Banyaknya Pengemis ketika Ramadhan, Bagaimana Pandangan Islam?
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Kita memahami bahawa bulan Ramadhan adalah bulan dimana pahala dilipatgandakan oleh Allah. Wajarlah jika umat Islam berlumba-lumba mengerjakan amal soleh untuk meraih limpahan pahala tersebut termasuklah dengan cara bersedekah. Banyak yang menjadikan Ramadhan sebagai momen yang baik untuk bersedekah baik dalam jumlah kecil ataupun besar.
Hanya saja di sisi lain, ramai yang mengambil kesempatan daripada situasi ini. Seperti Ramadhan sebelumnya, pengemis mula berdatangan ke bandar-bandar besar. Mereka mengemis di tepi jalan dan di tempat awam yang sibuk, memohon belas ihsan daripada penderma yang ingin bersedekah ataupun membayar zakat.
Terdapat banyak keadaan yang mendorong seseorang untuk mengemis atau mencari derma. Ada di antara mereka yang tidak berdaya, melarat dan miskin, sehingga mereka mengalami kesukaran untuk mencari nafkah, walaupun mereka tidak mempunyai kemahiran untuk mencari wang. Ada juga yang mengemis kerana ditimpa musibah, seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, penyakit berjangkit, dan lain-lain sehingga terpaksa meminta-minta.
Sememangnya sistem kapitalisme sekular telah menjadikan kehidupan rakyat negara ini sangat sempit. Jurang antara kaya dan miskin semakin melebar kerana sistem ini memerlukan kebebasan pemilikan. Tambahan pula, kelalaian negara dalam memenuhi keperluan rakyatnya memburukkan lagi keadaan.
Sistem kapitalisme sekular yang bersandarkan kepada prinsip manfaat telah menjadikan ramai pengemis sebenarnya masih dalam usia produktif, sihat dan kuat. Malah, mereka masih boleh mendapatkan wang dengan bekerja atau berdagang, sebagai contoh. Namun mereka lebih suka meminta-minta kerana ia lebih mudah dan tidak memerlukan modal yang besar.
Lalu, sebenarnya bagaimana hukum Islam terkait mengemis atau meminta-minta? Bagaimana pula Islam menyelesaikan masalah sedemikian?
Pandangan Islam
Dalam bahasa Arab, mengemis atau meminta-minta dipanggil “tasawwul”. Kitab Al-Mu’jam al-Wasith menyatakan bahawa tasawwala (bentuk fi’il madhi dari tasawwul) bermaksud ‘meminta-minta atau meminta pemberian’.
Sebahagian ulama mendefinisikan “tasawwul (meminta-minta)” sebagai ‘cubaan meminta harta orang lain bukan untuk kepentingan agama, tetapi untuk kepentingan peribadi’. Sementara itu, Al-Hafizh Ibn Hajar Rahimahullah berkata, “Perkataan yang dimaksudkan adalah meminta sesuatu selain untuk kepentingan agama.”
Dari penjelasan itu, para ulama berpendapat bahawa batasan tasawwul atau mengemis adalah meminta untuk kepentingan diri sendiri, bukan untuk kemaslahatan agama atau kepentingan kaum muslim.
Meminta-minta atau mengemis pada dasarnya tidak dianjurkan dalam Islam. Terlebih jika seseorang melakukannya dengan cara menipu atau berdusta dengan menampakkan dirinya seakan-akan dia adalah orang yang sedang susah atau sangat memerlukan biaya, maka hukumnya adalah haram.
Sebuah hadis yang diriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., dia berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Seseorang sentiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga dia akan datang pada Hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sepotong daging pun di wajahnya.”
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa yang meminta-minta kepada manusia untuk memperbanyakkan hartanya, sesungguhnya dia hanyalah sedang meminta bara api.”
Diriwayatkan dari Hubsyi bin Junadah ra., Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa yang meminta-minta kepada orang lain tanpa adanya keperluan, seolah-olah dia memakan bara api.”
Demikianlah beberapa dalil dari hadis-hadis Nabi yang mengharamkan mengemis atau meminta-minta untuk kepentingan peribadi —atau keluarga—dalam rangka untuk memperbanyakkan harta; ataupun menjadikannya sebagai mata pencarian, padahal dia mampu untuk melakukan pekerjaan lain.
Namun demikian, Islam memang tidak mengharamkan orang yang meminta-minta kerana sangat memerlukan untuk mempertahankan hidupnya dan keluarganya, tetapi Islam tetap tidak menganjurkannya.
