RUKYATUL HILAL DAN PERHITUNGAN ASTRONOMI 1 SYAWAL
Segala pujian hanya milik Allah. Selawat dan salam semoga senantiasa tercurah kepada Rasulullah dan kepada keluarga, para sahabat dan orang yang mengikuti beliau. Wa ba’du..
Kepada saudara-saudara yang mengirimkan pesanan ke laman kami mempertanyakan tentang rukyat hilal dan perhitungan astronomi.
Assalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.
Saya telah membaca pertanyaan-pertanyaan anda seputar rukyat dan perhitungan astronomi. Kami telah berulang kali mengeluarkan soal-jawab tentang masalah ini, tetapi tidak mengapa. Saya akan menambah penjelasan dan penegasan, dengan harapan kepada saudara-saudara untuk memperhatikannya dengan saksama dan penuh perhatian. Saya katakan dan dengan taufik dari Allah..
PERTAMA,
Sesungguhnya kita, ya ikhwah, kita tidak memasukkan perhitungan (hisab) astronomi dalam topik ini. Jadi dalil hanya bersandar kepada rukyat sahaja. Kita berpuasa dan berbuka dengan rukyatul hilal. Jika kita tidak melihat hilal pada petang hari tanggal 29 Ramadhan, maka kita genapkan hitungan bulan Ramadhan menjadi 30 hari. Sehingga, seandainya hilal sudah ada menurut perhitungan astronomi, tetapi ternyata pada saat itu tertutup oleh mendung atau keadaan cuaca. Jadi, rukyat adalah yang menjadi sandaran, sebab dalil yang ada menuntut untuk menyandarkan kepada rukyat, dan bukan pada fenomena alam.
Perhatikan hadis Rasul saw yang dikeluarkan oleh imam al-Bukhari: … dia berkata: aku mendengar Abu Hurairah ra berkata: “Nabi atau Abu al-Qasim saw bersabda,
«صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ»
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya, dan jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan hitungan Syaaban menjadi 30 hari”.
Kemudian hadis yang dikeluarkan oleh imam Ahmad: … dia berkata: “aku mendengar Abu Hurairah berkata; “Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda,
«لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ، وَقَالَ: صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غَبِيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ»
“Janganlah kalian berpuasa sampai kalian melihat hilal dan janganlah kalian berbuka sampai kalian melihat hilal”. Dan beliau bersabda: “berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya, dan jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan menjadi 30 hari”.
Jika mendung menutupi misalnya, sehingga kaum Muslim tidak dapat melihat hilal, padahal hilal itu sudah ada di sebalik mendung secara hakiki menurut perhitungan astronomi, maka berdasarkan atas hal itu kita tidak berbuka, tetapi kita wajib berpuasa pada hari ketiga puluh kerana kita tidak melihat hilal.
Saya ulangi, perhatikan hadisnya,
«فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ»
“Jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan hitungan Syaaban menjadi 30 hari”.
Padahal menurut perhitungan astronomi, hilal sudah ada.
KEDUA,
Sungguh kami faham bahawa dengan perhitungan astronomi dapat diketahui (bahkan) hingga hitungan detik bila konjunksi, bila hilal lahir, dan bila hilal tenggelam, serta berapa minit hilal bertahan setelah tenggelam matahari. Namun dalil syarie tidak menyatakan atas fenomena alam, tetapi menyatakan pada rukyat.
Perhatikan misalnya, waktu-waktu solat. Kita dapati bahawa nas menyebutkan fenomena alam dan tidak terbatas pada rukyat.
﴿أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ﴾
“Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir“ (TMQ al-Isra’ [17]: 78).
«إِذَا زَالَتِ الشَّمْسُ فَصَلُّوا»
“Jika matahari telah tergelincir maka solatlah kalian”.
