Meyakini al Quran Sebagai Pedoman Hidup
Penulis : Tim Lajnah Tsaqafiyah
Alhamdulillah, kita sudah berada pada fasa malam – malam terakhir Ramadhan. Semoga kita terus kuat untuk beribadah dan menggapai redhaNya di bulan mulia ini serta direzekikan bertemu Lailatul Qadar. Bulan suci ini adalah bulan di mana diturunkannya al-Quran (Syahrul Quran). Empat belas abad yang lalu, al-Quran diturunkan di malam yang mulia, Lailatul Qadar, sebagai petunjuk umat manusia dalam mengharungi kehidupan dunia.
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar” [TMQ Al Isra’ (17): 9]
Malah, dengan membaca al-Quran akan mendapatkan balasan yang besar di sisi Allah SWT. Sabda Nabi SAW:
“Bacalah oleh kalian al-Quran, sesungguh al-Quran itu akan datang pada Hari Kiamat menjadi syafaat bagi pembacanya” [HR Muslim].
Kita melihat senario yang baik sepanjang bulan Ramadhan ini. Ramai umat Islam mengambil kesempatan untuk bertadarus, tahsin Quran dan mengkhatamkan bacaan kitab suci Al-Quran. Perkara sebegini amatlah baik dan dituntut agar diteruskan sepanjang tahun dan menjadi rutin dalam kehidupan seharian kita.
Namun demikian, meskipun banyak kedengaran alunan suci ayat Al-Quran berkumandang, masih terdapat kelompok orang yang meragukan kebenaran Al-Quran. Mereka terpengaruh dengan usaha pihak orientalis untuk meragukan kesucian al-Quran sebagai kalamullah. Mereka menuduh al-Quran sekadar kata-kata rekaan bangsa Arab, termasuk Muhammad SAW.
Sedangkan tudingan ini telah dibantah oleh Allah di dalam al-Quran. Melalui Nabi Muhammad, Allah mencabar umat manusia bangsa Arab mahupun ‘ajam (non Arab) untuk membuat kalimat menyerupai al-Quran. Cabaran ini bukan sahaja berlaku ketika al-Quran diturunkan, tetapi juga berjalan sehingga ke Hari Kiamat [Lihat: TMQ al-Baqarah (2): 23]. Hakikatnya, sehingga ke hari ini, tiada yang mampu membuat meski satu kalimat pun yang serupa dalam al Quran.
Al-Quran juga bukanlah karangan Rasulullah SAW sebagaimana tuduhan mereka. Jikalau anda memperhatikan dan membandingkan teks al-Quran dan Hadis, terdapat gaya bahasa yang sangat berbeza. Sedangkan kedua-duanya keluar dari mulut orang yang sama. Tambahan pula, bangsa Arab di Mekah pun semuanya tahu bahawa Rasulullah SAW bukanlah orang yang mempunyai kemampuan menyusun syair.
Maka Allah SWT menegaskan:
“Tidakkah mereka merenungkan al-Quran? Andai al-Quran itu bukan berasal dari sisi Allah, tentu mereka akan menemukan di dalamnya pertentangan yang banyak” [TMQ an-Nisa’ (4): 82].
Selain itu, pihak orientalis juga meragui kelayakan al-Quran sebagai petunjuk dan peraturan hidup yang sesuai dengan zaman. Mereka menuduh hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran hanya mengandungi kandungan yang sesuai bagi kawasan setempat, bersifat sementara dan bersyarat. Contohnya seperti hukum pembahagian harta pusaka, poligami, jihad, potong tangan, qisas, kewajipan hijab, dan lain-lain. Malangnya, tuduhan ini kemudiannya diiktiraf oleh segelintir umat Islam khususnya mereka yang dididik oleh pihak orientalis.
Sesungguhnya terlalu banyak keajaiban al-Quran yang tidak disedari oleh manusia sehinggakan ada yang sanggup meraguinya. Terlalu banyak kajian-kajian sains yang membuktikan bahawa apa yang dibawa oleh al-Quran 1400 tahun dahulu adalah menyamai dengan apa yang ditemui dalam kajian sains beratus-ratus tahun kemudian. Ini amat menakjubkan. Malahan, al-Quran ini mengandungi segala-galanya untuk memandu manusia ke jalan yang benar. Tinggal manusia sahaja yang perlu benar-benar beriman kepadanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian-harian mereka.
Oleh yang demikian, sikap seorang muslim yang beriman kepada al-Quran adalah menerima al-Quran secara keseluruhan; beriman kepada segala surah, seluruh ayat dan keseluruhan isinya. Dia tidak akan berpaling dari Kitab Allah yang agung ini, sebahagiannya, apatah lagi keseluruhannya. Ini kerana mengingkari sebahagian daripada isi al-Quran adalah sama dengan mengingkari keseluruhan isi al-Quran. Di masa kini, cabarannya ialah bagaimana al-Quran boleh diterapkan dalam semua dimensi kehidupan, baik individu, masyarakat mahupun negara kerana inilah yang dituntut dalam Islam. Al-Quran merupakan panduan hidup yang akan membawa kita semua mencapai keredhaan Allah SWT. Di bulan penuh rahmat ini , marilah kita berdoa agar Allah SWT menjadikan kita beriman sepenuhnya kepada al-Quran dan memperjuangkan pelaksanaan al-Quran yang sebenar. Amin!
Sumber Artikel: Kumpulan Kultum 50 Materi Ramadhan Dewan Masjid Digital Indonesia.pdf