « حضَر » (hadir), seperti dalam kalimat: « شهِد المجلس ». Maksudnya: « حضَر » (dia menghadiri-nya). Kedua, ia bermakna « رآ وعاين » (melihat dan menyaksikan) (seperti dalam Surah Al-Hajj [22]: 28).[4]
Dalam konteks ayat ini, makna kedua lebih tepat dan relevan, iaitu menjadi saksi. Ini juga yang dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir. Maksudnya, Rasulullah SAW dijadikan sebagai saksi atas perbuatan-perbuatan umat baginda. Antara yang menafsirkan demikian ialah Ibnu Jarir At-Thabari, Al-Khazin, dan lain-lain.[5]
Menurut Muhammad al-Amin al-Harari, Rasulullah SAW menjadi syâhid (saksi) pada hari kiamat bagi umatnya dengan membenarkan orang yang membenarkan baginda dan mendustakan orang yang mendustakan baginda. Ini seperti firman Allah SWT. [Lihat juga Surah Al-Baqarah [2]: 143].[6]
Tugas sebagai saksi memerlukan baginda menjadi penyampai risalah. Selepas risalah itu disampaikan, orang-orang yang ingkar dan kufur tidak lagi mempunyai alasan. Tugas Rasulullah SAW sebaai saksi kepada umatnya dimanifestasikan dalam bentuk tablîgh al-risâlah (menyampaikan risalah). Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh As-Syaukani bahawa maksud ayat ini ialah, “Kami mengutusmu sebagai saksi kepada umatmu dengan menyampaikan risalah kepada mereka.”[7]
Qatadah juga berkata, “Menjadi saksi kepada umatnya bahawa baginda telah menyampaikan kepada mereka.”[8]
Menurut sebahagian ahli tafsir, selain menjadi saksi kepada umatnya, Baginda juga menjadi saksi kepada keesaan Allah SWT dan kesempurnaan mutlak hanya milikNya. Ini antaranya menurut Abu Bakar al-Jazairi dan Abdurrahman as-Sa’di.[9] Abdurrahman as-Sa’di berkata, “(Menjadi saksi) kepada umatmu dalam segala perbuatan baik dan buruk yang mereka lakukan; menjadi saksi kepada pelbagai perkataan dan masalah, baik yang benar mahupun yang batil; dan menjadi saksi kepada Allah SWT dengan keesaan dan kesempurnaan aspek-aspek.”[10]
Kemudian dinyatakan « مُبَشِرًا ». Perkataan tersebut ialah ism al-fâ’il daripada perkataan « بشَّرَ » yang bermaksud memberi berita yang menggembirakan.[11] Dengan demikian Rasulullah SAW ditugaskan sebagai pemberi berita gembira. Berita gembira itu disampaikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Menurut Al-Khazin, baginda menjadi pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman dan mentaatinya dengan pahala.[12]
Ibnu Jarir at-Thabari juga berkata, Rasulullah SAW menjadi pemberi berita gembira kepada mereka dengan syurga jika mereka mahu menerima agama yang lurus yang didakwahkan Rasulullah SAW kepada mereka.[13]
Kemudian dinyatakan, « نَذِيرًا ». Perkataan ini bermaksud munzir. Ini adalah bentuk fâ’il bagi perkataan al-inzâr. Jika at-tabsyîr bermaksud maklumat yang menggembirakan maka al-inzâr adalah maklumat yang menakutkan.[14]
Justeru, Rasulullah SAW juga menjadi pemberi peringatan. Peringatan tersebut disampaikan kepada orang-orang yang ingkar dan bermaksiat kepada Allah SWT dan RasulNya. Menurut Ibnu Jarir, baginda menjadi pemberi peringatan kepada mereka dengan azab jika mereka berpaling dari agama dari Allah SWT yang dibawanya.[15]
Selain dalam ayat ini, semua tugas Nabi SAW ini juga disebut dalam firman Allah SWT yang lain [Lihat, misalnya: Surah Al-Ahzab (33): 45].
Dalam ayat seterusnya dinyatakan,
لِّتُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ٩
“… supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan RasulNya.”