Jadi, solat itu bergantung pada waktu. Maka dengan wasilah apapun waktu itu ditetapkan, maka anda solat. Jika anda melihat matahari untuk melihat waktu tergelincirnya matahari, atau anda melihat bayangan untuk melihat bayangan apa saja semisalnya (sama panjang) atau dua kalinya sebagaimana yang ada di dalam hadis-hadis waktu-waktu solat; jika anda melakukan itu dan telah tetap waktunya, solatnya sah.
Dan jika anda tidak melakukan hal itu, tetapi anda menghitungnya secara astronomi dan anda tahu bahawa waktu tergelincirnya matahari adalah jam sekian-sekian lalu anda melihat jam tangan anda tanpa keluar untuk melihat matahari atau bayangan, maka sah juga solatnya. Yakni anda menetapkan waktu dengan wasilah apapun. Kenapa? Sebab, Allah SWT meminta anda solat disebabkan masuknya waktu dan menyerahkan kepada anda untuk menetapkan masuknya waktu itu tanpa membatasi tatacara penetapannya.
Sebagaimana anda lihat, jika anda tahu matahari telah tergelincir dengan melihatnya secara langsung, anda solat. Jika anda menghitungnya pada jam tangan anda, anda solat. Maksudnya di sini (dengan rukyat dan perhitungan) anda solat kerana dalil tidak menyandarkan kepada rukyat tetapi dalil menyandarkan pada fenomena alam.
Ini berbeza dengan dalil syarie untuk puasa dan berbuka yang menyatakan sandaran pada rukyat.
KETIGA,
Adapun saksi, maka mungkin saja perkara tersebut samar baginya lalu dia bersaksi bahawa dia melihat hilal padahal dia tidak melihat hilal tetapi melihat sesuatu yang lain. Ini adalah tugas qadhi atau pemilik kekuasaan (autoriti) dalam mengumumkan awal bulan dan akhir bulan. Maka diperiksa dari saksi-saksi itu dan jumlah mereka, dan setiap kali jumlah itu bertambah maka makin mendekati ketenteraman. Dan juga diperiksa dari kesihatan mata saksi itu, arah busur hilal, lamanya hilal bertahan setelah matahari tenggelam, tempat dia melihat hilal, dan apakah dia muslim, dan apakah dia fasik, dan sebagainya.
Muhammad bin Abdul Aziz bin Abi Rizmah telah memberitahu kami, dia berkata: “al-Fahdlu bin Musa telah memberitahu kami dari Sufyan dari Simak dari Ikrimah dari Ibnu Abbas ra., dia berkata: “seorang arab Badwi datang kepada Nabi saw,
«فَقَالَ رَأَيْتُ الْهِلَالَ فَقَالَ أَتَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ قَالَ نَعَمْ فَنَادَى النَّبِيُّ ﷺ أَنْ صُومُوا» (سنن النسائي)
“Dia berkata: “aku telah melihat hilal”. Nabi saw bersabda; “apakah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya?” Dia berkata: “benar”. Maka Nabi saw berseru: “berpuasalah kalian”. (HR an-Nasai).
Begitulah, diperiksa dari saksi. Tetapi tanpa memasukkan perhitungan astronomi dalam topik tersebut. Yakni tidak dikatakan, “Perhitungan astronomi menetapkan bahawa hilal ada di sebalik mendung, atau menetapkan bahawa hilal tidak ada”. Hal itu kerana memasukkan perhitungan astronomi dalam masalah tersebut adalah menyalahi apa yang ada di dalam hadis Rasulullah saw,
«صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ، وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ»
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya, dan jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan menjadi 30 hari”.
Jadi, dalilnya jelas, iaitu agar menggenapkan hitungan bulan itu 30 hari, padahal dengan perhitungan, hilal itu ada di balik mendung, tetapi tidak terlihat.
KEMPAT,
Adapun penanya:
“bahawa Rasul saw bersabda,
«إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ وَمَرَّةً ثَلَاثِينَ» “البخاري”
“Kami umat yang ummi, kami tidak dapat menulis dan menghitung, bulan itu begini dan begini, yakni kadang 29 hari dan kadang 30 hari.” (HR al-Bukhari).
