SUAMI TIDAK MAHU BEKERJA, BAGAIMANAKAH SIKAP ISTERI?
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ada seorang isteri yang mempunyai 4 anak lelaki 1 anak perempuan. Dia seorang surirumah. Berusia 46 tahun. Suaminya berusia 46 tahun dan tidak bekerja. Tidak bekerja alias menganggur selama lebih kurang 3 bulan. Suaminya sihat. Tidak cacat. Sihat dan cergas tetapi tidak bekerja. Persoalannya, apakah hukumnya jika isteri tidak memberi makan dan minum kepada suaminya (jika isteri tersebut mendapat nafkah dari sumber lain, contohnya bekerja sebagai pembantu atau bermusafir sebagai peniaga). Dengan niat agar suaminya mendapat pengajaran, jika suami lapar sudah pasti dia mahu melakukan apa sahaja pekerjaan, bukan berharap dari nafkah isteri yang kerja-kerja sambilan. Bagaimanakah pandangan fiqh Islam tentang hal ini?
Jawapan:
Jika suami tidak memberi nafkah, sedangkan dia mampu memberi nafkah, maka suami itu berdosa. Kemampuan ini dapat berupa kemampuan secara hukum (de jure, hukman), iaitu mempunyai pekerjaan, bukan pengangguran, mahupun kemampuan secara fakta (de facto, fi’lan), iaitu keadaan fizikal sihat, tidak cacat dan tidak sakit.
Dalam kes di atas, suami tersebut memang menganggur, akan tetapi sebenarnya mempunyai kemampuan secara fakta (de facto, fi’lan), iaitu tubuh badannya sihat dan tidak cacat atau sakit. Maka dia tetap berdosa kerana tidak menjalankan kewajipannya memberi nafkah kepada istri dan anak-anak yang menjadi tanggungannya. Dalilnya adalah hadis berikut :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يَحْبِسَ عَمَّنْ يَمْلِكُ قُوتَهُ
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr RA, dia berkata,”Cukuplah seseorang itu dikatakan berdosa jika dia menahan makan (nafkah berupa makanan, pakaian, dan sebagainya) bagi orang yang menjadi tanggungannya.” (HR. Muslim, no. 1662).
Dalam redaksi hadis menurut Imam Abu Dawud :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr RA, dia berkata,”Rasulullah SAW. bersabda,’Cukuplah seseorang dikatakan berdosa, jika dia mengabaikan (tidak memberi nafkah) kepada orang-orang yang menjadi tanggungannya.” (HR. Abu Dawud, no. 1692).
Namun, jika isteri dari suami tersebut sanggup dan melepaskan hak nafkahnya, maka suami itu tidak berdosa. Kerana memberi nafkah adalah kewajipan bagi suami, tetapi bagi isteri, nafkah itu adalah hak. Walaupun yang dinamakan hak, boleh bagi isteri menuntut hak tersebut, tetapi isteri boleh juga melepaskan hak nafkahnya. Melepaskan suatu hak ini dalam fiqih Islam disebut dengan istilah at-tanāzul ‘an al-haqq (melepaskan hak), dan hukumnya boleh (mubah) dalam syariah Islam.
Dalil-dalil yang menunjukkan bolehnya seseorang melepaskan haknya (at-tanāzul ‘an al-haqq), contohnya :
Firman Allah SWT :
وَاِنْ كَانَ ذُوْ عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ اِلٰى مَيْسَرَةٍ ۗ وَاَنْ تَصَدَّقُوْا خَيْرٌ لَّكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
“Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesulitan, maka berilah dia tangguh waktu sehingga dia mendapat kelapangan. Dan jika kamu bersedekah (membebaskan hutang), itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah (2) : 280].
Firman Allah SWT. :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ اَنْ يَّقْتُلَ مُؤْمِنًا اِلَّا خَطَـًٔا ۚ وَمَنْ قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيْرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ وَّدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ اِلٰٓى اَهْلِهٖٓ اِلَّآ اَنْ يَّصَّدَّقُوْا ۗ
”Dan tidak patut bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin (yang lain), kecuali kerana tersalah (tidak sengaja).