Huruf al-lâm pada permulaan ayat ini memberi makna li al-ta’lîl (memberi penjelasan sebab).[16] Ad-Dhamîr al-mukhâthab (kata ganti nama diri kedua, yang diajak berbicara) dalam ayat ini merujuk kepada manusia yang menjadi objek dakwah Rasulullah SAW.[17] Boleh juga termasuk Rasulullah SAW dan umatnya. Oleh itu, berlaku perubahan khithâb yang sebelumnya khusus untuk Rasulullah SAW, meluas menjadi umum. Ini seperti firman Allah SWT,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ ١
“Wahai Nabi, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu.” [TMQ at-Thalaq (65): 1].[18]
Pada mulanya seruannya bersifat khusus kepada Nabi SAW, iaitu firmanNya: « يا أَيُّهَا النَّبِيُّ ». Kemudian diteruskan dengan seruan yang bersifat umum, iaitu: « طَلَّقْتُمُ » (kamu menceraikan). Antara alasan pendapat ini ialah bahawa Rasul SAW juga diperintahkan supaya beriman bahawa Baginda adalah utusan Allah SWT.[19]
Dengan demikian, diutusnya Rasulullah SAW sebagai saksi, penyampai berita gembira, dan pemberi peringatan adalah agar manusia beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Abdurrahman as-Sa’di menafsirkan, “Dengan sebab dakwah dan pengajaran Baginda yang bermanfaat bagi kamu, Kami mengutusnya agar kamu beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Hal itu memerlukan ketaatan kepada keduanya dalam semua urusan.”[20]
Selain beriman, juga melakukan beberapa perbuatan yang merupakan akibatnya. Disebutkan,
وَتُعَزِّرُوهُ ٩
“…dan menguatkan (agama)Nya.”
Terdapat beberapa tafsiran bagi frasa ini. Ada yang menafsirkan frasa ini sebagai mengagungkan, memuliakan, dan menghormati baginda. Antaranya ialah tafsiran Ibnu Abbas dalam suatu riwayat. Menurut Ibnu Abbas, penggalan ayat tersebut bermaksud mengagungkan baginda.[21]
Al-Hasan dan Al-Kalbi juga mentafsirkan frasa ini dengan: « تُعَظِّمُوهُ وَتُفَخِّمُوه » (mengagungkan dan memuliakan baginda). Maksud « التعزير » adalah « التَّعْظِيمُ وَالتَّوْقِير » (pengagungan dan penghormatan).[22]
Menurut pendapat lain, ia bermakna menolongnya. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Alusi.[23] Menurut Al-Khazin, at-ta’zîr ialah menolong disertai dengan sikap ta’zhiim (perhomatan). Maka maksud watu’azzirûhu ialah menguatkan dan menolongnya.[24]
Qatadah juga mentafsirkan: tanshurûnahu wa tamna’û minhu (menolong dan membantu baginda). Antaranya ialah perkataan at-ta’zîr yang digunakan untuk menyebut hukuman yang bermaksud al-mâni‘ (pencegah).[25] Ibnu Abbas—dalam riwayat lain—dan Ikrimah mentafsirkan frasa tersebut dengan berperang bersama baginda.[26]
Kemudian dinyatakan,
وَتُوَقِّرُوهُۚ ٩
“…dan membesarkanNya”
Menurut Al-Khazin, « التَّوْقِير » bermaksud « التَّعْظِيمُ وَالتَّرْزِينُ » (sikap menghormati dan memuliakan).[27] Tak jauh bezanya, menurut Ibnu Kathir, makna at-tawqîr ialah « الِاحْتِرَامُ وَالْإِجْلَالُ وَالْإِعْظَامُ » (menghormati, memuliakan dan mengagungkan).[28] Al-Baidhawi dan Al-Alusi mentafsirkan frasa ini dengan: « تُعَظِّمُوه » (mengagungkannya).[29]
Kemudian diteruskan,
وَتُسَبِّحُوهُ بُكۡرَةٗ وَأَصِيلًا ٩
” … dan bertasbih kepada-Nya pada waktu pagi dan petang.”