Apakah tidak dapat difahami darinya dengan mafhum mukhalafah bahawa kita mengambil rukyat kerana kita tidak dapat menulis dan menghitung, sehingga jika kita mengetahui perhitungan maka kita mengambil perhitungan astronomi?”
Pemahaman ini tidak sahih dan merupakan pendapat yang tertolak sebagaimana yang sudah diketahui di dalam ushul. Kerana pemahaman (mafhum mukhalafah) ini diabaikan. Sebab, sifat ummi itu dikeluarkan makhraja al-ghâlib (menyatakan keadaan pada galibnya). Orang Arab, dahulu mereka majoritinya termasuk orang ummi (tidak dapat menulis dan menghitung). Ditambah lagi bahawa mafhum ini telah diabaikan menurut manthuq dalil-dalil lainnya, di antaranya hadis,
«فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ» (البخاري)
“Jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan hitungan menjadi 30 hari” (HR al-Bukhari).
Bersamanya tidak disebutkan batasan. Yakni jika rukyat hilal tidak mungkin kerana mendung atau hujan atau sebab lainnya yang menghalangi rukyat, maka hukum syaraknya telah ditentukan dengan menggenapkan hitungan bulan menjadi 30 hari, hingga meskipun hilal itu sudah ada tetapi mendung menutupinya. Atas dasar itu maka diamalkan menurut manthuq hadis dan mafhum mukhalafahnya diabaikan. Yakni bahawa mafhum mukhalafah di sini diabaikan kerana dua hal: keluarnya itu sebagai makhraja al-ghâlib (menyatakan keadaan pada galibnya), dan kerana manthuq nas lainnya menentang mafhum itu.
Dan ini terjadi dalam syarat mengamalkan mafhum dalam lebih dari satu keadaan. Mafhum itu diabaikan jika dikeluarkan makhraja al-ghâlib (menyatakan keadaan pada galibnya), atau jika diabaikan oleh nas lainnya menurut manthuqnya, misal,
﴿وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ﴾
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan” (TMQ al-Isra’ [17]: 31).
Takut kemiskinan (khasyyatu imlâkin) merupakan sifat yang memberikan pemahaman (washfun mufhimun) yakni takut kefakiran. Demikian juga itu dikeluarkan makhraja al-ghâlib (menyatakan keadaan pada galibnya). Mereka dahulu membunuh anak-anak mereka kerana takut kemiskinan. Kemudian mafhum ini telah diabaikan dengan dalil.
﴿وَمَنْ يَقْتُلْ مُؤْمِناً مُتَعَمِّداً فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ﴾
“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja maka balasannya ialah Jahannam” (TMQ an-Nisa’ [4]: 93).
Oleh kerananya, mafhum ini diabaikan. Jadi tidak dikatakan bahawa yang haram adalah membunuh anak-anak kerana takut kemiskinan dan menjadi halal jika membunuhnya kerana kaya! Tetapi membunuh anak-anak itu adalah haram dalam dua keadaan itu, baik apakah kerana takut kemiskinan atau takut kaya. Demikian juga ayat,
﴿لَا تَأْكُلُوا الرِّبَا أَضْعَافاً مُضَاعَفَةً﴾
“Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda” (TMQ Ali Imran [3]: 130).
Berlipat ganda itu merupakan sifat yang memberikan pemahaman. Dan demikian juga dikeluarkan untuk menyatakan keadaan pada galibnya (makhraja al-ghâlib). Jadi mereka dahulu melakukan riba berlipat ganda. Kemudian mafhum ini telah diabaikan dengan dalil,
﴿وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا﴾
“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (TMQ al-Baqarah [2]: 275).
Oleh kerana itu mafhum ini diabaikan. Jadi tidak dikatakan, yang haram adalah riba yang banyak, ada pun riba yang sedikit maka boleh. Tetapi, riba berapa pun kadarnya adalah haram kerana mafhum “dengan berlipat ganda adh’âfan mudhâ’afatan“ itu diabaikan, sebagaimana yang kami katakan.