Barangsiapa yang membunuh seorang mukmin kerana tersalah (hendaklah) dia memerdekakan seorang hamba sahaya yang mukmin dan (membayar) tebusan yang diserahkan kepada keluarganya (orang dibunuh itu), kecuali jika mereka (keluarga orang yang dibunuh itu) melepaskan pembayaran.” [TMQ An-Nisa (4): 92].
Ayat-ayat di atas telah menunjukkan bahawa boleh bagi seseorang melepaskan suatu hak (at-tanāzul ‘an al-haqq (melepaskan hak), iaitu orang itu sebenarnya berhak atas sesuatu dari orang lain, tetapi dia secara sukarela melepaskan haknya, iaitu dia tidak mengambil hak tersebut.
Dengan demikian, tidak mengapa dan boleh hukumnya bagi isteri, untuk melepaskan hak nafkahnya dari suaminya, asalkan isteri melakukannya secara sukarela. Namun, jika isteri tidak redha dan tidak dapat menerima keadaan yang ada, langkah yang dibenarkan syarak ialah menuntut cerai (talak) daripada suami kepada mahkamah syariah. Hal ini berdasarkan dalil Al-Quran, As-Sunnah, dan Ijmak Sahabat.
Dalil Al-Quran, firman Allah SWT :
اَلطَّلَاقُ مَرَّتٰنِ ۖ فَاِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوْفٍ اَوْ تَسْرِيْحٌۢ بِاِحْسَانٍ ۗ
“Ada dua talak yang boleh dirujuk. Maka pertahankan [isteri kamu] dengan makruf (dengan memberi nafkah kepadanya), atau menceraikannya dengan cara yang baik.” [TMQ Al-Baqarah (2): 229].
Dalil As-Sunnah, sabda Rasulullah SAW :
اِمْرَأُتُكَ مِمَّنْ تَعُوْلُ تَقُوْلُ أَطْعِمْنِيْ وَإِلاَّ فَارِقْنِيْ
”Isteri kamu termasuk orang yang wajib kamu tanggung, dia berkata,”Berilah aku makan, jika tidak, ceraikanlah aku.” (HR. Ahmad dan Daraquthni).
Dalil Ijmak Sahabat, diriwayatkan oleh Umar mengirim surat kepada para panglima pasukan perang berkenaan para lelaki yang meninggalkan isteri-isteri mereka [untuk berperang],”Pilihannya; hendaklah mereka memberi nafkah [kepada isteri-isteri mereka], atau menceraikan, dan menghantar nafkah yang selama ini mereka tahan.” (Imam Syaukânî, Nailul Authâr, 6/384).
Imam Taqiyuddîn An-Nabhânî mengulas riwayat itu,“Hal tersebut telah diketahui oleh para sahabat dan mereka tidak mengingkarinya, maka berlakulah Ijmak Sahabat [berkenaan dua pilihan bagi para suami, iaitu memberi nafkah atau menceraikan isteri mereka].” (Taqiyuddîn An-Nabhânî, Al-Nizhâm Al-Ijtimâ’i fi 1Al-Islâm, hlm. 171).
Adapun rancangan isteri agar isteri tidak memberikan makan dan minum untuk suaminya, dengan tujuan agar suaminya mengambil pengajaran, pada pendapat kami ia tidak harus dilaksanakan. Hal ini kerana pengajaran yang dimaksudkan oleh isteri, belum tentu dapat difahami atau ditangkap oleh suaminya. Ini malah boleh menyebabkan salah faham yang memburukkan keadaan. Sebaik-baiknya, isteri memberi pengajaran dengan perkataan, bukan dengan perbuatan (tidak memberi makan kepada suami). Dengan perkataan, atau ucapan, iaitu nasihat dan penjelasan hukum syariah Islam mengenai kewajipan suami agar bekerja untuk memberi nafkah, pengajaran yang dimaksudkan oleh isteri akan lebih ditangkap dan difahami oleh suaminya. Wallahu a’lam.
Sumber:
https://fissilmi-kaffah.com/frontend/artikel/detail_tanyajawab/562
#SoalJawab #SuamiTakBekerja #HukumIslam