Hal ini berdasarkan hadis Hakim bin Hizam ra., ia berkata, “Aku meminta kepada Rasulullah SAW., kemudian Baginda memberiku. Kemudian aku minta lagi, dan Rasulullah memberiku. Kemudian Rasulullah SAW. bersabda, ‘Wahai Hakim! Sesungguhnya harta itu indah dan manis. Siapa saja mengambilnya dengan berlapang hati, akan diberikan berkah padanya. Barangsiapa mengambilnya dengan kerakusan, Allah tidak memberikan berkah kepadanya. Dan perumpamaannya bagaikan orang yang makan, tetapi dia tidak kenyang. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan di bawah.’ Kemudian Hakîm berkata, ‘Wahai Rasulullah! Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak akan menerima dan mengambil sesuatu pun setelahmu sehingga aku meninggal dunia.’”
Demikian pula hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali, dia berkata, “Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Kemuduan aku datang kepada Rasulullah SAW. meminta bantuan Baginda untuk membayarnya. Baginda SAW. menjawab, ‘Tunggulah sampai orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh dia menyerahkannya kepadamu.’ Kemudian Baginda melanjutkan sabdanya, ‘Wahai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal, kecuali bagi salah satu dari tiga orang, iaitu (1) seseorang yang menanggung hutang orang lain, dia boleh meminta-minta sampai dia melunaskannya, kemudian berhenti; (2) seseorang yang ditimpa musibah yang menghabiskan hartanya, dia boleh meminta-minta sehingga dia mendapatkan sandaran hidup; dan (3) seseorang yang ditimpa kesengsaraan hidup sehingga ada tiga orang yang berakal dari kaumnya mengatakan, ‘Si fulan telah ditimpa kesengsaraan hidup,’ dia boleh meminta-minta sehingga dia mendapatkan sandaran hidup. Meminta-minta selain untuk ketiga hal itu, wahai Qabishah! Adalah haram dan orang yang memakannya adalah memakan yang haram.’”
Keutamaan Tidak Meminta-minta dan Anjuran untuk Berusaha
Nabi SAW. dalam hadisnya menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari nafkah apa pun bentuknya, selagi mana ia halal dan baik, tidak ada syubhat, tidak ada keharaman dan tidak dengan meminta-minta.
Kita juga disunahkan untuk ta’affuf (memelihara diri dari minta-minta) sebagaimana yang Allah SWT. sebutkan dalam firman-Nya,
“Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 273]
Diriwayatkan dari Az-Zubair bin Al-‘Awwâm ra., dari Nabi SAW., baginda bersabda, “Sungguh, seseorang dari kalian mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di belakangnya, kemudian dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang lain, mereka memberinya atau tidak memberinya.”
Seseorang yang berusaha mencari kayu bakar di hutan, kemudian menjualnya, maka hal ini lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang lain. Jadi, yang terbaik adalah kita mencari nafkah semaksimum kemampuan kita, setelah itu kita memanfaatkan dari nafkah yang kita dapat, baik sedikit mahupun banyak; dan sesuatu yang kita dapat itu lebih mulia daripada meminta-minta kepada orang lain.
Telah sangat jelas bagi kita bahawa meminta-minta atau mengemis, baik saat Ramadhan atau selainnya dengan maksud mengkayakan diri dan keluarganya, sedangkan dia memiliki fizikal yang baik dan mampu bekerja, adalah haram hukumnya. Akan tetapi, bagi mereka yang cacat fizikal dan termasuk orang miskin atau tidak memiliki kesanggupan bekerja untuk menutupi keperluan hidupnya selain dari meminta-minta, maka diperbolehkan baginya walaupun lebih diutamakan untuk mencari pekerjaan yang lain sekalipun hanya menghasilkan sedikit pendapatan. Selanjutnya, bersikap iffah adalah lebih baik baginya kerana sesungguhnya setiap hamba telah Allah tentukan rezekinya.
Penyelesaian Islam
Sebagai deen yang sempurna, Islam telah mengatur sedemikian terperinci seluruh urusan kehidupan. Tidak ada satu pun yang tertinggal, termasuk cara seorang muslim memperoleh harta atau sebab-sebab kepemilikan harta.
Sistem Islam sangat berbeza dengan sistem sekular kapitalisme yang diterapkan saat ini yang mengagungkan kebebasan pemilikan dan bertingkah laku, serta menjadikan manfaat sebagai asasnya.
