[Nafsiyah] Bersegeralah kepada kebaikan
Oleh: Ustaz Fatih Karim
Berlengah-lengah kadang-kadang menjadi kebiasaan kita. Seringkali kita merasakan masih ada masa kemudian, esok, lusa, dan seterusnya untuk menangguhkan sesuatu. Sedangkan menangguhkan kebaikan pasti akan memusnahkan hidup kita.
Sebenarnya, kehidupan kita di dunia ini terhad pada masanya. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Umur umatku adalah antara 60 hingga 70 tahun. Sangat sedikit daripada mereka yang melebihi umur itu.”
Kita hendaklah sedar bahawa masa, umur dan peluang untuk kita adalah terhad. Jika kita sudah biasa berlengah-lengah, bermakna kita telah mensia-siakan peluang untuk beramal.
Terdapat banyak contoh menyegerakan melakukan kebaikan yang boleh kita pelajari. Nabi SAW sentiasa bersegera dalam kebaikan. Diriwayatkan bahawa ketika baginda sedang solat Asar, selepas memberi salam, Rasulullah SAW berpusing dan meluru ke bilik isterinya. Para sahabat terkejut dan tertanya-tanya kerana baginda tidak selalu begitu. Ternyata Nabi SAW mengambil sekeping emas dan berkata, “Ketika sedang solat, aku teringat ada emas yang belum aku sedekahkan.”
Masha Allah. Nabi SAW tidak melengahkan sedekah walaupun emas itu tidak hilang dan boleh disedekahkan esok, lusa atau minggu depan. Namun, Nabi SAW memberi contoh tidak berlengah-lengah dalam melakukan kebaikan.
Sebuah lagi kisah tentang seorang sahabat iaitu Hanzhalah bin Abi Amir. Pada malam pertamanya bersama isteri, terdapat seruan untuk berjihad. Dia bersedia untuk menghadapi jihad di medan Uhud tetapi dia lupa yang dia belum mandi junub lagi. Mayatnya ditemui oleh Nabi Muhammad dalam keadaan hancur dan tidak dapat dikenali. Isteri Hanzhalah menyedari itu adalah jenazah suaminya.
Pengajaran daripada kisah ini ialah Hanzhalah bersegera menuju jihad fisabilillah. Bersegera melakukan kebaikan menjadi kebiasaan, nilai dan budaya baginda Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda.
Begitu juga suatu ketika Nabi SAW pada awalnya solat menghadap Masjidil Aqsa, lalu Jibril berkata, “Wahai Muhammad, kiblat telah dipindahkan ke Masjidil Haram.” Nabi SAW segera menukar arah kiblat tanpa berlengah-lengah.
Kisah lain ialah ketika para sahabat mendengar perintah bahawa arak telah diharamkan. Mereka segera memecahkan bekas-bekas arak dan tidak lagi meminum sisa arak mereka.
Mentaliti bersegera ke arah kebaikan adalah mentaliti yang diwarisi daripada Nabi Muhammad, para sahabat dan para salafussoleh. Tidak hairanlah, mereka mempunyai peradaban dan risalah yang mulia, serta mampu menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.
Jadi, mengapa kita masih sering menunda-nunda dalam melakukan kebaikan? Sesungguhnya, tahun depan belum tentu kita akan bertemu lagi dengan bulan Ramadhan. Jika kita mempunyai perancangan yang baik, segeralah melaksanakannya dengan pelaksanaan yang terbaik.
Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan ampunan. Bersegeralah memohon ampun kepadaNya. Allah SWT bersabda, “Bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [TMQ Ali Imran (2): 133].
Semoga kita juga dapat memiliki kebiasaan, budaya dan sikap yang tidak melengahkan kebaikan. Sebaliknya, kita sentiasa bersegera melakukan kebaikan. Sambutlah keampunan Allah SWT di bulan Ramadhan yang mulia ini dengan bersegera melakukan pelbagai amal soleh.
*Disarikan dari channel YouTube Cinta Qur’an Foundation