Begitulah, mafhum kata “ummiyah” itu diabaikan sebagaimana yang telah kami jelaskan. Maknanya, bahawa rukyat hilal jika terhalang kerana mendung atau hujan maka wajib menggenapkan hitungan bulan menjadi 30 hari baik apakah kita mengetahui perhitungan atau kita tidak mengetahui.
LIMA,
Berkaitan dengan Aidilfitri, jika anda perhatikan, kami memang terlambat dalam pengumuman kali ini dan sebabnya adalah pemeriksaan perkara ini. Ada beragam kesaksian rukyat:
a. Afghanistan, Mali dan Nigeria mengumumkan rukyat setelah tenggelamnya matahari Sabtu 30 April 2022, dan berikutnya diumumkan Aidilfitri Ahad 1 Syawal 1443 H/1 Mei 2022 M.
b. Kira-kira 21 negara Arab mengumumkan tidak terbukti terlihat hilal setelah tenggelam matahari Sabtu dan menilai Ahad adalah penggenapan untuk bulan Ramadhan dan bahawa Aidilfitri adalah Isnin 2 Mei 2022 M.
c. Empat negara, penetapan pada mereka bahawa Sabtu adalah 28 Ramadhan. Oleh sebab tidak dimonitor hilal pada Sabtu petang tetapi pada hari berikutnya, dan hilal tidak terlihat sehingga Isnin adalah penggenapan Ramadhan dan Aidilfitri adalah selasa 3 Mei 2022 M. Keempat-empat negara ini adalah: India, Bangladesh, Iran dan Pakistan.
KEENAM,
Di sini maka hendaklah diikuti orang yang melihat. Kerana orang yang melihat menjadi hujjah atas orang yang tidak melihat, dan pembuktian rukyat itu adalah sebagaimana yang ada di dalam dalil syarie tanpa memasukkan perhitungan astronomi dalam masalah tersebut kerana hadis Rasul saw jelas dalam hal itu. Rasul saw bersabda,
«فَإِنْ غَبِيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ»
“Jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan menjadi 30 hari”.
Dan kerana Mali, Nigeria adalah Baratnya Afghanistan, maksudnya bahawa rukyat itu jika terbukti di Afghanistan, maka lebih-lebih lagi terbukti di Mali dan Nigeria. Atas dasar itu, kami memulakan pemeriksaan dari Afghanistan. Dan rukyat yang diumumkan di tiga negara ini:
a. Nigeria mengumumkan terbukti terlihat hilal bulan Syawal setelah tenggelam matahari Sabtu di wilayah Diffa, Thawa dan Maradi, serta di kota Zinder.
b- Mahkamah Agung Afghanistan mengumumkan, pada Sabtu malam, bahawa Ahad, 1 Mei, akan menjadi hari pertama Aidilfitri 2022 di negara tersebut. Dan seperti yang disebutkan tentang negeri-negeri itu, rukyat tersebut berlaku di bahagian negeri-negeri (Ghor, Ghazni, Kandahar, Farah, dan ada 27 kesaksian yang sah dibuktikan oleh jawatankuasa regional).
c- Negara Mali juga mengumumkan bahawa hilal Syawal terlihat pada Sabtu malam di dua lokasi oleh 8 orang saksi.
Ini bererti, rukyat (terlihatnya) hilal itu diperoleh dari kira-kira 39 saksi di berbagai tempat yang berbeza.
