[KAPSUL SYAWAL] Bersilaturahmi di Bulan Syawal dan Dakwah.
Bersilaturahmi merupakan salah satu amal kebaikan yang dilakukan saat Syawal. Salah satu keistimewaan Syawal biasanya balik ke kampung halaman dan saling bermaafan sesama ahli keluarga, saudara mara dan kaum kerabat. Jadi tidak hairan apabila bulan Syawal menjadi begitu istimewa dengan menjadi salah satu bulan yang kebanyakan umat muslim berkumpul dan bersilaturahmi. Ramai yang sanggup menempuh perjalanan jauh menghadapi kesesakan lalulintas demi bertemu keluarga dan saudara-mara. Bulan Syawal merupakan bulan yang penuh berkah dari Allah Swt. dengan silaturahmi dan bermaaf-maafan yang dilaksanakan oleh seluruh umat Islam.
Silaturahmi adalah amalan sunah yang pada Syawal merupakan usaha untuk menyambung tali ikatan kekerabatan antara keluarga, baik yang dekat hubungan darahnya maupun yang jauh. Menjaga dan mempererat tali silaturahmi merupakan kunci syurga, sebagaimana hadis, “Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan salat, menunaikan zakat, dan menyambung tali silaturahmi.” (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam salah satu riwayat, Rasulullah saw. juga menjelaskan tentang apa yang dimaksud dengan silaturahmi, guna menambah pemahaman umatnya,
لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ، وَلَكِنِ الْوَاصِلُ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
“Silaturahmi bukanlah yang saling membalas kebaikan. Akan tetapi, seorang yang berusaha menjalin hubungan baik meski lingkungan terdekat (saudara) merosak hubungan persaudaraan dengan dirinya.” (HR Bukhari).
Sedangkan keutamaan menyambung tali silaturahmi ini juga sesuai dengan ajaran Rasulullah saw.,
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَأَنْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ، أخرجه البخاري.
“Siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaknya ia menyambung silaturahminya (dengan kerabat).“ (HR Bukhari).
Tidak menghairankan jika bulan Syawal menjadi satu di antara bulan-bulan yang kebanyakan umat Islam bersilaturahmi. Silaturahmi merupakan amalan bulan Syawal yang memberi pengaruh yang sangat baik bagi hubungan kekeluargaan dan titik awal untuk menyampaikan dakwah dengan lebih baik jika hubungan baik telah terjalin. Gunakan kesempatan dan raih peluang yang ada sempena Syawal untuk menunaikan kewajipan dakwah dengan menjalin ikatan silaturahmi seterusnya pembuka jalan ke arah dakwah yang lebih serius.