Keluarga Muslim Hendaklah Terus Beramal Soleh Selepas Ramadhan
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Alhamdulillah, saat ini kita telah selesai melaksanakan ibadah puasa Ramadhan. Ya, Ramadhan yang penuh keberkahan, limpahan pahala, dan keutamaan sudah berlalu. Sekarang kita memasuki Syawal. Mari keluarga muslim, lanjutkan seluruh amal kebaikan yang sudah kita lakukan ketika Ramadhan yang lalu pada Syawal dan seterusnya. Awali dengan menjalankan puasa Syawal selama enam hari untuk melengkapkan agar kita mendapat pahala puasa setahun lamanya. Semoga Allah SWT menerima ibadah puasa kita dan mengampuni dosa-dosa kita. Aamiin yaa Mujiib as saailiin.
Tentu saja kita dan keluarga tidak ingin menjadi orang-orang yang celaka kerana tidak mendapatkan ampunan dari Allah sepanjang Ramadhan. Ini sebagaimana doa yang diucapkan malaikat Jibril ‘alaihissalam dan diamini oleh Rasulullah SAW, “Celakalah seorang hamba yang mendapati Ramadhan, kemudian Ramadhan berlalu dalam keadaan dosa-dosanya belum diampuni oleh Allah Taala.”
Selama sebulan kita melatih diri, menahan lapar dan dahaga, meninggalkan segala kemaksiatan, memperbanyak ibadah kepada Allah, dengan harapan agar mendapat nilai dan darjat muttaqin, yakni orang bertakwa. Ramadhan baru saja berlalu, apa yang tertinggal pada diri dan keluarga kita? Masih adakah jejak kebaikan pada diri kita setelah keluar dari gemblengan madrasah Ramadhan? Bagaimana usaha kita tetap istiqamah agar Ramadhan selalu hadir sepanjang tahun? Semoga keluarga kita istiqamah dalam ketaatan sampai akhir hayat.
Syawal, Momen Mengawali Keistiqamahan Beramal Soleh
Rasulullah SAW telah menjadikan Syawal yang mengiringi Ramadhan sebagai momen tepat untuk mengawali penjagaan keistiqamahan beramal soleh selepas Ramadhan. Dengan bimbingan wahyu dari Allah SWT, Rasulullah telah mensyariatkan puasa enam hari pada Syawal. Beliau menjelaskan keutamaan dan ganjarannya. Diriwayatkan dari Abu Ayyub Al-Anshari ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa berpuasa Ramadhan, lalu diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).
Puasa sunat sebanyak enam hari saat Syawal setelah puasa fardhu saat Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas hingga sepuluh kali ganda. Ini diperkuatkan dengan sebuah hadis riwayat Tsauban, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasa sebulan (semasa Ramadhan disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (ketika Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa. Dengan demikian (jika digabungkan menjadi) genap setahun.” (HR Imam Al-Darimi).
Ibu bapa berperanan besar mengajak keluarganya melanjutkan amal kebaikan yang telah biasa dilakukan semasa Ramadhan. Ibu bapa boleh memulakan dan menjadi teladan bagi anak-anaknya untuk melakukan puasa sunat Syawal.
Imam Bisyr bin al-Harits al-Hafi pernah ditanya tentang orang-orang yang (hanya) rajin dan sungguh-sungguh beribadah ketika Ramadhan. Kemudian beliau menjawab, “Mereka adalah orang-orang yang sangat buruk, (kerana) tidak mengenal hak Allah, kecuali hanya saat Ramadhan. Hamba Allah yang soleh adalah orang yang rajin dan sungguh-sungguh beribadah setahun penuh.”
Orang soleh adalah yang selalu taat kepada Allah secara menyeluruh, bukan hanya pada waktu dan tempat tertentu. Kita justeru hendaklah lebih soleh selepas Ramadhan demi mengumpulkan pahala sebanyak mungkin. Ini kerana pahalanya tidak dilipatgandakan sebanyak ketika Ramadhan. Jadi, apa yang perlu keluarga muslim lakukan agar dapat beramal soleh sepanjang tahun?