Dalam Islam, seorang yang miskin tetaplah seorang yang memiliki harga diri. Dia akan menjauhkan diri dari mengemis kepada manusia. Walaupun demikian, sebagai agama yang menjadi rahmat bagi seluruh alam, Islam memiliki mekanisme unik untuk menjamin pemenuhan keperluan makan, pakaian dan tampat tinggal buat si miskin, tanpa mereka perlu meminta-minta.
Mekanisme pertama adalah kawalan sosial. Nabi SAW. bersabda, “Tidak beriman kepadaku, siapa saja yang tidur (dalam keadaan kenyang) pada malam hari, sedangkan tetangganya kelaparan dan dia mengetahuinya.” (HR Al-Bazzar melalui jalur Anas).
Sabda Nabi SAW., “Siapa saja penghuni rumah yang di halaman rumahnya ada seseorang yang kelaparan, jaminan Allah terlepas dari mereka.” (HR Ahmad).
Sungguh luar biasa Islam yang menjadikan keimanan sebagai jaminan berjalannya kawalan sosial. Dengan begitu, setiap anggota masyarakat akan tergerak oleh keimanannya untuk melihat keadaan tetangganya dan memastikan terpenuhi atau tidak keperluannya. Apabila dia mendapati tetangganya kekurangan, sedangkan dia kaya, Islam mendorongnya bersedekah.
Nabi SAW. bersabda, “Sebaik-baik sedekah adalah yang berasal dari orang kaya.” (HR Bukhari dari Abu Hurairah).
Akan tetapi, jika dia tidak kaya dan hanya mampu memenuhi keperluannya sendiri, dia tetap tidak diam. Dia akan melaporkan keadaan jirannya ini kepada khalifah atau penguasa yang bertanggungjawab di wilayahnya.
Mekanisme kedua ialah Islam mewajibkan negara memberikan santunan dari harta baitulmal kepada orang-orang yang tidak ada yang menafkahinya, orang yang sudah tua, atau yang tidak mampu bekerja kerana cacat contohnya. Khalifah Umar bin Khattab ra. adalah bukti yang nyata. Beliau menetapkan polisi untuk menafkahi seorang lelaki tua Yahudi dengan harta yang diambil dari baitulmal Khilafah ketika beliau tahu bahawa ada Yahudi tua meminta-minta.
Islam juga mewajibkan negara—melalui badan pemerintahannya—untuk melakukan fungsi ri’ayah (mengurusi) rakyat. Pegawai negara wajib berinteraksi dengan rakyat setiap waktu, menjadi imam solat di masjid. Selepas solat, mereka berdialog dan mendengarkan keluhan rakyatnya. Dengan demikian, mereka akan memahami permasalahan yang dihadapi oleh rakyat yang dipimpinnya sehingga mudah bagi mereka untuk membahagikan harta zakat kepada yang berhak.
Islam juga menjaga orang-orang kaya dari meminta-minta dengan cara mengancamnya. Nabi SAW. bersabda, “Tidak seorang pun yang meminta-minta sesuatu, padahal dia kaya (seseorang yang memiliki harta bernilai 50 dirham), kecuali pada Hari Kiamat dia datang dalam keadaan mukanya luka, terkoyak, dan mengelupas.”
Khatimah
Terdapat contoh terbaik dari yang pernah Rasulullah SAW. lakukan ketika seorang lelaki Ansar mendatangi Rasulullah untuk meminta-minta. Rasulullah SAW. tidak membentak dan menyuruhnya pergi, juga tidak terus memberinya wang. Rasulullah SAW. malah bertanya kepadanya tentang apa yang dia miliki. Lelaki itu menjawab bahawa di rumahnya hanya ada sehelai kain kasar untuk selimut dan sebuah gelas untuk minum. Rasulullah kemudian menyuruhnya untuk mengambil barang tersebut dan melelong dua benda itu, dan kedua-duanya laku sebanyak dua dirham.
“Belikanlah makanan buat keluargamu menggunakan satu dirham itu. Kemudian, dengan satu dirham yang lain, belilah sebuah kapak lalu bawakan kepadaku,” perintah Rasulullah SAW. sambil menyerahkan dua dirham tersebut.
Beberapa hari kemudian, lelaki Ansar itu datang kepada Rasulullah dengan membawa kapak. “Pergilah, carilah kayu bakar dan juallah, dan aku tidak mahu melihatmu selama 15 hari,” titah Rasulullah. Lelaki Ansar itu pun mengikut semua perintah Rasulullah. Dia pergi mencari kayu bakar, dan menjualnya. Setelah 15 hari berlalu, dia pun menemui Rasulullah SAW. dengan membawa wang 10 dirham dari hasil penjualan kayu bakar. Wallahualam.