[Hukum Fikh] Bolehkah Pekerja Buruh Tidak Berpuasa?
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan: Ustaz, bolehkah pekerja buruh, seperti buruh bangunan, buruh pembangun jalan, tidak berpuasa Ramadhan?
Jawapan:
Para ulama berbeza pendapat apakah pekerja berat boleh tidak berpuasa atau tetap wajib berpuasa Ramadhan.
Pertama, pendapat jumhur ulama bahawa pekerja berat tetap wajib sahur dan berniat puasa pada malam hari, lalu melaksanakan puasa mengikut kadar kemampuannya. Jika di tengah puasanya itu kemudian mereka merasakan haus atau lapar yang sangat kuat sehingga dikhuatiri berlaku dharar (bahaya) atas diri mereka, baru mereka dibenarkan untuk tidak berpuasa, dan mereka wajib mengqadha, disamakan dengan orang sakit (mariidh). (QS Al-Baqarah:184). Bahkan jika terjadinya dharar itu sudah menjadi kepastian, bukan sekadar dikhuati, maka mereka wajib berbuka (QS An-Nisa’: 29).
Secara umum, pekerja berat oleh jumhur fukaha digolongkan sebagai mukallaf yang tetap wajib berpuasa, kerana tidak ada dalil syarie khusus yang memberikan rukhsah (keringanan) kepada mereka, kecuali jika berlaku dharar. Pendapat ini disebutkan Syekh Wahbah Zuhaili dan dinisbahkannya kepada jumhur ulama, iaitu ulama Hanafiyah, Malikiyah, Syafi’iyah, dan Hanabilah, sesuai penjelasan Imam Abu Bakar Al-Ajiri dalam kitab Kasyaful Qina’ (2/361) dan Ghayatul Muntaha (1/323). (Wahbah Zuhaili, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/79). Ulama kontemporeri yang berpendapat sama dengan hal ini antara lain Syekh Shaleh al-Fauzan, Syekh Nashiruddin al-Albani, dan Syekh Utsaimin.
Kedua, pendapat sebahagian ulama bahawa pekerja berat boleh tidak berpuasa dan cukup membayar fidyah, selama mereka tidak mampu berpuasa dan tidak berkesempatan untuk mengqadha puasanya. Jika mereka berkesempatan mengqadha, mereka boleh tidak berpuasa, tetapi wajib mengqadha puasa. Ini pendapat sebahagian ulama Hanafiyah, seperti penulis kitab Hasyiah Ibnu Abidin (2/420). Ulama kontemporeri yang berpendapat seperti ini antara lain Syekh Yusuf Qaradhawi.
Secara umum pekerja berat disamakan dengan lelaki/perempuan tua, atau orang sakit yang tidak ada harapan sembuh, yang tidak mampu lagi berpuasa dan dicukupkan dengan fidyah. Mereka mendapat rukhsah sesuai firman Allah (ertinya), “Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.” (TMQ Al-Baqarah:184). (Yusuf Qaradhawi, Fiqh ash-Shiyam, hlm. 59).
Menurut kami, yang rajih (kuat) ialah pendapat pertama, kerana tiga alasan, iaitu:
Pertama, mengamalkan pendapat pertama bererti mengamalkan dua dalil (jama’), iaitu dalil wajibnya puasa (QS Al-Baqarah:183) dan dalil wajibnya mencari nafkah (QS Al-Baqarah:233). Sedangkan pendapat kedua, mengamalkan satu dalil saja atas dasar tarjih, iaitu dalil wajibnya mencari nafkah (QS Al-Baqarah:233). Kaedah usul fikh: i’mal al dalilain awlaa min ihmal ahadihima bi al kulliyah (mengamalkan dua dalil lebih utama daripada mengabaikan salah satunya secara menyeluruh). (Taqiyuddin An Nabhani, Asy-Syakhshiyah Al-Islamiyah, 3/491).
Kedua, pendapat pertama mengamalkan azimah (hukum asal), iaitu wajibnya berpuasa, sedangkan pendapat kedua mengamalkan rukhsah. Pengamalan azimah sudah yakin dalilnya, sedangkan mengamalkan rukhsah masih diragukan kerana tidak ada dalil khusus yang memberi rukhsah bagi pekerja berat. Kaedah fikh: al-yaqiin laa yazuulu bi as syakk (keyakinan tidak dapat hilang dengan keraguan). (Imam Suyuthi, Al-Asybah wa An-Nazha`ir, hlm. 50).
Ketiga, pendapat pertama lebih tepat tahqiq manath-nya, sebab pekerja berat yang mengalami dharar lebih tepat digolongkan kepada orang sakit yang ada harapan sembuh (QS Al-Baqarah: 184), bukan digolongkan kepada lelaki/perempuan tua, atau orang sakit yang tiada harapan sembuh (QS Al-Baqarah:184). Kelompok terakhir ini keadaannya tidak mungkin pulih, yakni tidak mungkin menjadi muda lagi, atau sembuh lagi. Ini berbeza dengan pekerja berat yang keadaannya dapat pulih, sama dengan orang sakit yang ada harapan sembuh. Wallahualam.
#hukumfikh #soaljawab #qadhapuasa #puasaramadhan