Keluarga Muslim Hendaklah Istiqamah Beramal Soleh Selepas Ramadhan
Setiap muslim tentu berharap agar rahmat Allah selalu tercurah kepada keluarganya. Ini akan terwujud jika kita selalu menjaga ketaatan kepada Allah Taala. Oleh kerana itu, kita perlulah tetap istiqamah beribadah dan beramal soleh selepas Ramadhan. Makna istiqamah yang sesungguhnya adalah terus-menerus beramal soleh. Jika istiqamah, kita termasuk orang beruntung. Namun jika meninggalkannya, kita termasuk orang merugi. Semoga Allah selalu memberikan hidayah sehingga kita istiqamah menaati syariat-Nya.
Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firman-Nya, “Janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi tercerai-berai kembali. Kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat menipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain.” (TMQ An-Nahl: 92).
Dapat dibayangkan betapa buruk sikap dan tindakan seseorang yang telah bersusah-payah memintal benang hingga sempurna, lalu dia kembali membongkar dan merosakkannya. Tentu kita perlu menjaga diri dan keluarga dari hal-hal yang demikian. Jadi, apa yang perlu kita lakukan?
- Menguatkan azam dan membuat rencana untuk diri dan keluarga.
Bulan lainnya memang tidak sama dengan Ramadhan. Oleh kerananya, kita dituntut menguatkan azam untuk kembali meluruskan niat. Sebelumnya, kita telah menyusun rencana matang kegiatan sepanjang Ramadhan bersama keluarga. Kini kita juga hendaklah menyusun rencana serupa selepas Ramadhan. Bicarakan hal ini bersama pasangan dan anak-anak.
Selanjutnya, kita hendaklah berusaha melaksanakannya dalam kehidupan sehari-hari. Jika kita sudah terbiasa solat tahajud setiap malam, teruskanlah. Jika ketika Ramadhan kita selalu membaca Al-Quran setiap kali selesai solat, bahkan tadarus di masjid, lakukan terus di luar Ramadhan. Kita juga boleh tadarus bersama anak-anak setelah solat subuh atau maghrib, misalnya. Demikian juga kebiasaan solat berjemaah di masjid boleh dilanjutkan, dan sebagainya. Allah menyukai ibadah yang kecil, tetapi konsisten dilakukan.
- Menjaga solat berjemaah.
Jika solat sunat tarawih tidak ketinggalan dikerjakan berjemaah di masjid semasa Ramadhan, solat wajib berjemaah tentu lebih penting dijaga dan ditingkatkan. Ini kerana amalan wajib hendaklah diutamakan daripada amalan sunat. Apalagi solat merupakan cahaya dalam kehidupan dunia, di alam kubur, dan ketika kelak melewati shirath. Solat adalah berkah dalam harta dan keluarga. Apabila solat seseorang baik, akan baik pula amalan lainnya. Oleh kerana itu, solat lima waktu jangan disia-siakan. Kerjakan secara berjemaah di masjid sebagaimana biasa dilakukan semasa Ramadhan.
- Makin giat menuntut ilmu dan menghadiri majlis ilmu bersama keluarga.
Menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Ini boleh dilakukan dengan membaca buku-buku islami atau menghadiri majlis ilmu. Tingkatkan terus ilmu dan pemahaman Islam kita. Ini tidak hanya sebagai pegangan dalam melangkah, tapi juga menjadi bekal kita untuk mendidik anak-anak. Dengan demikian, mereka akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.
Terlebih bagi keluarga pengemban dakwah, tentu perlu terus meningkatkan kualiti diri. Caranya dengan memperkaya tsaqofah dan kemampuan berdakwah. Menghafal Al-Quran dan hadis, menghadiri majlis ilmu, serta berdiskusi juga sebahagian dari aktiviti yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kualiti kita sebagai pengemban dakwah. Lakukan ini bersama keluarga sehingga semua mampu mendapatkan pemahaman lebih banyak. Ibu bapa juga akan makin mudah menguatkan pemahaman anak-anak. Momen ini juga boleh menjadi platform pembinaan dan menjalin kedekatan di antara anggota keluarga.
- Memperbanyak puasa dan ibadah sunat lainnya.