Perkataan at-tasbîh bermaksud at-tanzîh (menyucikan) daripada segala kekurangan; boleh juga dari as-subhah yang bermaksud solat.[30]
Perkataan bukrah bermaksud pagi hari, manakala ashîl bermaksud petang hari. Menurut Fakhruddin ar-Razi, penggunaan kedua-dua perkataan tersebut dapat menunjukkan kesinambungan. Ia juga boleh merupakan perintah yang berbeza daripada yang dilakukan oleh orang-orang musyrik. Sebabnya, dahulu orang-orang musyrik itu berkumpul untuk menyembah patung-patung di Kaabah pada waktu pagi dan petang. Oleh itu, mereka pun diperintahkan untuk bertasbih pada waktu-waktu yang dahulu mereka melakukan perbuatan keji dan kemungkaran.[31]
Mengenai dhamîr al-ghâib pada perkataan tusabbihûhu (bertasbih kepadaNya), tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ulama bahawa ia kembali kepada Allah SWT.[32] Namun, pada dua perkataan sebelumnya, iaitu: watu’azzirûhu wa tuwaqqirûhu terdapat perbezaan pendapat. Menurut sebahagian pendapat, dua al-dhamîr al-ghâib itu kembali kepada Rasulullah SAW. Maka maksudnya ialah, “Kamu hendak menolong dan memuliakan Rasulullah SAW.” Antara yang memilih pendapat ini ialah Imam Al-Qurthubi, Ad-Dhahhak, dan lain-lain.[33]
Menurut pendapat sebahagian yang lain, dua perkataan itu kembali kepada Allah SWT. Dengan demikian, ia memberi makna: menguatkan (agama)Nya, membesarkanNya, dan bertasbih kepadaNya di waktu pagi dan petang. Antara yang memilih pendapat ini ialah Fakhruddin ar-Razi.[34]
Abu Bakar al-Jazairi menggabungkan kedua-dua tafsiran tersebut. Menurut Al-Jazairi, watu’azzirûhu wa tuwaqqirûhu, iaitu menolong dan mengagungkan Allah SWT dan Rasulullah SAW.[35]
Demikianlah. Rasulullah SAW diutuskan untuk menjadi saksi kepada keesaan Allah SWT. Baginda juga menjadi saksi kepada manusia bahawa Baginda telah menyampaikan risalah kepada mereka. Baginda juga ditugaskan untuk menjadi penyampai berita gembira kepada orang-orang yang ingin beriman dan mengikuti risalah tersebut dengan syurgaNya dan menjadi pemberi peringatan kepada orang-orang yang mengingkari dan menentangnya dengan neraka. Dengan penyampaian risalah tersebut kepada mereka, disertai dengan penyampaian berita gembira dan peringatan, diharapkan mereka mahu beriman kepada Allah SWT dan RasulNya; mahu menolong, mengagungkan, dan mensucikanNya. Semoga kita termasuk di dalamnya.
Wallahua’lam bissawab.
Nota kaki:
1 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 155. Lihat juga At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qurân, vol. 22 (tt: al-Risalah, 2000), 206
2 Abu Bilal, Al-Mujtabâ min Musykil I’râb Al-Qur‘ân, vol. 4 (Madinah: Majma’ al-Malik Fahd, tt), 1209
3 Sayyid Thanthawi, At-Tafsîr al-Wasîth li Al-Qur‘ân al-Karîm, vol. 13 (Dar al-Nahdhah, 1998), 264
4 Lihat Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah, vol. 2 (tt: ‘Alam al-Kitab, 2008), 1240
5 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qurân, vol. 22, 206; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
6 Lihat al-Harari, Hadâiq ar-Rûh wa ar-Rayhân, vol. 27 (Beirut: Dar Thawq al-Najah, 2001), 241. Lihat juga Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, 1987), 334; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 249
7 As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5, 56
8 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qurân, vol. 22, 206. Lihat juga pada Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16 (Kaherah: Dar al-Kutub al-Mishriyyah, 1969), 266
9 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5 (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2003), 97; As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân (tt: Muassasah al-Risalah, 2000), 792
10 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân, 792
11 Ahmad Mukhtar, Mu’jam al-Lughah al-‘Arabiyyah al-Mu’âshirah (tt: ‘Alam al-Kitab, 2008), 207
12 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
13 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qurân, vol. 22, 206
14 Al-Asfahani, Al-Mufradât fî Gharîb Al-Qur‘ân (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1992), 797
15 At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta‘wîl Al-Qurân, vol. 22, 206
16 Mahmud Shafi, Al-Jadwal fî I’râb Al-Qur‘ân, vol. 26 (Damsyiq: Dar al-Rasyid, 1998), 246
17 Az-Zamakhsyari, Al-Kasysyâf, vol. 4, 334; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
18 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13 (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1995), 249; As-Syaukani, Fat-h al-Qadîr, vol. 5 (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1994), 56; Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta`wîl, vol. 5 (Beirut: Dar Ihya` al-Turath al-‘Arabi, 1998), 127
19 Lihat Ibnu ‘Asyur, At-Tahrîr wa at-Tanwîr , vol. 26 (Tunisia: Dar al-Tunisiyah, 1984), 55
20 As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân, 792
21 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 329
22 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 266
23 Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 250
24 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
25 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 266
26 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 267
27 Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
28 Ibnu Kathir, Tafsîr Al-Qur‘ân al-’Azhîm, 7 (tt: Dar Thayyibah, 1999), 329
29 Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta‘wîl, vol. 5, 127; Al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 13, 250
30 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 267; Al-Khazin, Lubâb at-Ta‘wîl fî Ma’ânî at-Tanzîl, vol. 4, 155
31 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 73
32 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 267
33 Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm Al-Qur‘ân, vol. 16, 267; As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân, 792
34 Ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, vol. 28, 73
35 Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 5, 97