Dan kami telah mengerahkan segenap usaha dalam pemeriksaan itu, khususnya dari Afghanistan kerana Mali dan Nigeria ke arah baratnya. Jika rukyat telah sahih di Afghanistan maka lebih utama lagi rukyat itu sahih di Mali dan Nigeria. Kami tidak hanya mencukupkan dengan media, dan bahkan tidak hanya dengan apa yang sampai kepada kami dari muktamad di wilayah-wilayah tersebut, tetapi kami tambah lagi… Kami berkomunikasi dengan i’lami (media) di Afghanistan. Demikian juga dengan beberapa ikhwah Afghan di Eropah untuk menghubungi beberapa kenalan di Afghanistan bagi memeriksa perkara tersebut sehingga tercapai ketenteraman pada kami dengan terbuktinya rukyat, maka kami mengumumkan pada akhir pukul 24.00 waktu Madinah.
KETUJUH,
Adapun penanya, kenapa kaum Muslim berbeza pendapat tentang rukyat? Jawapannya mudah dan jelas, iaitu sebagai berikut:
a- Perbezaan itu adalah disebabkan tidak mengikuti hukum syarak padahal hukum syaraknya sudah jelas dan nyata! Rasul saw menjelaskan untuk kita wajibnya mengikuti rukyat dan menegaskan hal itu dengan sabda beliau,
«فَإِنْ غَبِيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ»
“Jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan menjadi 30 hari”.
Darinya jelas tergugurnya perhitungan astronomi dari tanda aras penilaian. Sebab dalil mewajibkan penggenapan bulan menjadi 30 hari jika hilal tidak terlihat, kerana mendung menutupinya dari penglihatan hingga seandainya hilal itu ada di sebalik mendung dan perhitungan astronomi menetapkan adanya hilal itu di sebalik mendung. Meski demikian, tidak sah beramal dengannya, tetapi kita menggenapkan hitungan bulan menjadi 30 hari sebagaimana yang ada di dalam hadis-hadis Rasulullah saw,
«صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ، وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ»
“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya dan jika tertutup mendung bagi kalian maka genapkan menjadi 30 hari”.
Dan Rasul saw bersabda,
«لَا تُقَدِّمُوا الشَّهْرَ حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ أَوْ تُكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثُمَّ صُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ أَوْ تُكْمِلُوا الْعِدَّةَ»، رواه أبو داود
“Janganlah kalian mendatangi (memasuki) bulan sampai kalian melihat hilal atau kalian genapkan hitungan kemudian berpuasalah kalian sampai kalian melihat hilal atau kalian genapkan hitungan” (HR Abu Dawud).
Rasul saw juga bersabda,
«إِذَا رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَصُومُوا ثَلَاثِينَ يَوْماً»، رواه مسلم
“Jika kalian melihat hilal maka berpuasalah dan jika kalian melihatnya maka berbukalah, dan jika tertutup mendung bagi kalian maka berpuasalah 30 hari” (HR Muslim).
Dan hadis-hadis dalam hal ini banyak. Hadis-hadis itu menunjukkan bahawa yang menjadi standard dalam hal itu adalah rukyat hilal atau penggenapan hitungan bulan. Yang dimaksud dari hadis-hadis ini bukanlah masing-masing orang melihat hilal sendiri, melainkan yang dimaksudkan adalah kesaksian saksi yang adil.
Telah sahih dari Ibnu Umar ra., dia berkata,
«تَرَاءَى النَّاسُ الْهِلَالَ فَأَخْبَرْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ أَنِّي رَأَيْتُهُ فَصَامَهُ وَأَمَرَ النَّاسَ بِصِيَامِهِ»، رواه أبو داود
“Orang-orang berusaha melihat hilal lalu aku memberitahu Rasulullah saw bahawa aku melihatnya maka beliau pun berpuasa dan memerintahkan orang-orang untuk berpuasa” (HR Abu Dawud).
