[SOAL JAWAB] HUKUM TUKAR TAMBAH – JUAL BELI EMAS (MENJAWAB RESPON)
Oleh: Muhammad Shiddiq Al Jawi
Soalan:
Ustaz menjelaskan dalam artikel “Hukum Tukar Tambah” bahawa menukar cincin emas 5 gram lama dengan cincin emas 5 gram yang baru, (misalnya dengan menambah wang RM 159), hukumnya haram.
Adakah juga haram jika menukar cincin emas 5 gram lama dengan cincin 6 gram baru, dengan menambah wang sebanyak RM 159?
Jika kedua-dua kes tersebut haram, adakah itu bermakna selamat untuk menjual cincin 5 gram lama dahulu dan menerima wang. Selepas itu barulah membeli cincin 6 gram yang baru?
Jawapan:
Menukar cincin emas 5 gram lama dengan cincin emas 6 gram baru, dengan menambah wang RM 159, hukumnya haram.
Begitu juga menukar cincin emas 5 gram lama dengan cincin 6 gram baru, tanpa tambahan RM159, juga haram.
Mengapa kedua-dua kes di atas hukumnya haram, kerana berlaku tafaadhul, iaitu berlaku lebihan berat sebanyak 1 gram untuk emas yang ditukarkan dan tambahan wang RM159 (untuk kes pertama), dan berlaku lebihan berat 1 gram emas (untuk kes yang kedua).
Sedangkan syariah menetapkan jika emas ditukar dengan emas, syaratnya mestilah at-tasaawi /at-tamaatsul (sama berat/nilainya) dan mesti at-taqaabudh, iaitu berlaku penyerahan secara tunai (cash) di majlis akad.
Apa yang dibolehkan menurut syarak dalam kes di atas adalah seperti berikut:
Si A menjual 5 gram emas lama untuk mendapatkan wang kepada seseorang (si B). Kemudian si A menggunakan wangnya untuk membeli 6 gram emas baru daripada B.
Situasi seperti ini dibenarkan syarak dengan syarat tidak ada kesepakatan atau syarat pada awalnya bahawa si A wajib membeli emas baru daripada si B. Jika ada kesepakatan atau syarat di pada awalnya, hukumnya haram.
Apa yang lebih baik dan selamat menurut syarak, si A menjual 5 gram emas lama kepada si B. Kemudian wang yang diperoleh oleh si A digunakan untuk membeli 6 gram emas baru daripada si C (orang ketiga), bukan membeli daripada si B.
Dalilnya adalah hadis daripada sahabat Nabi SAW bernama Abu Said Al Khudri RA sebagai berikut :
عَنْ أَبِي سَعيدٍ الخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ { جَاءَ بِلالٌ إِلَى رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَسَلَّمَ بِتَمْرِ بَرْني فَقَالَ لَهُ النَّبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَسَلَّمَ : مِنْ أَيْنَ لَكَ هَذَا ؟ قَالَ بِلالٌ : كَانَ عِنْدَنَا تَمْرٌ رَديءٌ ، فَبِعْتَ مِنْهُ صّاعيْنِ ، بِصاعٍ لِيَطْعَمَ النَّبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَسَلَّمَ . فَقَالَ النَّبيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ : أَوَّهْ ، أَوَّهْ ، عَيْنُ الرِّبَا ، عَيْنُ الرِّبَا ، لَا تَفْعَلُ . وَلَكِنْ إِذَا أَرَدْتَ أَنْ تَشْتَريَ فَبِعَ التَّمْرَ بِبَيْعٍ آخَرَ . ثُمَّ اشْتَرِ بِهِ
Abu Said Al Khudri RA berkata,”Bilal datang kepada Rasulullah SAW membawa kurma Barni [yang berkualiti]. Lalu Nabi SAW bertanya kepadanya, ’Dari manakah kamu mendapat kurma ini?’ Bilal menjawab, “Sebelum ini kami mempunyai kurma yang kurang kualitinya, kemudian saya menjual kurma itu sebanyak 2 sha’ dan ditukarkan dengan kurma yang elok sebanyak 1 sha’, untuk kami hadiahkan sebagai makanan kepada Nabi SAW.’ Maka Nabi SAW ketika itu bersabda,”Aduh, itu tidak lain hanyalah riba. Tiada lain itu adalah riba. Jangan kamu lakukan begitu. Tetapi jika kamu hendak membeli kurma yang elok, juallah kurma yang lama itu terlebih dahulu, kemudian kamu belilah kurma yang baik dengan wang dari hasil jualan pertama.” (HR Bukhari, Muslim dan An Nasa’i).
Dalam hadis di atas, terdapat dalil bahawa pertukaran barang ribawi yang serupa, contohnya kurma yang kurang berkualiti dengan kurma berkualiti, tidak boleh dilakukan secara langsung jika beratnya berbeza. Apa yang diajarkan oleh Nabi SAW, juallah kurma yang kurang berkualiti itu terlebih dahulu, kemudian gunakan wang itu untuk membeli kurma yang lebih berkualiti.
Hukum yang sama juga boleh digunakan untuk emas, sebagai barang sesama ribawi. Tidak dibenarkan menukar emas lama (buruk) dengan emas baru (baik) secara langsung jika beratnya berbeza. Tetapi juallah emas yang lama terlebih dulu. Kemudian wangnya digunakan untuk membeli emas yang baru. Wallahu a’lam.
Sumber: https://konsultasi.wordpress.com/2019/10/20/hukum-tukar-tambah-menjawab-respon/
*Nilai tambahan wang yang diletakkan dalam artikel ini, hanyalah sekadar contoh.
#HukumIslam #SoalJawab #BarangRibawi