MERAIH KEJAYAAN RAMADHAN
Penulis : Tim Lajnah Tsaqafiyah
Tanpa disedari Ramadhan akan meninggalkan kita lagi. Tidak pasti adakah ada kesempatan untuk bertemu lagi pada tahun hadapan? Adakah kita telah berusaha untuk memanfaatkan Ramadhan ini pada tahap yang maksimum? Adakah ketakwaan kita semakin bertambah?
Allah swt berfirman :
“ Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa, sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertakwa (TMQ Al Baqarah[2]: 183).” Maka sebaiknya di penghujung Ramadhan, kita sudah berubah menjadi insan yang lebih bertakwa.
Kata-kata Umar bin Abdul Aziz rahimahulLâh, yang dipetik oleh Imam as-Suyuthi dalam Ad-Durr al-Mantsûr, berkata : “ Takwa kepada Allah itu bukan hanya berpuasa pada siang hari, solat pada malam hari dan memadukan keduanya. Namun, takwa kepada Allah itu adalah meninggalkan apa sahaja yang diharamkan dan menunaikan apa sahaja yang diwajibkan Allah swt. Maka, sesungguhnya tidak layak seseorang untuk merayakan ‘Hari Kemenangan’ iaitu Aidil Fitri jika tidak bertambah ketakwaannya”.
Sebagai muslim wajib untuk fahami hakikat takwa. Imam Ali RA menjelaskan, takwa adalah: “Takut kepada Rabb yang Maha Agung. Melaksanakan apa yang diturunkan Allah. Bersedia menghadapi Hari Kiamat.”
Maka antara tanda-tanda insan yang bertakwa adalah pertama, dia hanya takut kepada Allah SWT. Dia yakin bahawa Allah Maha Melihat, Maha Tahu dan Maha segalanya. Dia yakin tentang perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Mempercayai dan meyakini bahawa malaikat mengawasinya 24 jam sehari. Keyakinan tentang kewujudan syurga dan neraka tempat yang dijanjikan oleh Allah SWT sebagai imbalan atas setiap perbuatan yang dilakukan.
Kedua, orang yang bertakwa adalah amalu bi tanzil yakni melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT, dalam keadaan samada dia suka ataupun tidak. “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.” (TMQ Al Ahzab [33]: 36)
Apabila azan berkumandang menandakan tiba waktu solat, mereka akan bersegera menunaikannya kerana menyedari itu adalah perintah Allah SWT. Apabila Allah perintahkan untuk berbuat baik kepada kedua ibubapanya, maka dengan senang hati mereka membahagiakan keduanya. Begitu juga apabila Allah SWT perintahkan menerapkan syariah-Nya, maka merekalah yang pertama mendakwahkan dan memperjuangkan Islam untuk memastikan Islam secara kaffah dapat diterapkan. Sebaliknya, apabila Allah SWT melarang riba, mereka tak berani mengambilnya walau hanya sedikit. Malah apabila Allah SWT melarang menyakiti sesama Muslim, mereka akan saling menyayangi dan tidak berani menyakiti mahupun menzaliminya.
Tanda orang bertakwa yang ketiga adalah sentiasa menjadikan Hari Kebangkitan sebagai motivasi dan ingatan untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Allah berfirman : “Dan sesungguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tiada keraguan padanya; dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur.” (TMQ Al Hajj[22]: 7)
Pada hari tersebut, amalan kita akan dihisab. Jika amalan kebaikan lebih berat daripada amalan yang buruk, maka syurgalah ganjarannya. Sebaliknya jika amalan buruk lebih berat daripada amalan kebaikan, maka nerakalah tempat yang sesuai untuknya.
Oleh itu, adakah kita semua sudah mencapai darjat ketakwaan yang disebutkan tadi? Belum terlambat untuk memahami hakikat takwa dan teruskan berusaha untuk menambah serta memperbaiki amalan. Jangan sia-siakan sisa waktu yang ada. Semoga apabila Ramadhan berlalu, kita telah berubah menjadi seorang insan baharu. Individu yang berjaya meraih kejayaan di bulan Ramadhan. Individu yang bertakwa. Individu yang taat kepada Allah. Individu yang menjadi kebanggaan Rasulullah SAW dan juga individu yang sentiasa berada di hadapan dalam menerapkan Islam kaffah .
Sumber : Kumpulan Kultum 50 Materi Ramadhan Dewan Masjid Digital Indonesia.pdf