b- Adapun sebab kedua, adalah kaum Muslim tidak dihimpun oleh khilafah. Mereka tidak memiliki satu penguasa yang boleh menghilangkan perbezaan tanpa perpecahan. Dengan mentadaburi hadis Rasul saw., hal itu menjadi jelas. Imam Ahmad telah mengeluarkan di dalam Musnad-nya, dia berkata: “Husyaim telah menceritakan hadis kepada kami, Abu Bisyrin telah memberitahu kami dari Abu Umair bin Anas, telah menceritakan kepadaku pakcik-pakcikku dari Ansar di antara sahabat Rasulullah saw, dia berkata,
«غُمَّ عَلَيْنَا هِلَالُ شَوَّالٍ فَأَصْبَحْنَا صِيَاماً فَجَاءَ رَكْبٌ مِنْ آخِرِ النَّهَارِ فَشَهِدُوا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ أَنَّهُمْ رَأَوْا الْهِلَالَ بِالْأَمْسِ فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَنْ يُفْطِرُوا مِنْ يَوْمِهِمْ وَأَنْ يَخْرُجُوا لِعِيدِهِمْ مِنَ الْغَدِ» (مسند أحمد)
“Hilal Syawal tertutup mendung bagi kami, maka esoknya kami berpuasa, lalu datang para penunggang kenderaan dan mereka bersaksi di hadapan Rasulullah saw bahawa mereka melihat hilal kelmarin, maka Rasulullah saw memerintahkan mereka untuk berbuka hari itu dan keluar untuk solat Aidilfitri esok harinya” (HR Ahmad di Musnad).
Meskipun sukar komunikasi antara kampung dan kota ketika itu, namun masalah tersebut terselesaikan dengan Rasulullah saw memerintahkan kaum Muslim di Madinah untuk berbuka kerana hilal telah terlihat di padang pasir Badwi, kemudian beliau memerintahkan kaum Muslim untuk solat Aidilfitri keesokannya kerana utusan orang-orang Badwi tiba di Madinah setelah berlalunya waktu solat Eid pada hari tersebut. Hal ini berlaku pada waktu (zaman) transformasi berita dari satu negeri ke negeri lain memerlukan waktu yang panjang. Lalu bagaimana dengan hari ini, tatkala berita dapat ditransformasikan dengan sangat cepat? Seandainya kaum Muslim memiliki satu khalifah dan satu daulah, nescaya mereka akan menjadi hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, khususnya bahawa tabanni dalam semua perkara yang dapat menghimpun kaum Muslim dan mempersatukan mereka adalah diperintahkan oleh Islam untuk negara, parti dan individu menurut ketentuan syarak. Maka pengadopsian pandangan syarie yang dapat menghimpunkan kaum Muslim merupakan perkara yang darjatnya (kedudukannya) agung di dalam Islam.
Dua hal inilah yang dapat menghilangkan perbezaan. Dan yang wajib bagi kaum Muslim adalah mengerahkan segenap usaha untuk merealisasinya agar kaum Muslim kembali menjadi sebaik-baik ummat yang telah dikeluarkan untuk manusia sebagaimana yang Allah SWT turunkan di dalam muhkam kitab-Nya,
﴿كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ﴾
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah” (TMQ Ali Imran [3]: 110).
Sebagai penutup, saya mehon kepada Allah SWT agar menunjuki kaum Muslim semuanya kepada perkara yang lurus, dan agar memuliakan mereka dengan kemuliaan Islam, agar mereka menegakkan daulah mereka yang telah hilang untuk tempoh waktu panjang. Dan seterusnya, mereka tidak berbeza pendapat dalam melaksanakan ketaatan kepada Rabb mereka. Sebaliknya mereka menjadi seperti yang Allah SWT firmankan,
﴿فَانْقَلَبُوا بِنِعْمَةٍ مِنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ لَمْ يَمْسَسْهُمْ سُوءٌ وَاتَّبَعُوا رِضْوَانَ اللَّهِ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَظِيمٍ﴾
“Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurniaan (yang besar) dari Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (TMQ Ali Imran [3]: 174).
Semoga Allah menerima semua ketaatan kita.
Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullah wa barakatuhu.
Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
10 Syawal 1443 H (10 Mei 2022 M)
*Penjelasan rukyatul hilal 1 Syawal 1443H
#syawal #aidilfitri #rukyatulhilal #syawal #1syawal