[Kisah Inspiratif] Ubay bin Ka’ab: Tahniah atas Ilmu yang Engkau Capai
Penulis: Chusnatul Jannah
Keutamaan para sahabat Nabi SAW memang lebih utama daripada umat biasa. Mana tidaknya, mereka sentiasa mendampingi Rasulullah SAW dan menjadi saksi kepada turunnya firman Ilahi. Di antara keutamaan itu, Allah SWT melimpahkan kelebihan ilmu kepada beberapa orang di kalangan para sahabat Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda, “Ambillah bacaan Al-Quran dari empat orang, iaitu Abdullah bin Mas’ud, Salim, Mu’adz bin Jabal, dan Ubay bin Ka’ab.” [HR Bukhari dalam sahihnya no. 4999 dari sahabat Abdullah bin ‘Amr RA]
Di antara nama-nama tersebut, kita akan membahas kisah hidup Ubay bin Ka’ab agar perjalanan hidupnya dapat menjadi inspirasi bagi kita semua.
Nasab dan Keluarga
Ubay merupakan putera daripada pasangan Ka’ab bin Qais dan Shahilah binti al-Aswad bin Haram. Kedua-duanya merupakan tokoh yang cukup berpengaruh di Yathrib. Ubay menikah dengan Ummu al-Thufail binti Thufail bin Amr. Dari pernikahan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang anak bernama Thufail, Muhammad, dan Ummu Amr.
Abu Munzir atau lebih dikenali dengan nama Ubay bin Ka’ab bin Qais bin Ubaid al-Ansari adalah sahabat utama yang mempunyai keistimewaan di sisi Rasulullah SAW. Ubay bin Ka’ab adalah salah seorang para sahabat yang memiliki keutamaan mengajarkan Al-Quran. Keistimewaannya itu tercermin dalam perbincangan Ubay dengan Rasulullah SAW.
Pada satu ketika, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Ubay, “Wahai Abu Munzir, dari sekian banyak firman Allah di dalam Al-Quran, manakah yang paling agung?” Ubay menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Rasulullah SAW mengulangi pertanyaan tersebut, “Wahai Abu Munzir, dari sekian banyak firman Allah di dalam Al-Quran, manakah yang paling agung?” Ubay menjawab, “Allah, tiada tuhan melainkan Dia yang Maha Hidup dan Maha Pengatur.” [TMQ al Baqarah (2): 255].
Rasulullah SAW menepuk dada Ubay, lalu baginda dengan bangga bersabda, “Wahai Abu Munzir. Tahniah atas ilmu yang engkau capai.”
Ubay termasuk orang Ansar dari suku Khazraj. Beliau turut serta dalam Baiat Aqabah, perang Badar, dan peristiwa lain. Beliau begitu disegani dan dihormati oleh kaum muslim. Bahkan, Umar bin Khattab pernah berkata, “Ubay adalah pemimpin kaum muslim.”
Keistimewaan Ubay
Ubay bin Ka’ab adalah salah seorang di antara para sahabat yang termasuk dalam kedudukan teratas para penulis wahyu dan surat-surat Nabi SAW. Kemampuannya menghafal, membaca, serta memahami Al-Quran sungguh luar biasa. Dalam kitab Fadhail al-Sahabat karya Imam An-Nasa’i disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Ubay bin Ka’ab, “Sesungguhnya, Allah SWT memerintahkanku untuk membacakan Al-Quran kepadamu.” Ubay memahami bahawa Rasulullah SAW menerima perintah daripada Allah SWT. Beliau menjadi teruja, lalu bertanya kepada Nabi, “Wahai Rasulullah, apakah namaku disebut?” Rasul menjawab, “Ya, namamu dan nama nenek moyangmu disebut di hadapan penduduk langit.” Serta merta air mata Ubay bin Ka’ab tumpah.
Rasulullah SAW menyatakan bahawa Ubay adalah orang yang paling fasih bacaan Al-Qurannya di antara umat ini. Daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda,
“Umatku yang paling penyayang terhadap yang lain adalah Abu Bakar. Yang paling teguh melaksanakan perintah Allah adalah Umar. Yang paling jujur dan pemalu adalah Uthman. Yang paling mengetahui halal dan haram adalah Mu’az bin Jabal. Yang paling mengetahui ilmu fara’idh (pembagian harta warisan) adalah Zaid bin Tsabit. Yang paling bagus bacaan Al-Qurannya adalah Ubay. Setiap umat mempunyai orang kepercayaan. Orang kepercayaan umat ini adalah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.” [HR Tirmidzi 3791].
Sepanjang perjalanan hidupnya mendampingi Rasulullah SAW, Ubay tidak pernah berhenti berguru kepada baginda. Malah, selepas kewafatan Rasulullah, Ubay tetap konsisten dan komited berjuang, serta membela Islam dan kaum muslim. Ubay bin Ka’ab termasuk salah seorang para sahabat yang segera berbaiat kepada Abu Bakar, walaupun beliau berasal dari kaum Ansar.
Pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab, Jerusalem berjaya ditawan dan dikuasai oleh tentera muslim. Ketika itu, Ubay bin Ka’ab bertugas menulis perjanjian dengan penduduk kota. Menurut catatan dalam kitab Siyar A’lam al-Nubala, terdapat tidak kurang dari 164 hadis sahih yang berasal daripada Ubay bin Ka’ab. Para sahabat dan tabiin yang memperoleh riwayat daripada Ubay antara lain ialah Muhammad, Thufail, Abdullah (tiga putera Ubay), Anas bin Malik, Abdullah bin Abbas, Suwaid bin Ghafalah, Zirr bin Hubaisy, Abu al-Aliyah, Abu Uthman, dan lain-lain.
Ubay selalu berpegang teguh pada ketakwaan dan sifat zuhud. Kenikmatan dunia tidak menjadikannya teperdaya kerana beliau memahami hakikat dan kesudahan dunia. Mengenai dunia, beliau pernah berkata, “Makanan yang kita makan adalah perumpamaan bagi dunia. Ada yang sedap rasanya, tetapi ada yang tidak sedap. Lihatlah makanan itu akhirnya menjadi apa.”
Khatimah
Ubay bin Ka’ab wafat di Madinah, pada Jumaat tahun ke-30 H, pada masa pemerintahan Uthman bin Affan. Sahabat ini juga digelar sebagai Sayyid al-Qurra atau penghafal Al-Quran. Beliau adalah orang pertama di Madinah yang menjadi penulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Semoga Allah merahmatinya dan merahmati kita semua yang berpegang teguh pada Al-Quran dan sunnah Nabi SAW.
*Dinarasikan daripada pelbagai sumber