[Tarikh Khulafa] Peranan Besar Syeikh Al-Kaurani terhadap Muhammad al-Fatih
Penulis: Nabila Ummu Anas
Didikan ulama terhadap Muhammad al-Fatih telah membentuk beliau untuk tumbuh dan berkembang dalam cinta kepada Islam. Keimanan yang ditanamkan dalam dirinya sejak kecil telah menjadikan Muhammad II bertindak dan bekerja sesuai dengan aturan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Muhammad al-Fatih dibesarkan dengan komitmen yang sangat kuat terhadap undang-undang Islam. Beliau berperwatakan penuh taqwa dan menjaga diri, mencintai ilmu pengetahuan dan ulama, serta bersemangat menyebarkan ilmu. Sifat patuh kepada agamanya yang tinggi adalah manifestasi pendidikan Islam yang baik, yang dipelajarinya sejak kecil.
Kewibawaan dan Ketegasan Seorang Guru
Ini semua berkat tunjuk ajar ayahnya dan usaha gigih guru-guru yang telah membimbingnya. Ini juga dikuatkan lagi dengan kebersihan hati guru-gurunya iaitu menjauhi tipu daya dan perkara dunia yang sia-sia. Guru-guru ini juga mempunyai kesungguhan yang tinggi dalam mendidik Muhammad II sehingga akhirnya melahirkan tokoh Al-Fatih (penakluk).
Muhammad al-Fatih sangat terpengaruh dengan para ulama sejak usia kanak-kanak. Khususnya ulama yang bernama Ahmad bin Ismail Al-Kaurani, antara seorang ulama yang memiliki keutamaan. Dia merupakan guru Muhammad al-Fatih pada masa pemerintahan ayahnya, Sultan Murad II.
Pada masa tersebut, Muhammad II memegang jawatan pemimpin di wilayah Magnesia. Ayahnya menghantar beberapa orang syeikh kepadanya, tetapi dia tidak mahu mematuhi perintah syeikh-syeikh tersebut dan tidak mahu belajar Al-Quran daripada mereka. Akhirnya, Muhammad II tidak dapat membaca Al-Quran.
Melihat keadaan seperti itu, Sultan Murad II mencari maklumat tentang seorang syeikh yang mempunyai kewibawaan dan ketegasan yang tinggi. Lalu orang menyebut mengenai seorang syeikh bernama Al-Kaurani. Kemudian Sultan Murad II melantik Al-Kaurani sebagai guru kepada anaknya dan memberikan tongkat untuk memukul anaknya, sekiranya dia tidak mahu menurut perintah gurunya.
Syeikh Al-Kaurani pergi menemui Muhammad II sambil memegang tongkat di tangannya. Syeikh Al-kaurani berkata, “Ayahmu mengutusku untuk mengajarmu. Dan jika kamu melanggar perintahku, aku akan memukul kamu.” “Saya tidak hairanlah “,Muhammad II ketawa mendengar kata-kata itu. Melihat dia ketawa, Syeikh Al-Kaurani memukulnya di tempat kejadian dengan pukulan yang kuat. Sikap tegas yang ditunjukkan oleh Syeikh Al-Kaurani membuatkan Muhammad II takut kepadanya. Muhammad II juga mampu membaca al-Quran dalam masa yang singkat.
Pendidikan Islam yang mantap dan guru-guru dari kalangan ulama yang mulia iaitu Syeikh Al-Kaurani akan memberi pengaruh yang besar kepada Muhammad II selepas baginda menjadi sultan kelak. Syeikh Al-Kaurani tidak teragak-agak menegur atau melakukan muhasabah kepada Sultan Muhammad al-Fatih apabila mendapati ada sesuatu yang bercanggah dengan syariat dalam dirinya dan dasar yang dikeluarkan oleh sultan.
Rasulullah SAW bersabda, “Mereka semua dalam kebaikan. Golongan pertama iaitu yang membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jika Allah SWT menghendaki, Dia akan memberikan (apa yang mereka minta). Sedangkan golongan kedua iaitu belajar mengajar, dan sesungguhnya aku diutus untuk menjadi guru.” [HR Ibnu Majah]
Memuliakan Guru
Syeikh Al-Kaurani sendiri tidak pernah menundukkan kepalanya kepada sultan. Dia pun memanggil nama sultan dan bersalaman dengan sultan tanpa mencium tangannya. Sebaliknya, sultan yang mencium tangan Syeikh Al-Kaurani.
“Hendaklah kamu semua memuliakan para ulama kerana mereka itu adalah pewaris para nabi. Siapa yang memuliakan mereka, bererti memuliakan Allah dan RasulNya.” [HR Al-Khatib al-Baghdadi dari Jabir ra., Kitab Tanqihul Qaul].
Oleh itu, tidak pelik apabila lahir seorang pemimpin besar seperti Muhammad al-Fatih, tetapi tidak sombong dan tidak meminta dimuliakan apabila menjadi sultan. Muhammad al-Fatih sentiasa menjadi seorang Muslim yang beriman dan komited untuk berpegang kepada syariat Islam. Dia melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya. Beliau sentiasa mempertahankan syariat dan berusaha melaksanakannya, untuk dirinya dan juga umatnya.
Begitu besar peranan gurunya dalam membentuk Muhammad II menjadi tokoh yang bertakwa hingga layak mendapat gelaran Al-Fatih.
“Barang siapa menginginkan kebaikan di dunia ini, hendaklah ia mencapainya dengan ilmu. Barang siapa menginginkan kebaikan di akhirat, ia harus mencapainya dengan ilmu. Dan barang siapa menginginkan kedua-duanya, hendaklah mencari ilmu.” [HR Thabrani].
Sumber: Dr. Ali Muhammad Ash-Shallabi, Sejarah Daulah Utsmaniyah, Faktor-Faktor Kebangkitan dan Sebab-Sebab Keruntuhannya, Ummul Qura