[KAPSUL SYAWAL] Menghormati Bulan Syawal
Kita telah menjalani 30 hari berpuasa di bulan Ramadhan, menahan makan dan minum di siang hari, menahan melakukan perkara buruk bahkan memperbanyakkan ibadah. Bulan Ramadhan adalah bulan yang sedikit kita melihat atau mendengar perilaku buruk atau perilaku tidak malu kerana di bulan ini Umat Islam akan berusaha untuk menjaga tatatertib dan fokus kepada ibadah dalam menjadikan diri yang lebih baik.
Namun setelah Ramadhan berakhir, perkara yang menyedihkan ialah segelintir umat Islam ada yang tergelincir dari kesedaran dan muhasabah yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan. Syawal telah dicemari dengan video tiktok atau trend yang jauh daripada Islam, seperti rancak pengeluaran lagu-lagu raya yang tidak menambahkan Iman seseorang, video-video ringkas yang menari mengikut rentak dan bermacam-macam lagi. Sedih sungguh Syawal hadir disambut dengan sedemikian rupa. Di manakah sikap malu seorang individu Muslim?
Nabi SAW. menjelaskan, “Malulah kalian kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” ‘Kami sudah malu wahai Rasulullah,’ jawab para sahabat. Nabi SAW. bersabda, “Bukan begitu tetapi yang dimaksudkan malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya ialah menjaga kepala dan anggota badan yang terletak di kepala, menjaga perut dan anggota badan yang berhubungan dengan perut, mengingati mati dan apabila badan hancur dalam kubur. Sesiapa yang menginginkan akhirat hendaklah meninggalkan kesenangan dunia. Sesiapa yang melakukan hal-hal tersebut, maka dia telah merasa malu kepada Allah sebenar-benarnya.” (HR Tirmidzi).
Wahai generasi Islam, wahai anak muda, malulah kalian kepada Allah, hormatilah Syawal yang penuh simbolik kemenangan menahan Nafsu di bulan Ramadhan. Janganlah kalian sia-siakan usaha kalian dalam meraih redha dan pahala di sisi Allah. Sesungguhnya, kehidupan dunia ini adalah senda gurau yang merugikan.
Allah SWT berfirman:
وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ ٱلْءَاخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
(TMQ Al-An’am [6]:32)
Hormatilah Syawal!