Hukum Seputar Fidyah Puasa
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan :
Ustaz, mohon jelaskan tentang fidyah puasa khususnya mengenai bentuk dan caranya. (Abu F., Tangerang).
Jawapan :
Fidyah puasa merupakan pengganti (badal) dari puasa yang ditinggalkan pada bulan Ramadhan berupa memberi makan kepada orang miskin mengikut jumlah hari yang ditinggalkan. (Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughah Al Fuqaha`, hlm. 260).
Siapakah yang wajib mengeluarkan fidyah? Menurut Syeikh Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah dalam kitabnya Al–Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, golongan yang wajib membayar fidyah terbahagi kepada tiga golongan :
Pertama, orang-orang yang tidak mampu untuk berpuasa iaitu lelaki atau wanita yang sudah lanjut usia serta orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Dalilnya adalah firman Allah SWT. dalam surah Al-Baqarah, “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” [TMQ Al-Baqarah (2): 184]
Ibnu Abbas ra. mentafsirkan ayat tersebut dengan berkata, “Ayat tersebut tidaklah mansukh (dihapuskan hukumnya), tetapi yang dimaksudkan adalah lelaki lanjut usia (asy-syaikh al–kabiir) dan wanita lanjut usia (al–mar`ah al–kabirah) yang tidak mampu lagi untuk berpuasa, maka kedua-duanya perlu memberi makan kepada seorang yang miskin mengikut jumlah puasa yang ditinggalkan.” (HR Bukhari, Abu Dawud, Nasa`i, Daruquthni).
Hukum yang sama terpakai pada golongan yang sedang sakit yang tiada harapan untuk sembuh. (Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al–Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hlm. 202 & 206).
Kedua, orang yang mati dalam keadaan mempunyai hutang puasa yang wajib diqada. Dalam hal ini, hukumnya boleh tetapi tidak wajib bagi wali (keluarga) orang yang mati tersebut untuk membayar fidyah. Pihak wali (keluarga) dari orang mati tersebut boleh memilih antara mengqada puasa ataupun membayar fidyah dari puasa yang si mati tinggalkan. Pendapat bolehnya membayar fidyah bagi orang mati merupakan pendapat beberapa sahabat Nabi SAW. iaitu Umar bin Khathab, Ibnu ‘Umar dan Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhum. (Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al–Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hlm. 207).
Ketiga, suami yang menggauli isterinya pada siang hari Ramadhan dengan sengaja dan tidak mampu membayar kafarat berupa puasa dua bulan berturut-turut. Suami ini wajib membayar fidyah iaitu memberi makan 60 orang miskin. (HR Bukhari no 6164; Muslim no 2559). (Mahmud Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hlm. 207).
Adapun bagi wanita hamil dan ibu menyusu, juga orang yang menunda qada puasa sehingga masuk Ramadhan berikutnya, menurut pendapat yang rajih, tidak ada kewajipan fidyah ke atas mereka. Mereka hanya diwajibkan mengqada puasanya. (Mushannaf Abdur Razaq, no. 7564, Mahmud Abdul Latif Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam ash-Shiyam, hlm. 210, Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 872, Yusuf Qaradhawi, Fiqhush Shiyam, hlm. 64).
Cara membayar fidyah adalah dengan memberi bahan makanan asas (ghaalibu quut al–balad) kepada satu orang miskin sebanyak satu cupak untuk satu hari dia tidak berpuasa. Jika dia tidak berpuasa sehari, fidyahnya adalah secupak. Jika dua hari, fidyahnya adalah dua cupak dan begitulah seterusnya. Cupak adalah ukuran sukatan (bukan berat) yang setara dengan sukatan 566 gram gandum (al-qamhu). Untuk Indonesia dan Malaysia, fidyah dikeluarkan dalam bentuk beras. (Abdul Qadim Zallum, Al Amwal fi Daulah Al Khilafah, hlm. 62, Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa adillatuhu, 2/687).
Menurut mazhab Hanafiyah, fidyah boleh juga dibayar dengan nilainya (qiimatuhu) iaitu dalam bentuk wang yang senilai. Tetapi, menurut ulama jumhur (Malikiyah, Syafi’iyah, Hanabilah), tidak boleh dibayar dengan nilainya. (Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al–Islami wa Adillatuhu, 2/687).
Kami cenderung kepada pendapat jumhur kerana secara jelas dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat ke 184 menyebutkan pembayaran fidyah adalah dalam bentuk makanan sesuai firman Allah SWT, “fidyatun tha’aamu miskin.” Selain itu, membayar fidyah dalam bentuk makanan merupakan amalan para sahabat Nabi SAW. seperti Ibnu Abbas dan Anas bin Malik ra. (Imam Syirazi, Al-Muhadzdzab, 1/178). Wallahualam.