Memaknai Kemenangan Dalam Syawal
Oleh : Nusrah Amal
Kedatangan bulan Syawal pastinya akan disambut gembira oleh umat Islam seluruh dunia, terlebih lagi setelah kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan. Syawal dikatakan sebagai bulan kemenangan kerana umat Islam telah menang dalam mujahadah melawan lapar dan dahaga selama sebulan, bermujahadah melawan hawa nafsu dengan memperbanyakkan amal ibadah serta memperbaiki diri dengan amalan-amalan sunat.
Kemenangan tersebut dalam meraih ketakwaan dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya:
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. “ [TMQ al-Baqarah (2): 183].
Namun apakah kita benar-benar menang kali ini?
Ramadan kali ini disambut dengan rasa sayu serta rasa bersalah mengenangkan umat Islam di Malaysia atau mana-mana negara umat Islam yang tidak ada konflik boleh berpuasa dan berbuka dengan pelbagai juadah. Namun, saudara semuslim kita di Gaza, Palestin kelaparan malah berdepan dengan kematian setiap hari akibat kezaliman peperangan dengan negara haram Israel. Semenjak 7hb Oktober 2023 mereka telah berpuasa dan hingga kini belum ‘berbuka’ kerana sekatan bekalan makanan dan minuman oleh pemerintah haram ini.
Bulan Syawal kembali lagi dengan memberikan pengertian kemenangan kepada seluruh umat islam. Namun, apakah ini kemenangan yang kita inginkan? Apakah kita terus bersikap mementingkan diri dan melupakan nasib saudara-saudara seakidah kita? Apalah makna pahala yang kita kumpul sepanjang Ramadan jika kita tiada sedikit pun perasaan simpati dan empati terhadap umat Islam di belahan lain dunia.
Islam mewajibkan kita mendatangkan keredaan Allah dengan menebarkan kasih sayang. Rasulullah SAW pernah bersabda diriwayatkan Imam Abu Daud,
“Sayangilah penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi oleh penghuni langit (para Malaikat).”
Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga persaudaraan terutama bagi sesama muslim. Persaudaraan ini hanya bisa diwujudkan jika sesama muslim saling menyayangi dan mengasihi.
Sebagaimana sabda beliau berikut:
Dari An-Nu’man bin Bisyir dia berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
‘Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi di antara mereka adalah ibarat satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak bisa tidur) dan panas
(turut merasakan sakitnya).” (HR Muslim)
Masih perlukah kita umat Islam menunggu dan bergantung harap pada PBB, ICJ malah OIC yang hingga kini terus senyap tiada tindakan sementara kita melihat Israel terus mengganas dan bertekad untuk menghabisi umat Islam di Gaza, Palestin. Zionis Israel memperlakukan umat Islam sewenangnya tanpa ada perikemanusiaan. Seluruh dunia mengutuk perbuatan mereka, mereka tetap sombong dan angkuh untuk mencapai cita-citanya menghancurkan umat Islam di Gaza.