[Tafsir Al-Quran] Ramadhan, Al-Quran, dan Puasa [Tafsir Surah Al-Baqarah (2): 185]
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Allah SWT berfirman,
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيْٓ اُنْزِلَ فِيْهِ الْقُرْاٰنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنٰتٍ مِّنَ الْهُدٰى وَالْفُرْقَانِۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۗ وَمَنْ كَانَ مَرِيْضًا اَوْ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ اَيَّامٍ اُخَرَ ۗ يُرِيْدُ اللّٰهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيْدُ بِكُمُ الْعُسْرَ ۖ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰىكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ
“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Maka barangsiapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan (kemudian dia berbuka), maka (wajiblah dia berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikanNya kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [TMQ Al-Baqarah (2): 185].
Bulan Ramadhan adalah sayyid as-syuhûr (penghulu bulan). Bulan ini disebut juga syahr as-shiyâm (bulan puasa) dan syahr al-Quran (bulan al-Quran) sebab pada bulan itu umat Islam diwajibkan berpuasa dan al-Quran diturunkan. Ini dijelaskan dalam ayat di atas.
Kedudukan Al-Quran
Allah SWT berfirman, “Syahr Ramadhân al-lazî unzila fîhi Al-Qur’ân (Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran)”. Dalam ayat sebelumnya, dinyatakan bahawa puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam adalah dilakukan pada ayyâm ma’dû-dât (pada hari-hari tertentu). Kemudian dalam ayat ini ditentukan bahawa hari-hari ini berada dalam bulan Ramadhan.
Juga ditegaskan bahawa pada bulan itu al-Quran diturunkan. Menurut Ibnu Abbas, turunnya al-Quran yang diberitakan dalam ayat ini adalah peristiwa turunnya al-Quran secara sekaligus dari Al-Lawh al-Mahfuzh ke Bayt al-‘Izzah di langit dunia. Seterusnya, al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW selama 23 tahun secara beransur-ansur setiap masa. Penjelasan ini diikuti oleh ramai ahli tafsir.
Manakala As-Sya’bi dan Ibnu Ishaq pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ini ialah permulaan turunnya al-Quran dan diutusnya Rasulullah SAW. Hal ini berlaku pada bulan Ramadhan, sebagaimana juga diceritakan dalam Surah Al-Qadr [97]: 1.
Kemudian Allah SWT menjelaskan kedudukan al-Quran dengan firmanNya, “Huda[n] li al-nâs wa bayyinât min al-hudâ wa al-furqân (sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza [antara yang hak dan yang batil])”.
Dari segi bahasa, perkataan al-hudâ bermaksud al-dalâlah (petunjuk). Dalam al-Quran, perkataan al-hudâ dilawankan dengan ad-dhalâl (kesesatan), seperti dalam Surah Al-Baqarah [2]: 24 dan 178, Al-A’raf [7]: 30, An-Nahl [16]: 36, dan lain-lain. Bahawa al-Quran dinyatakan sebagai hudâ terdapat dalam banyak ayat, seperti Surah Al-Baqarah [2]: 2 dan An-Nahl [16]: 89.
Manakala frasa “wa bayyinât min al-hudâ”, menurut As-Syaukani ialah athf al-khâshsh ‘alâ al-‘âmm (menambah yang khusus kepada umum). Ini bermakna frasa itu sebenarnya termasuk dalam skop perkataan “huda[n]“. Ia disebut secara khusus untuk menunjukkan kemuliaannya.
Dimaklumi bahawa al-Quran merangkumi ayat-ayat muhkamât (yang terang, jelas, dan hanya memberi satu makna) dan ayat-ayat mutasyâbihât (yang samar, boleh menimbulkan lebih daripada satu makna). Jadi perkataan “bayyinât” merujuk secara khusus kepada ayat-ayat yang muhkamat. Demikian penjelasan As-Syaukani dalam tafsirnya.
Perkataan “al-furqân” berasal daripada perkataan al-farq (pembezaan). Manakala perkataan “al-furqân” di sini bermaksud mufarriqa[an]bayna al-haqq wa al-bâthil (bermaksud sesuatu yang membezakan antara yang haq dan yang batil).
Beberapa Ketentuan Puasa
Allah SWT berfirman, “Fa-man syahida minkum as-syahr falyashumhu (maka sesiapa di antara kamu yang hadir pada bulan itu, hendaklah dia berpuasa pada bulan itu)”.