Selama sebulan penuh kita telah menjalankan puasa Ramadhan. Tentu sangat disayangkan jika tidak kita lanjutkan selepas Ramadhan. Banyak juga puasa sunat lainnya yang dapat kita tunaikan. Mulailah puasa Syawal bersama keluarga. Kita juga boleh melakukan puasa tiga hari pada pertengahan bulan, puasa setiap Isnin-Khamis, atau puasa Daud. Di antara keutamaannya disebutkan dalam sabda Nabi SAW, “Mahukah ku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai, ….” (HR Tirmizi). Dalam hadis ini, puasa dikatakan sebagai perisai bagi seorang muslim, baik di dunia, mahupun di akhirat. Di dunia, puasa sebagai perisai dari perbuatan-perbuatan maksiat. Sedangkan di akhirat nanti, puasa menjadi perisai dari api neraka.
Keutaman lain dari puasa sunat terdapat dalam hadis Qudsi berikut, Allah SWT berfirman, “Senantiasa hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintainya, Aku akan memberi petunjuk pada pendengaran yang ia gunakan untuk mendengar, memberi petunjuk pada penglihatannya yang ia gunakan untuk melihat, memberi petunjuk pada tangannya yang ia gunakan untuk memegang, memberi petunjuk pada kakinya yang ia gunakan untuk berjalan. Jika ia memohon sesuatu kepada-Ku, pasti Aku mengabulkannya. Jika ia memohon perlindungan, pasti Aku akan melindunginya.” (HR Bukhari).
- Memperbanyak amalan sunat lainnya, seperti zikir dan sedekah.
Kita juga boleh mengajak anak-anak untuk menjaga amalan sunat lainnya yang sudah biasa dilakukan semasa Ramadhan, seperti banyak berzikir dan bersedekah. Dengan demikian, kita terlindungi dari keburukan dan mendapatkan pahala yang besar. Ini juga akan makin mendekatkan dan meningkatkan ketaatan kita kepada Allah Taala.
Ajak anggota keluarga membiasakan diri menyisihkan sebahagian harta, baik dalam keadaan lapang, mahupun sempit. Juga membiasakan membaca zikir pagi dan petang, zikir sebelum tidur, zikir keluar rumah, dan sebagainya. Manfaatkan waktu senggang di sela aktiviti dengan memperbanyak zikir kepada Allah Taala.
- Terus berjuang menyampaikan dakwah Islam.
Ketika Ramadhan, umumnya tahap ghirah beragama umat Islam meninggi sehingga lebih mudah diajak mengkaji Islam. Tentu saja kesempatan ini jangan kita lepaskan. Selepas Ramadhan, biasanya ghirah ini masih melekat. Inilah saat yang tepat untuk mengajak umat kembali ke jalan Allah dan memuliakan agama-Nya.
Sedarkan umat tentang permasalahan besar yang dialami kaum muslim kini, iaitu tidak diterapkannya syariat Islam secara kaffah. Selain itu, umat Islam juga tidak memiliki junnah atau perisai, iaitu Khilafah. Mewujudkannya kembali menjadi agenda penting kita kini.
Kita juga perlu menyeru manusia ke jalan Islam, menentang kebijakan penguasa yang bertentangan dengan syariat, serta mengajak keluarga dan umat untuk makin giat beramar makruf nahi mungkar. Apalagi kini kemungkaran makin merajalela di sekitar kita. Aktiviti penting ini mestilah makin digiatkan.
Khatimah
Tidak salah jika Ramadhan diibaratkan sebagai madrasah untuk melatih diri menjadi peribadi beriman. Dengan demikian, termotivasi melakukan beragam ibadah dan amal kebaikan yang sesungguhnya pada sebelas bulan berikutnya. Alumninya diharapkan dapat mempertahankan, bahkan meningkatkan berbagai ibadah yang telah dijalaninya selama sebulan penuh.
Ramadhan memang telah berlalu. Namun jangan biarkan ia berlalu tanpa makna. Masih banyak ladang pahala yang menunggu kita selepas Ramadhan. Amal ibadah yang disyariatkan di dalamnya tidak putus dengan berakhirnya bulan tersebut. Keluarga muslim perlu terus beramal soleh dan menguatkan ketaatan kepada Allah. Mohonlah agar berbagai amalan kita sepanjang Ramadhan diterima-Nya. Semoga Allah SWT menjaga keluarga kita agar selalu menaati syariat-Nya. Amin. Wallahualam bissawab.
Sumber: MNews/YG