Kemudian dijelaskan mengenai orang yang diberikan rukhsah tidak berpuasa dengan firmanNya, “Waman kâna marîdh[an] aw ‘alã safar[in] (dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan ([lalu ia berbuka])”.
Dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir, seperti Az-Zamakhsyari, Ibnu Kathir, Ibnu al-Jauzi, dan As-Syaukani, perkataan hadhara bermaksud menetap, tidak bermusafir. Kepada mereka, Allah SWT perintahkan untuk berpuasa.
Kemudian dijelaskan tentang orang yang diberi rukhsah kerana tidak berpuasa dengan firmanNya, “Waman kâna marîdh[an] aw ‘alã safar[in] (dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan ([kemudian dia berbuka])” .
Ali as-Shabuni menukilkan pendapat jumhur ulama bahawa sakit yang dibolehkan tidak berpuasa ialah sakit yang membawa kepada dharar bagi penghidapnya, memburukkan lagi penyakitnya, atau dikhuatiri menyebabkan kelewatan penyembuhan. Begitu juga dengan safar. Safar yang dibolehkan untuk berbuka adalah safar yang panjang yang umumnya boleh membawa kepada masyaqqah (keberatan).
Walaupun dibenarkan berbuka, bukan bermakna tanpa akibat. Allah SWT berfirman, “Fa ‘iddah min ayyãm ukhar (maka [wajib baginya berpuasa], sebanyak hari yang ditinggalkannya, pada hari-hari yang lain).” Mereka diwajibkan menggantinya pada hari yang lain.
Kewajipan menggantikannya pada hari yang lain tentunya ketika berbuka. Walaupun sakit atau musafir, jika tidak berbuka, tidak ada kewajipan untuk menggantinya pada hari yang lain. Frasa ini menjadi salah satu qarînah perintah wajib berpuasa, kerana jika tidak wajib, tentu tidak ada perintah mengqadha’nya pada bulan-bulan yang lain.
Kemudian Allah SWT berfirman, “Yurîdullâh bikum al-yusr walâ bikum al-‘usr (Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu).” Perkataan al-yusr bermaksud as-sahl (mudah), tidak ada kesukaran padanya.
Dalam konteks ayat ini, perkataan al-yusr bermaksud berbuka ketika bermusafir. Manakala perkataan al-‘usr pula bermaksud berpuasa pada ketika itu. Ini menurut Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, dan al-Dhahhak.
Kebolehan berbuka puasa adalah kemudahan yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia. Menurut As-Syaukani, ini adalah salah satu tujuan dan kehendak Allah dalam semua urusan agamaNya. Ini selaras dengan firman Allah SWT, “Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.” [TMQ Al-Hajj (22): 78]
Kemudian ditegaskan lagi, “Wali-tukmilû al-‘iddah (dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya)”. Ibnu Kathir menjelaskan bahawa rukhsah diberikan kepada orang yang sakit dan musafir untuk tidak berpuasa kerana Allah SWT inginkan kemudahan untuk kita. Sedangkan perintah mengqadha’ puasa pada bulan lain bertujuan untuk menyempurnakan pengiraan bulan puasa.
Setelah semua kewajipan ini dilaksanakan, kemudian diperintahkan, “Walitukabbirullâh ‘alâ mâ hadâkum (dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikanNya kepada kamu).” Menurut Ibnu Kathir, ini adalah perintah untuk mengingati Allah apabila telah selesai mengerjakan ibadah.
Perintah serupa juga terdapat dalam Surah Al-Baqarah [2]: 200, An-Nisa’ [4]: 103, Al-Jumu’ah [62]: 10, dan Qaf [50]: 39–40. Oleh itu, sunnah mensyariatkan tasbih, tahmid dan takbir selepas menunaikan solat fardhu.
Kemudian diakhiri dengan firmanNya, “La’allakum tasykurûn (supaya kamu bersyukur)”. Ini menegaskan bahawa jika telah menunaikan perintah Allah SWT, melakukan yang difardhukan, meninggalkan yang dilarang, dan menjaga diri daripada batasan-batasanNya, diharapkan mampu menjadi orang yang bersyukur.
Semoga kita termasuk dalam golongan yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk, menjalani ibadah puasa Ramadhan dengan sempurna, mengagungkan Allah SWT, dan mensyukuri segala nikmatNya. Wallahua’lam bissawab.